BAB 8
Kereta kuda yang menggunakan kuasa dua ekor kuda untuk menggerakkannya diberhentikan sejurus tiba di ruang meletak kenderaan di hadapan Syarikat Sri Jaya Berhad. Manja mengekori ayahnya, sementara Munir pula terus masuk ke pejabatnya.
“Manja, ini Encik Adam, pengurus sumber manusia syarikat ini.”
Dato Mazwan memperkenalkan Adam kepada Manja, orang yang bakal berkongsi jawatan dengan Manja kelak. Mereka bersalaman tanda perkenalan.
“Saya tak kisah kita berkongsi jawatan, janji gaji saya tidak berubah.”
Kata Adam berseloroh. Lelaki itu bersetuju setelah mendengar penerangan Manja tentang pengasingan pengurusan sumber manusia bahagian ladang dan kilang.
“Saya juga tak kisah kalau encik Adam nak letakkan saya di bawah encik.”
Balas Manja pula.
“Janganlah macam tu cik Manja, dua pengurus tak menjadi masalah asalkan pengurusan lebih mudah bagi kita semua.”
Akhirnya mereka mencapai persetujuan, maka bermulalah pengasingan yang telah diterima pakai itu. Manja dibawa ke pejabat barunya oleh Adam iaitu di sebelah biliknya.
Manja memandang bilik itu dengan satu senyuman yang puas. Dia lega kerana Adam bersetuju dengan cadangannya itu tanpa sebarang pertelingkahan lidah. Kerusi biru empuk yang dipadankan dengan meja berwarna coklat itu dipandang sepi.
Adam masuk ke biliknya setelah selesai menunjukkan bilik pejabat kepada Manja. Lelaki itu duduk di kerusi empuknya yang juga bewarna biru, sebuah diari bercorak sekuntum bunga mawar timbul dikeluarkan dari laci yang paling bawah pada meja pejabatnya itu lalu dicoretkan sesuatu ke atasnya.
Bilik yang malap itu kembali cerah apabila Manja membuka langsir yang menutupi bilik pejabatnya yang baru itu. Fail-fail yang berkaitan dengan para pekerja ladang itu dibawa masuk oleh seorang pekerja. Fail-fail yang berterabur di atas meja di susun kemas oleh Manja di atas rak-rak yang tersedia dibelakang tempat duduknya. Selepas itu barulah Manja meneliti fail-fail itu satu persatu.
Seramai seratus orang pekerja di Ladang Sri Jaya di mana kebanyakan pekerja-pekerja di situ terdiri daripada pekerja-pekerja yang berusia dan wanita. Hanya beberapa orang seusia dengan Adam sahaja yang ingin bekerja di situ. Itupun pendidikan mereka tidak setinggi mana kecuali Hisyam yang mempunyai diploma.
Setelah meneliti maklumat tentang pekerja-pekerja di ladang itu, gadis itu masih terasa kekurangan maklumat tentang mereka. Manja bangun dan menuju ke bilik Adam.
“Encik Adam, boleh saya dapatkan maklumat tentang skim tanggagaji pekerja ladang.”
“Oh, semua tu Cik Salma yang uruskan. Biar saya panggil dia.”
“Tak perlu, terima kasih, biar saya minta sendiri dengannya.”
Manja keluar dari bilik pejabat Adam dan menuju ke meja Salma yang hanya terletak di hadapan bilik pejabat Adam.
“Cik Salma, saya nak fail tanggagaji pekerja ladang.”
“Nantilah, saya tengah sibuk ni.”
Jawab Salma dengan kurang ajarnya dan buat-buat sibuk dengan panggilan telefonnya. Sikitpun dia tidak hormat Manja sebagai majikannya sedangkan dia sedia maklum tentang itu. Manja tidak menjawab sebaliknya hanya mendengar Salma sedang berbual dengan panggilan telefon yang diterimanya. Kedengaran pada panggilannya, Manja tidak yakin ia panggilan rasmi.
“Cik Salma, saya mahu sekarang.”
Minta Manja lagi masih dengan suara yang mendatar.
“Hei, kau tak tengok ke aku tengah sibuk ni.”
“Sibuk dengan panggilan yang tak rasmi.”
Sampuk seorang pekerja wanita yang duduk di sebelah meja Salma. Manja hanya tersenyum dengan kata-kata itu. Dia juga telah mendengar segala perbualan Salma itu dan dia juga pasti panggilan itu tiada kena mengena dengan urusan pejabat.
“Cik Salma, I want it now on my desk.”
Kali ini arahannya tegas dan kuat. Salma yang terkejut dengan ketegasan Manja itu segera meletakkan ganggang telefon kemudian menyegerakan mencari fail yang dipinta Manja itu.
Para pekerja di dalam pejabat itu yang terdengar suara Manja yang kuat itu tersenyum sesama sendiri melihat Salma dimarahi Manja. Biar dia rasa bagaimana kena marah, selama ini mereka selalu dimarahi oleh Salma hanya kerana perkara yang remeh-temeh.
Manja membaca fail yang dihantar oleh Salma itu dengan teliti. Dia perlu tahu segala maklumat mengenai pekerja-pekerja ladang sebelum memulakan kerjanya. Pada pene-litiannya, dia yakin ada sesuatu yang tidak kena.
“Hai, tak lapar ke?”
Teguran Munir yang datang secara tiba-tiba itu mengejutkan Manja yang sedang khusyuk membaca sehingga tercampak fail yang dipegangnya itu. Dia melihat jam di tangannya dan bingkas bangun. Rupanya dah pukul satu petang, dah sampai waktu makan tengah hari, patutlah perutnya terasa begitu lapar sekali. Manja bangun mengekori abangnya menuju ke arah ayah mereka yang sedang menunggu mereka di atas kereta kuda.
“Manja tak nak makan kat rumah, hari ni Manja nak makan kat kantin, boleh kan ayah.”
Pinta Manja dengan nada yang lembut. Harapannya agar ayahnya mengizinkannya. Manja gembira setelah ayahnya mengangguk, setuju dengan permintaannya itu. Gadis berrambut panjang dan diikat kemas itu segera berjalan menuju ke kantin pekerja yang hanya terletak beberapa meter dari pejabat utama. Setibanya Manja di kantin pekerja, Manja terus dikerumuni oleh beberapa orang pekerja wanita dari ladang.
“Eh, kamu semua tak pulang ke?”
Soal Manja kehairanan kerana pekerja-pekerja ladang sepatutnya berehat di rumah mereka masing-masing kerana mereka sepatutnya bekerja semula pada waktu petang untuk menyiram tanaman.
“Tak, kami nak berehat kat sini saja. Lagipun syarikat kan ada sediakan rumah rehat untuk kami.”
Terang pekerja wanita itu kepada Manja. Mereka semua tak berumah tangga, jadi mudahlah bagi mereka menguruskan diri mereka sindiri. Manja mengambil makanan yang sediakan oleh tukang masak pada hari itu dan bertembung dengan Adam yang juga baru selesai mengambil makanan.
“Eh, Cik Manja pun ada kat sini?”
Tegur Adam yang turut makan di kantin pekerja itu.
“A...ah, Encik Adam tak makan kat rumah ke?”
“Tak payahlah berencik-encik dengan saya, panggil Adam cukup. Saya selalu makan kat sini, kat rumah pun makan sorang-sorang jugak.”
Manja tersenyum dengan kata-kata Adam itu, mereka berdua berjalan beriringan menuju ke sebuah bangku yang kosong.
“Kalau macam tu mulai dari hari ni, panggil saya Manja, lagipun sekarangkan jawatan kita sama, kan.”
Adam mengangguk sambil tersenyum. Senyuman manis yang tak mungkin dapat dilupakannya.
“Sedap jugak makanan kat sini, kan.”
Manja memuji makanan yang disediakan di kantin itu. Wanita-wanita yang duduk tidak jauh dari bangku Manja dan Adam itu bersetuju dengan kata-kata Manja itu. Mereka terus makan sambil berbual.
Manja mengambil kesempatan itu menyoal tentang gaji mereka. Adam tersenyum melihat kesungguhan Manja dalam kerjanya itu. Maklumat yang diberitahu oleh pekerja-pekerja itu jauh berbeza dengan maklumat di dalam fail yang ada padanya.
Salma yang memandang kemesraan itu mula cemburu dengan hubungan sesingkat itu. Hari pertama bekerja sahaja, Manja sudah mempunyai ramai kawan, ini semua kerana gadis ini tidak memilih kawan dan tidak sombong dengan statusnya. Salma pula takut kuasanya akan hilang memandangkan pekerja-pekerja ladang itu mendapat sokongan Manja.
BAB 9
Petang selepas pulang dari kerja, Manja menemani Mak Som ke Kampung Seberang, kampung yang menjadi kediaman Mak Som sejak dari dia dilahirkan. Perkahwinannya dengan Dato Ahmad adalah perkahwinannya yang ke dua setelah dia kematian suami tiga belas tahun yang lepas.
Mak Som bekerja dengan keluarga Dato Ahmad setelah dipelawa oleh lelaki itu ketika dia datang membeli barangan kraftangan di kampung itu. Hampir sepuluh tahun Mak som bekerja di villa itu dan menamatkan zaman jandanya dengan Dato Ahmad.
Perjalanan ke kampung Seberang memakan masa lima belas minit jika menggunakan pacuan empat roda dari Villa Sri Manja. Kereta Proton Perdana V6 berwarna hitam meluncur perlahan tatkala memasuki perkarangan kampung itu.
Sepanjang perjalanan ke rumah lama Mak Som, Manja hanya memerhatikan setiap rumah dan gerai perniagaan yang dijalankan oleh penduduk kampung itu. Penduduk kampung itu boleh dikategorikan sebagai kreatif dan berdaya saing kerana mereka sanggup bersaing sesama sendiri demi memajukan kampung mereka.
Sebuah jambatan perlu dilalui sebelum tiba ke rumah Mak Som yang terletak agak terpencil dari kawasan utama kampung itu. Hanya sebuah kenderaan yang boleh melalui jambatan itu pada satu-satu masa dan ia perlu dilalui dengan berhati-hati.
“Nenek, kenapa rumah-rumah di sini semuanya tinggi-tinggi belaka?”
Manja melontarkan kehairanannya setelah memasuki kawasan yang melepasi jambatan itu.
“Kampung ni dahulu sering dilanda banjir.”
Terang Mak Som ringkas. Sepuluh tahun yang lalu, kampung ini pernah dilanda satu banjir yang besar sehingga memaksa penduduk kampung itu berpindah selama hampir dua minggu.
Selepas pihak berwajib melebar dan mendalamkan sungai serta penduduk kampung sendiri meninggikan rumah-rumah mereka dengan memasang tiang-tiang yang tinggi, rumah mereka tidak lagi ditenggelami air walaupun kampung itu masih dilanda banjir setiap tahun. Baru Manja faham kegunaan sampan di bawah setiap rumah di kampung itu.
“Berani pulak tuan rumah tu bina rumah yang rendah macam tu.”
Manja agak hairan melihat sebuah rumah yang agak mewah dibina lebih rendah dari rumah-rumah kampung yang lain.
“Oh, itulah rumah Cik Salma. Lepas lima tahun dia bekerja di syarikat kita, dia dah boleh bina rumah untuk keluarganya, tanpa pinjaman pula tu.”
Mak Som tumpang gembira dengan kejayaan orang kampungnya. Manja pelik dengan cerita Mak Som itu, untuk membina rumah semewah itu sepatutnya perlu ada pinjaman kerana keluarga Salma bukanlah mempunyai sumber pendapatan yang banyak dan tetap. Manja dah siasat tentang pekerja itu. Kemusykilannya semakin terjawab dengan cerita-crita Mak Som itu.
Proton Perdana V6 berwarna hitam itu masuk ke perkarangan rumah lama Mak Som yang sudah lama tidak terurus. Daun-daun kering berterbangan tatkala kereta itu berhenti betul-betul di hadapan tangga rumah kampung itu.
“Manja, mehlah naik.”
Pelawa Mak Som setelah melihat Manja hanya duduk di bangku kayu di tepi tangga bersama Pak Usop, pemandu yang datang bersama mereka.
“Tak apalah Manja ambil angin kat sini sajalah.”
Manja cuba berdalih.
“Cik Manja takut dengan tangga tu, eh…”
Usik Pak Usop yang juga sudah tahu akan kecacatannya itu.
“Bukan macam tu, tapi…yalah…yalah…Manja cuba.”
Manja tiada alasan untuk mempertahankan dirinya. Dia sememangnya takut dengan ketinggian anak tangga kayu yang jauh berbeza dengan anak tangga di villanya itu. Manja menghampiri anak tangga yang pertama, tangannya memegang penghadang tangga kemudiannya diangkatnya kaki kirinya. Kaki kanannya hanya mengikuti kaki kirinya memanjat anak tangga pertama.
“Mana aci, Cik Manja ngelat.”
Kata Pak Usop yang hanya memerhati gelagat Manja itu. Manja tersenyum dengan usikan Pak Usop itu. Kali ini dia buat betul-betul, dia memberanikan dirinya melangkah dengan menggunakan kaki kanannya dan dia berjaya.
Manja melangkah menggunakan kaki kanannya dan berjaya mendaki tiga anak tangga, dua anak tangga yang terakhir ditukar kembali dengan menggunakan kaki kirinya kerana tidak tahan sakit. Pak Usop ketawa melihat gelagat Manja itu.
Rumah kampung itu tidak banyak berdebu kerana Mak Som telah mengupah orang untuk mengemas rumahnya seminggu sekali. Sedang rancak Mak Som, Manja dan Pak Usop berbual mengenai kampung yang tenang dan nyaman itu, muncul Mak Esah bersama anak lelakinya, Daud.
“Oh, Esah...Daud pun ada mehlah naik.”
Pelawa Mak Som setelah menjawab salam yang diberi Mak Esah sebentar tadi.
“Kakak….cantik…gelang kakak ni, kat… mana kakak beli?”
Soal Daud dengan nadanya yang agak lambat, berkenan pula dia dengan gelang tangan ‘tali timba’ yang dipakai Manja itu. Manja memandang Mak Som, Mak Som hanya tersenyum dengan pertanyaan Daud dan kehairanan Manja itu.
“Maafkan anak makcik, dia ni ada masalah sikit.”
Terang Mak Esah. Daud mempunyai masalah percakapan yang lambat dan pemikiran yang lemah. Semuanya angkara demam panas yang dialaminya ketika berusia 11 tahun. Manja tersenyum dan mengangguk tanda faham.
“Beli kat bandar, kenapa tanya?”
“Daud nak belikan untuk mak, mak tak pernah pakai gelang.”
Kata Daud berterus-terang. Ada nada kecewa di situ. Pada usia 28 tahun itu dia masih tidak dapat menyara keluarganya tetapi sebaliknya pula yang terjadi.
Namun begitu sejak Mak Som mengupah Mak Esah mengemaskan rumahnya, kehidupan keluarga itu lebih senang berbanding dahulu, di mana dahulunya Mak Esah terpaksa keluar masuk hutan untuk mencari buluh rotan untuk dijual kepada pembuat kraftangan. Kini semua kerja itu dibuat oleh Daud dan ayahnya sahaja.
“Nanti Manja belikan untuk mak, boleh?”
Daud menggelengkan kepalanya tidak mahu Manja berbuat demikian.
“Kalau macam tu, Daud kena bekerjalah. Apa yang Daud pandai buat?”
Soal Manja dengan nada yang lembut. Daud mengambil masa yang agak lama untuk menjawab pertanyaan Manja itu.
“Daud pandai kira, pandai tulis.”
Mak Esah menambah lagi segala pembelian barangan rumah dibeli sendiri oleh Daud dan dia tidak mudah ditipu oleh penjual kerana dia pandai mengira. Manja memandang Mak Som dan Pak Usop, kalau-kalau mereka mempunyai idea untuk membantu Daud.
“Dalam kampung ni hanya ada sebuah kedai runcit, itu pun kena seberang jambatan baru sampai.”
Terang Mak Som, Manja seperti menangkap idea itu.
“Bagus idea tu, nanti Manja uruskan semua tu.”
Daud terpinga-pinga, tidak faham dengan perbualan Manja dan Mak Som itu. Kemudian dia mencuit ibunya meminta ibunya menjelaskan kepadanya.
“Mereka nak tolong Daud berniaga. Daud tahu berniaga tak?”
Daud menggelengkan kepalanya.
“Macam abah jual buluh rotan tu.”
Daud masih tidak faham tetapi diangguknya juga.
“Jangan bimbang, Manja akan tolong Daud.”
Wajah gembira mula terpancar. Harapan Daud untuk membelikan gelang tangan kepada ibunya mungkin berhasil dengan bantuan Manja kelak.
No comments:
Post a Comment