Tuesday, March 24, 2009

musim cinta 25-27

BAB 25

Malam kekecewaan berganti hari yang gembira. Adam gembira dengan mengambil Manja sebagai teman hidupnya. Manja pula dapat menerima Adam dalam hidupnya sebagaimana lelaki itu dapat menerimanya walaupun dia tidak tahu banyak perkara tentang suaminya itu.
Sangkakan panas hingga ke petang rupanya gerimis di tengah hari. Manja dan suaminya turun untuk bersarapan pagi. Malangnya pasangan itu disambut benci oleh Dato Mazwan, Munir dan Sofia. Manja yang turun dengan memeluk lengan suaminya itu sudah menjangkakan semua ini bakal terjadi dan dia telah memaklumkannya lebih awal kepada suaminya.
“Hm...tengok tu si hodoh dan si jelek dah turun untuk santap.”
Ejek Sofia yang juga melingkarkan tangannya juga di lengan Munir. Manja memandang suaminya. Adam hanya tersenyum membalas pandangan Manja. Dia tahu semua kata-kata itu hanyalah kata-kata dengki dari seorang perempuan yang sememangnya tidak senang dengan isterinya itu.
“Sekurang-kurangnya kami pasangan yang sah.”
Kata Adam selamba. Munir yang malu dengan kata-kata itu segera meleraikan pautan tangan Sofia. Manja ketawa kecil geli hati melihat gelagat abangnya itu. Adam tahu siapa Sofia kerana dialah yang melaporkan kepada polis tentang kes langgar lari yang dilakukan gadis itu terhadap Manja dahulu.
“Dah, diam semua. Ayah pun tak suka kamu berdua berkahwin.”
Kata-kata Dato Mazwan itu membuatkan Manja terhenti tersenyum. Adam juga tertunduk mendengarnya.
“Kau ni kenapa hah, Wan. Manja nak kahwin dengan Hisyam kau tak berkenan. Sekarang dengan Adam pun kau tak suka. Kau ni kenapa, hah?”
Marah Dato Ahmad pula kepada anak tunggalnya itu.
“Bukan macam tu ayah. Hisyam tinggalkan Manja bersebab. Kesian Adam terpaksa menggantikan tempat Hisyam.”
Manja mengerutkan dahinya tanda tidak faham dengan kata-kata ayahnya itu. Adam menggelengkan kepala menafikan kata-kata Dato Mazwan itu. Sofia pula tersenyum puas dan tidak sabar-sabar menunggukan kata-kata seterusnya keluar dari mulut Dato Mazwan.
“Maksud kamu?”
“Maksud saya ayah, Manja ni tak suci sebab tulah Hisyam tinggalkan dia.”
PANG! Satu tamparan seorang ayah hinggap di pipi tua Dato Mazwan. Tua-tua pun kena tampar lagi.
“Sampai hati kau, kau tuduh anak kau macam tu. Ayah yakin Manja bukan begitu orangnya.”
“Saya pun yakin dengan Manja, Dato.”
Abdul yang baru tiba itu juga setuju dengan kata-kata Dato Ahmad itu. Adam mengusap lembut bahu isterinya cuba menenangkan isterinya. Dia tahu siapa Manja, kata-kata Dato Mazwan itu tidak menjejaskan kasih sayangnya terhadap isterinya itu.
“Kau orang luar. Kau diam.”
Terkedu Abdul mendengarnya. Buat pertama kalinya dia dianggap begitu oleh Dato Mazwan setelah sekian lama dia bersama dengan keluarga mewah itu.
“Memang saya orang luar. Dato juga percayakan orang luar dengan menuduh Manja sebegitu.”
Bela Abdul. Manja telah pun menangis dengan hinaan itu. Dia tidak sangka ayahnya akan menuduhnya begitu rupa.
“Jangan bimbang, abang percayakan Manja. Sepenuh hati abang.”
Bisik Adam sambil mencium dahi isterinya itu. Sofia yang melihat kemesraan pasangan itu mula naik marah.
“Halau saja perempuan ni keluar dari sini, uncle. Laki dia tu nak harta uncle je, biar dia rasa bila mereka dah tak tinggal kat sini lagi.”
Hasut Sofia terang-terangan. Dato Mazwan memandang Manja dengan satu pandangan yang amat marah. Matanya merah dan dengan lantangnya dia menghalau anak gadisnya itu keluar dari rumah.
“Ayah tak nak tengok kamu lagi di rumah ni. Keluar kamu dari sini. Anak derhaka.”
Kata Dato Mazwan. Adam tanpa membuang masa terus menarik tangan isterinya kembali semula ke bilik mereka untuk mengemas pakaian mereka untuk terus beredar dari Villa Sri Manja itu. Mak Som tak henti-henti menangis. Dia membisikkan sesuatu kepada suaminya.
“Kalau macam tu, kami juga takkan tinggal di sini lagi.”
Kata Dato Ahmad kecewa lalu menarik tangan isterinya beredar dari ruang makan itu. Sofia tersenyum kerana orang-orang yang dibencinya kini tiada lagi di villa itu. Dapatlah dia menguasai sepenuhnya harta kekayaan yang berada di villa itu.
Terkedu Dato Mazwan dengan kata-kata ayahnya itu. Sangkanya lelaki itu juga merajuk dengan tindakannya dan hanya menghilangkan diri buat seketika. Maka dengan itu dia membiarkan ayahnya bertindak mengikut kemahuannya sendiri.
Abdul ketawa dengan tiba-tiba sambil menepuk tangannya. Perbuatannya itu mengejut Dato Mazwan yang sedang berkhayal itu. Lelaki itu segera berpaling. Munir dan Sofia juga turut berpaling memandang Abdul.
“Hebat kau Sofia. Kau berjaya menggegarkan sebuah keluarga yang dulunya cukup bahagia.”
Kata Abdul sambil tersenyum lalu berjalan keluar meninggalkan keluarga yang berpecah belah itu. Sofia agak gentar mendengarnya lalu besembunyi di belakang tunangnya. Sebelum Manja dan Adam keluar, gadis itu duduk di tangga rumahnya itu lalu mencabut kaki palsunya itu lalu dibalingnya kepada Sofia.
“Nah, hadiah dari aku. Simpan buat kenangan.”
Tersentak Dato Mazwan dan Munir melihatnya. Tak disangka-sangkanya, gadis yang dilihatnya berjalan secara tidak normal itu rupa-rupanya cacat. Munir sikitpun tidak terkejut. Sofia yang menyambutnya cepat-cepat membuang kaki palsu Manja itu. Geli betul dia dengannya. Adam mendukung Manja keluar dari rumah itu dengan diiringi pembantu rumah dengan membawa beg pakaian mereka.






BAB 26

Dato Ahmad membawa isteri dan cucu serta cucu menantunya tinggal di rumah kampung milik isterinya. Kepulangan mereka berempat mengejutkan Daud dan keluarganya.
“Eh, Manja datang dengan beg besar.”
Kata Daud menyambut kedatangan Manja itu. Lelaki itu agak tersentak apabila melihat Manja turun kereta dengan didukung oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya.
“Mak, siapa lelaki tu? Bukan ke Manja patut kahwin dengan Hisyam?”
Soal Daud bertubi-tubi. Jika dahulu kelajuan percakapannya agak lambat tetapi kini kini lebih lancar dan tepat. Mak Esah memandang anaknya itu sambil menggelengkan kepalanya tanda dia sendiri tidak pasti tentang perkara itu.
“Manja, mana kaki Manja?”
Soal Daud. Manja memandang suaminya lalu ketawa melihat kehairanan Daud itu.
“Abang, ini Daud, tauke kedai tu.”
Perkenal Manja kepada suaminya. Lelaki bertubuh sasa dan tinggi itu menghulurkan tangan bersalam dengan Daud.
“Daud, inilah suami Manja. Syam tak jadi kahwin dengan Manja. Manja pun tak pasti apa yang berlaku padanya tapi sekarang ni yang pasti inilah suami Manja dan hanya dia yang akan Manja fikirkan.”
Beritahu Manja kepada Daud di hadapan suaminya. Adam tersenyum melihat reaksi Manja terhadapnya. Dia yakin dengan pilihannya itu dan dia yakin Manja juga akan mencintainya secara perlahan-lahan nanti.
Daud mengangguk tanda faham dengan cerita Manja itu dan dia juga ingin tahu apa yang berlaku kepada Hisyam hingga menyebabkan Hisyam tidak mahu berkahwin dengan Manja sedangkan Manja adalah cintanya yang satu.
Daud tahu kisah cinta Hisyam dan Manja. Sejak Hisyam bercinta dengan Manja. Pasangan itu sering datang membantu Daud. Mereka lebih banyak menghabiskan masa bersama hampir setiap petang dan hujung minggu.
Daud membantu mengangkat beg naik ke atas rumah. Adam mendukung isterinya naik ke rumah kemudian bersiap sedia untuk turun ke bandar untuk menempah kaki baru untuk isterinya itu dengan ditemani Abdul.
“Abang, boleh Daud tumpang abang?”
Pinta Daud tatkala melihat Adam ingin keluar dari kampung itu. Dia ingin ke kampung Hisyam untuk melihat sendiri keadaan lelaki itu dan dia ingin tahu kenapa Hisyam bertindak demikian terhadap Manja.
Mak Som dan Dato Ahmad bangga melihat Manja yang sedikit pun tidak mengalirkan air matanya dengan apa yang berlaku dalam hidupnya kini. Pasangan itu kini bersiap untuk memulakan hidup mereka di rumah kampung itu.
“Atuk, nenek...Manja akan ikut abang Adam pulang ke rumahnya.”
Beritahu Manja kepada datuk dan neneknya ketika mereka bertiga duduk di dapur membantu Mak Som memasak untuk makan tengah hari mereka. Dato Ahmad dan Mak Som saling berpandangan.
“Baguslah, sekurang-kurangnya bila kamu dah berada bersama suami kamu tu, hilang sikit rasa sakit hati kamu tu. Pandai-pandailah kat tempat orang, ya.”
Ujar Mak Som sambil tangannya ligat memotong sayur untuk di goreng. Manja mengangguk mendengar nasihat itu.
“Betul tu, atuk tak tahan betul dengan sikap melampau ayah kamu tu. Bila abang kamu kahwin nanti tak ingin atuk pergi.”
Kata Dato Ahmad dengan marahnya.
“Atuk, tak baik putuskan silaturahim macam tu. Jangan kerana Manja atuk tak nak pergi majlis abang nanti. Atuk pergilah raikan mereka.”
Dato Ahmad tersenyum sambil mengusap lembut kepala cucunya itu sambil mengangguk. Perangai cucunya itu tak pernah berubah.
“Tapi, kan...masa kita nak keluar tadi. Nenek tak tahan lagi tengok muka ayah dan abang kamu yang terkejut beruk bila tengok kamu berikan kaki palsu kamu tu kat Sofia.”
Kata Mak Som separuh ketawa. Dato Ahmad dan Manja mula ketawa bersama-sama mengingatkan peristiwa pagi tadi.

Daud pula telah berdiri di hadapan rumah Hisyam. Hisyam dipanggil beberapa kali oleh Daud tetapi tiada balasan. Daud mengintai pula keadaan di sekeliling rumah Hisyam yang agak sunyi itu.
“Hah, Daud. Apa kau nak datang rumah aku ni?”
Soal Halimah yang melihat Daud mengendap di sekitar rumahnya itu.
“Er...Syam ada?”
Soal Daud terketar-ketar. Takut betul dia melihat wajah bengis Halimah itu.
“Tak ada. Anak aku dah mati.”
“Innalillah...”
Kata Daud seraya melangkah meninggalkan rumah kampung itu. Daud berjalan perlahan-lahan meninggalkan kediaman kampung yang agak selesa itu.
“Hei, Daud.”
Panggil jiran Halimah yang amat mengenali Daud itu.
“Syam belum mati lagi. Aku tahu kat mana dia, jom aku tunjukkan.”
Kata lelaki itu seraya menarik tangan Daud menuju ke belakang rumahnya. Dari belakang rumahnya itu mereka dapat melihat sebuah pondok buruk yang menempatkan Hisyam.
“Bang, kenapa mak dia kurung Syam dalam tu?”
“Seminggu sebelum Syam kahwin, seorang perempuan seksi datang ke rumah Halimah, dia beritahu Halimah yang Manja tu tak suci lagi. Hisyam tak percaya tetapi Halimah mati-mati percayakan kata perempuan seksi tu. Pasal tulah Hisyam kena kurung dalam pndok buruk tu. Sampai sekarang Syam masih ada dalam pondok buruk tu. Abang rasalah dah gila agaknya budak tu. Tiap-tiap malam dia menangis memanggil nama Manja.”
Daud mendengarnya dengan teliti. Simpati juga dia mendengar cerita tentang Hisyam itu tetapi dia tidak boleh menceritakannya kepada Manja kerana Adam yang baru dikenalinya sudah mampu untuk membahagiakan Manja. Mungkin inilah yang dikatakan orang tiada jodoh.




BAB 27

Gadis itu teringat akan pesan abang angkatnya.
“Adik, love this guy, he is your angle.”
Sangka Manja abang angkatnya berkata demikian kerana lelaki itu menyelamat-kannya dari mendapat malu besar ketika majlis perkahwinannya yang hampir terbatal. Tanpa pengetahuannya ada rahsia yang disembunyikan oleh Abdul. Lelaki itu mahu Manja mengetahui rahsia itu dengan peredaran masa dan dapat menerima Adam kerana cintanya.
Teksi mula bergerak ke lapangan terbang meninggalkan rumah kampung dan ahli keluarga gadis cacat itu. tidak pernah terlintas dalam fikirannya yang dia akan meninggalkan semua kenangan itu.
Tangannya memeluk pinggang Adam dan kepalanya dilentokkan di dada sasa lelaki itu. Tanpa disedarinya, dia terus terlena dengan penuh linangan air mata. Adam juga membiarkan Manja terus terlena.
Lelaki itu tiba-tiba terkenangkan pesan datuk dan nenek Manja kepadanya sebelum pasangan itu berangkat untuk pulang ke kediaman Adam di sebuah pulau peranginan di pantai timur.
“Adam, kau janji dengan atuk, kau takkan titiskan lagi air mata Manja.”
Adam mengangguk bersetuju dengan kata-kata Dato Ahmad itu. Dia nekad untuk menyayangi gadis impiannya itu sepenuh hatinya. Lelaki itu memeluk bahu Manja lalu mengucup dahi gadis itu dengan lembut.
Manja di bawa naik ke kapal terbang dengan hati-hati. Pasangan itu tidak berenggang sedikitpun. Adam mahu pastikan isterinya itu sentiasa berada di dalam keadaan selamat dan terkawal.
“Manja, bangun sayang. Kita dah sampai.”
Adam mengejutkan isterinya setibanya mereka di lapangan terbang di tanah besar. Selepas itu mereka perlu menaiki feri untuk ke sebuah pulau yang menjadi kediaman Adam sejak lelaki itu kecil lagi.
“Abang, ceritalah pasal keluarga abang. Kita dah nak sampai pun kat kampung abang ni. Tapi Manja masih banyak tak tahu tentang keluarga abang. Bukan tu aje, pasal abang pun Manja banyak tak tahu.”
Soal Manja ketika mereka bersama-sama di dalam feri. Adam melemparkan sekuntum senyuman yang paling manis untuk isterinya. Baginya itu semua tak penting, yang lebih penting adalah sayangnya untuk gadis yang bergelar isterinya itu. Dia mahu isterinya itu tahu bahawa kasih dan sayangnya itu hanya untuk gadis itu.
“Rumah abang taklah sebesar rumah Manja…”
“Manja tak kisah. Kalau kita duduk kat pondok sekalipun Manja tak akan tinggalkan abang.”
Adam tersenyum mendengar kata-kata isterinya itu. Bangga betul dia dengan isterinya itu. Walaupun perkahwinan mereka bukan dirancang tetapi dia bahagia dengan apa yang dimilikinya itu.
Lelaki itu mula bercerita hingga feri yang mereka naiki sampai ke sebuah pulau yang tenang lagi nyaman. Manja tidak banyak menyoal, sebaliknya hanya mengikuti sahaja langkah suaminya itu. Lelaki itu menahan sebuah teksi, belum pun sempat Adam memberitahu apa-apa, pemandu teksi itu terus menyapa Adam dengan mesra.
“Akhirnya dapat jugak kamu puteri kayangan kamu, ya Dam.”
Seloroh pemandu teksi itu sambil menjeling ke arah Manja. Manja tersipu-sipu malu. Dia mula mengenangkan kisah yang diceritakan Adam kepadanya pada malam perkahwinan mereka. Pakcik ni pun tahu ke. Popular jugaklah cerita ni rupa-rupanya. Fikir Manja sambil tergelak kecil mengenangkannya.
Perjalanan selama lima belas minit itu akhirnya membawa pasangan itu ke hadapan sebuah rumah yang teramatlah mewahnya. Rumah yang sebesar istana itu membuatkan Manja teragak-agak untuk membenarkan suaminya itu melangkah masuk.
“Abang, rumah siapa ni. Kita ada temujanji ke dengan tuan rumah ni?”
Soal Manja sambil menarik tangan suaminya memberhentikan langkah bersamanya. Adam tersenyum melihat isterinya yang menggelabah itu.
“Puan, masuklah dulu. Puan tentu penat ni.”
Kata pemandu teksi itu dengan lembut. Adam menggenggam erat tangan Manja lalu menekan butang yang terletak di sebatang tiang sebelum masuk ke pintu utama rumah besar itu.
Tatkala pintu besar itu dibuka, semua ahli rumah besar itu yang kebanyakannya berpakaian uniform hitam dan putih menyambut Adam dengan meriah sekali. Soalan mereka silih berganti dan pelbagai. Semakin keliru Manja dibuatnya.
Banyak yang Manja tidak dapat mendengar kata-kata orang-orang itu dengan jelas. Apa yang gadis itu dapat menangkap adalah ‘tuan, akhirnya puteri itu milik tuan jugak, kan.’ dan ‘tahniah tuan, akhirnya.’
Langkahnya dimatikan apabila dia melihat gambarnya bersaiz potret digandingkan bersama Adam sebesar-besarnya di gantungkan di ruang yang telah dikhaskan. Di setiap sudut rumah itu juga terdapat gambar-gambarnya pelbagai posisi. Semua gambar-gambar itu hasil lukisan yang sungguh unik dan cantik. Jika sekali lihat tak nampak pun yang semua itu gambar hasil lukisan. Dia sendiri hairan melihat gambar-gambar itu, pakaiannya tidak pula dia pernah dimilikinya.
Dia merenung Adam dengan seribu satu pertanyaan. Adam yang sibuk melayan pembantu-pembantu rumahnya yang telah pun menjadi teman hidupnya itu akhirnya meminta ke semua mereka diam dan berjanji akan menceritakan semua itu kepada semua penghuni rumahnya itu bagaimana dia berjumpa dengan puteri idamannya itu. Sekarang dia perlu menerangkan sesuatu kepada isterinya supaya gadis itu tidak tertekan dengan apa yang dilihatnya.
“Manja, Manja ingat tak. Abang pernah ceritakan kisah putera tu pada Manja.”
Manja mengangguk. Adam menarik tangan isterinya lalu mereka duduk di anak tangga kedua yang diperbuat dari marmar hitam. Tangga itu menghubungkan ruang bawah dan ruang atas rumah bak istana itu. tangga-tangga di istana itu juga bercabang-cabang kerana ia menghubungkan setiap tingkat yang berbeza-beza.
“Putera tu abanglah dan puteri idaman putera tu adalah Manja. Tiga tahun lepas abang sering bermimpikan Manja, abang ceritakan pada kawan-kawan abang ni. Tapi mereka semua ni gelakkan abang. Abang tak pandai melukis jadi abang pun mintaklah seorang pelukis melukis mengikut imaginasi abang. One day, masa kat London abang jumpa Manja tapi dengan orang lain and then abang ikut perkembangan Manja melalui kawan abang. Akhirnya abang dapat kerja di villa, dengan cara itu abang boleh rapat dengan Manja. Now we are husband and wife.”
Tersentak Manja mendengarnya. Cerita sependek itu membuatkan dia masih tidak dapat menerimanya dengan akal yang waras. Gadis itu tersenyum pada suaminya. Cinta mimpi. Sebegitu dalamkah cinta lelaki itu padanya. Tapi kenapa masih tiada perasaan cinta terhadap suaminya itu. Gadis itu mengeluh lembut.
“Abang, Manja cacat. Manja tak layak untuk jadi puteri abang.”
Tersentak semua penghuni rumah besar itu mendengarnya. Masing-masing terdiam tetapi Adam masih mampu tersenyum kerana Adam tahu segala-galanya.
“Manja, cacat bukan penghalang cinta seseorang. Sebenarnya jodoh yang mempertemukan kamu berdua, sesungguhnya ciptaan tuhan yang Esa sungguh sempurna.”
Kata-kata seorang lelaki yang sebaya datuknya itu mengejutkan gadis cacat itu. Dia memandang lelaki itu sambil tersenyum.
“Manja, jika Manja ada Mak Som. Abang ada Pak Khalid ni. Dialah yang jaga abang selepas ibu bapa abang meninggal dunia.”
Manja tersenyum lalu berdiri dengan bantuan suaminya, gadis itu cepat-cepat menghulurkan tangan berjabat mesra dengan lelaki itu.
“Abang panggil dia baba kan, kalau macam tu boleh Manja panggil dia dengan panggilan tu jugak?”
Adam dan Pak Khalid mengangguknya. Manja pernah dengar cerita baba ini dari Adam ketika mereka berada di majlis perkahwinan Abdul. Banyak perkara yang Adam tahu dipelajarinya dari baba.
“Ini isteri Baba, namanya Amina.”
Manja tersentak melihat wanita yang hampir sebaya dengan Mak Som itu. Dengan tidak semena-mena gadis itu memeluk Amina dengan erat. Semua orang di sekeliling mereka sekali lagi terkejut dengan gelagat Manja itu.
“Biarlah. Dia rindukan sangat kat nenek kesayangannya tu.”
Kata Adam sambil mengusap lembut belakang isterinya itu. Manja beralih pula memeluk suaminya. Lelaki itu cukup memahaminya dan dia amat-amat memerlukan sokongan suaminya itu sekarang. Pembantu-pembantu rumah besar itu tersipu-sipu malu melihat gelagat tuan dan puan besar mereka itu.
“Dah…dah…pergi buat kerja kamu masing-masing.”
Arah Amina dan dengan sepantas kilat semuanya menghilangkan diri dari pandangan Amina. Manja tersenyum melihat telatah pekerja-pekerja rumah besar itu.
“Jom, abang tunjukkan bilik kita.”
Manja mengekori suaminya menuju ke nilik mereka. Adam berhenti di hadapan anak tangga yang tinggi menuju ke tingkat tiga bilik mereka.
“Tangga lagi.”
Adu Manja lembut. Adam tersenyum mendengarnya.
“Kita tak perlu guna tangga ni. Tengok kat sana tu. Mulai dari hari ini Manja hanya perlu guna lif tu untuk naik turun, okey sayang.”
Riak wajah Manja berbunga riang. Dia memeluk lengan Adam menuju ke arah lif yang setia menunggu pasangan itu. Lif yang hanya digunakan oleh pasangan itu terus membawa mereka ke bilik mereka di tingkat tiga kediaman mewah itu.
Adam berjalan perlahan mengikut rentak isterinya menuju ke bilik mereka yang terletak di suatu sudut mengadap matahari jatuh.
“Abang, nanti boleh Manja tidur sekejap.”
Pinta Manja dengan nada lembutnya. Adam mengangguk mengizinkannya. Pintu bilik tidur mereka dibuka Adam. Tatkala daun pintu itu dikuak lelaki itu, tirai kristal berwarna biru lembut menyanyi riang berlaga sesama sendiri. Manja tersentak memandangnya. Satu kejutan yang amat-amat tidak dijangkanya.
Gadis yang serba sederhana itu tidak menyangka suaminya akan melakukan ini semua untuknya. Memang ada hikmah disebalik pembatalan perkahwinannya dengan Hisyam itu dan kini yakinnya semakin kukuh bahawa Adam ditakdirkan untuknya.
Lelaki ini begitu teliti tentangnya. Dia merasakan seolah-olah Adam mengenalinya sudah lama. Lebih lama dari pertemuan mereka di Kota London di mana hanya Adam yang melihatnya dari jauh itu.

No comments: