BAB 39
Sejak diselamatkan Abdul, Adam kini semakin sembuh. Ingin sekali dia bertanya khabar isterinya tetapi dia takut Mariam dan Mastura akan melakukan sesuatu terhadap isterinya jika dia tahu lelaki itu masih hidup.
“Hei, kenapa termenung ni?”
Soal Abdul sambil melabuhkan punggungnya di sisi Adam. Adam tersenyum sahaja memandang wajah Abdul yang sentiasa tersenyum itu.
“Saya rindukan Manja. Macam manalah keadaannya dia sekarang ni, ek.”
“Jangan risau, kan teman-teman kamu ramai di sana untuk menemani Manja. Abang yakin Manja pasti selamat di sana.”
Kata Abdul memberi semangat kepada Adam padahal dia sendiri risaukan adik angkatnya itu. Berdasarkan cerita Adam itu dia pasti Mariam lebih dahsyat dari Sofia.
Gagal mendapat Manja di kediamannya, keluarga kecil itu akhirnya mengambil keputusan untuk pulang sahaja. Mereka mengambil keputusan untuk singgah ke rumah Abdul sebelum berangkat pulang ke kediaman mereka.
Sejak berjaya merawat Munir, Abdul kini dapat menerima kembali keluarga itu dengan baik. Tiada lagi syak wasangka dalam fikirannya, tiada lagi dendam yang tersirat didalam hatinya terhadap keluarga yang pernah menghinanya dahulu.
“Tak payahlah susah-susah masakkan lauk untuk kami.”
Kata Dato Ahmad apabila melihat Suraya mengeluarkan ayam dan daging beku dari ruangan atas peti sejuk.
“Malam ni Aya nak kita makan malam sama-sama.”
“Atuk, tinggallah kat sini lama sikit.”
Pujuk Abdul, lelaki yang berumur lebih dari sepuluh dekad itu mengangguk setuju. Tidak sampai hati ingin menolak pelawaan lelaki yang telah dianggap sebagai cucunya itu.
Menjelang malam semuanya mula berkumpul di meja makan untuk menikmati hidangan yang telah di masak Suraya petang tadi bersama-sama Mak Som.
“Aa, sebelum makan, Abdul nak kenalkan seorang lagi tetamu istimewa kita.”
Munir memandang datuk dan ayahnya sambil mengerutkan dahinya. Mereka mula menaka-neka siapakah tetamu istimewa itu.
“Kami kenal ke?”
Soal Munir inginkan kepastian.
“Kenal…kenal sangat-sangat.”
Jawab Suraya lembut tatkala Abdul telah pun hilang dari pandangan mereka. Beberapa minit kemudian Abdul muncul dengan membawa seorang lelaki berkerusi roda.
“Adam”
Munir, Dato Mazwan dan Dato Ahmad berdiri serentak terkejut dengan apa yang dilihat mereka itu. Adam yang disangka-sangkakan orang ramai telah meninggal dunia akibat kemalangan itu muncul di hadapan mereka.
“Kami yang jumpa dia di tepi pantai tempoh hari, kami bawa dia pulang. Kami bercadang nak laporkan pada pihak polis tentang penemuan Adam ni tapi Adam tak mahu demi keselamatan isterinya.”
Sekali lagi keluarga Manja itu terkejut apabila mendengar tentang keselamatan isteri Adam yang juga anak perempuan tunggal mereka.
Dato Ahmad berlari mendapatkan menantu cucunya itu lalu dipeluknya. Gembiranya tak terkata tatkala berjumpa dengan insan yang menyelamatkan maruah keluarganya dahulu.
Munir dan Dato Mazwan menghampiri Adam, mereka tanpa segan silu terus meminta maaf di atas kesilapan mereka dahulu. Adam seperti juga Manja begitu mudah memaafkan insan-insan yang dahulunya menghina dan menyakiti mereka.
“Jom, kita makan.”
Abdul mempelawa semuanya makan. Munir mengambil alih tugas Andul menolak kerusi roda Adam menuju ke meja makan. Malam itu mereka menikmati hidangan dengan riang dan gembira.
Begitu mudah mereka melupakan sengketa mereka yang dahulunya dimusnahkan oleh seorang gadis yang kuat cemburu dan iri hati yang tidak bertempat. Selepas makan malam Adam di bawa Munir menuju ke ruang tamu kediaman Abdul itu.
“Keluarga kamu dah tahu keadaan kamu sekarang?”
Soal Dato Ahmad. Adam menggelengkan kepalanya.
“Macam mana semua ni boleh berlaku?”
Soal Dato Mazwan pula ingin tahu. Adam mula menceritakan detik-detik terakhir bagaimana kemalangan yang hampir meragut nyawanya ini boleh berlaku. Dia juga memberitahu kemalangannya ini ada kaitannya dengan Mariam dan Mastura.
“Tak sangka kan, ibu saudara sendiri sanggup berbuat demikian.”
Kata Mak Som simpati.
“Kalau semua ni ada kaitan dengan mereka, Manja mesti dalam bahaya.”
Teka Abdul.
“Oh, patutlah masa kami pergi lawat dia semalam, ada seorang wanita dengan lantangnya mengatakan Manja dah mati.”
Adam berdiri mendengarnya. Dia yakin orang yang dimaksudkan Munir itu adalah Mariam, wanita itu berani melakukan apa sahaja demi harta dan dendamnya. Abdul terkejut melihat Adam berdiri.
“Adam, kamu….”
“Abang, Adam tak kira, Adam nak pulang sekarang jugak. Manja dalam bahaya, jika kita terlambat selamatkan dia, kata-kata Mariam pasti menjadi kenyataan.”
Berderau darah Munir dan Dato Mazwan mendengarnya. Mereka juga turut bimbang setelah mendengar kata-kata Adam itu. Nyawa Manja dalam bahaya dan mereka perlu pulang ke Pulau Triggo untuk menyelamatkan nyawa gadis cacat itu.
BAB 40
Dari siang membawa ke malam. Agak lama Manja cuba mencari jalan keluar dari hutan tebal itu tetapi malangnya tidak berjaya. Suasana semakin gelap dan itu membuatkan dia buntu untuk terus mencari jalan keluar.
Kerana kepenatan Manja akhirnya terlena di bawah sebatang pohon yang rendang di tengah hutan di dalam kegelapan malam yang hanya disinari samar-samar cahaya bulan itu.
“Macam mana perempuan tu boleh terlepas?”
Marah Mariam kepada pengikut-pengikutnya. Dua orang lelaki yang setia menunggu Manja sejak gadis itu dikurung di pondok buruk di tengah hutan di hujung pulau itu hanya mendiamkan diri, tidak berani menjawab kerana takut.
“Mak, dia bawak lari dokumen tu, macam mana ni, mak.”
Adu Mastura risau.
“Macam mana apa, cari jelah sampai dapat. Aku yakin dia tak boleh pergi jauh dengan keadaan dia macam tu.”
Tanpa berlengah lagi dua orang lelaki suruhan Mariam itu bergegas keluar dari pondok buruk itu mencari Manja dalam suasana malam yang suram dan dingin itu.
Tiba-tiba awan berarak mendung, sudalah suasana malam itu sememangnya gelap, mendung pun bukannya perasan pun. Sedar tak sedar guruh berbunyi kuat, diselang seli pula dengan kilat yang sabung-menyabung di ruang angkasa.
Manja tersedar dari lenanya. Sejuk yang menusuk ke tulang mengganggu lenanya, tambahan pula bunyi yang menggerunkannya di dada langit memaksa Manja bingkas bangun dan beredar dari situ.
Dalam kepenatan, Manja menguatkan dirinya meneruskan perjalanan dengan harapan dia terjumpa dengan tempat berteduh. Kerana tidak menjamah sebarang makanan sejak awal pagi tadi, badannya berasa lemah untuk terus melangkah.
Dalam beberapa saat sahaja hujan mula turun membasahi bumi dan dia semakin lemah untuk meneruskan perjalanannya. Kerana takut dengan bunyi dan suasana itu, Manja mula menangis teresak-esak.
Langkah sumbangnya semakin lemah hinggakan dia tidak mampu lagi untuk meneruskan langkahnya. Sedar tak sedar gadis itu akhirnya jatuh pengsan, bersendirian di tengah-tengah hutan yang tiada berpenghuni. Malam terus berlalu bersama hujan yang turun tanpa henti, Manja juga turut basah kuyup akibat disimbahi hujan yang tanpa henti malam itu.
“Ayah, sejuk betullah pagi ni, kita tak payahlah masuk jauh sangat.”
Pinta Murni, gadis kampung yang sering mengikut ayahnya masuk ke dalam hutan mencari buluh untuk dijadikan lemang. Murni dan Pak Abu akan masuk ke dalam hutan sekali dalam seminggu untuk mencari buluh-buluh yang sesuai mengikut permintaan pelanggan.
Tiba-tiba Murni menjerit memanggil ayahnya apabila dia terlihat sekujur tubuh seorang gadis terlentang di atas tanah hutan yang lembab itu.
“Ayah…cepat datang…tolong…”
Jeritan Murni menakutkan Pak Abu. Dia yang menyangka anaknya itu mendapat kemalangan itu bergegas meninggalkan kerjanya lalu berlari mendapatkan anak tunggal nya itu.
“Kenapa…kenapa, nak?”
“Ni, tengok ni, oranglah…ayah.”
Beritahu Murni sambil menghampiri gadis yang tidak sedarkan diri itu.
“Murni, hati-hati nak.”
Beritahu Pak Abu apabila anaknya cuba memalingkan badan gadis yang terlentang itu.
“Dia masih hidup ke?”
Murni mengangguk menjawab pertanyaan ayahnya itu.
“Ayah, kitra kena bawak dia pulang, kita kena selamatkan dia.”
Pinta Murni. Pak Abu mengangguk bersetuju dengan cadangan anaknya itu. Ketika Murni dan Pak Abu cuba memapah gadis itu mereka terkejut melihat kaki gadis itu yang tidak sama.
“Ayah, dia cacat.”
Pak Abu mengangguk. Walaupun terkejut dengan keadaan gadis itu mereka dengan penuh berhati-hati membawa gadis itu pulang ke teratak buruk mereka yang terletak di hujung hutan tebal itu.
Selang dua jam kemudian Manja tersedar dari pengsannya. Alangkah terkejutnya gadis itu apabila dia menyedari dia berada di dalam sebuah bilik yang usang.
“Kakak, berehatlah. Kakak masih lemah.”
Manja yang melihat Murni yang duduk di sebelahnya mengundurkan dirinya.
“Kakak jangan risau, kakak sekarang ni berada kat rumah Murni. Murni dan ayah yang bawak kakak keluar dari hutan tu.”
Murni sedikit lega dengan penerangan itu. mendengar kata-kata itu, kini baru dia faham bahawa dia telah keluar dengan selamatnya dari hutan tebal itu. Gadis itu merebahkan kembali badannya ke katil. Murni mengusap lembut rambut Manja dengan tuala lembab. Belaiannya yang lembut itu membuatkan Manja akhirnya terlena.
“Kakak, kakak jangan takut… kakak selamat kat sini. Kakak buat apa sorang-sorang dalam hutan tu, setahu Murni tak ada orang tinggal dalam hutan tu. Rupa kakak ni pun bukan biasa kat kampung ni, kakak ni mesti orang luar kan.”
Murni yang menunggu jawapan dari Manja itu melihat mata Manja yang telah pun tertutup rapat itu.
“Lah, dah tidur rupanya…”
Murni ketawa sendirian. Rupa-rupanya dia berceloteh sendirian tanpa dihiraukan oleh Manja. Dia tidak menyalahkan gadis cacat itu memandangkan dia faham keadaan Manja sekarang, penat dan keletihan.
Adam dan keluarga Manja mula bertolak dari kediaman Abdul ke Pulau Triggo. Abdul dan isterinya tidak melepaskan peluang ke pulau itu, mereka juga ingin turut serta berjumpa dengan Manja yang sekian lama terpisah dari mereka.
“Adam, abang yakin Manja seorang gadis yang kuat dan tabah dia pasti dapat mengatasi semuanya ini dengan berani.”
Pujuk Munir setelah melihat Adam agak keresahan sepanjang perjalanan mereka ke Pulau Triggo. Adam semakin resah setelah mendapat maklumat dari kediamannya yang menyatakan Manja kemungkinan diculik Mastura dan ibunya.
“Tapi bang, Manja berbadan dua. Dia tak mampu untuk mengatasi masalah ni bersendirian.”
Alangkah terkejutnya Munir dan ahli keluarga Manja yang lain setelah mendapat khabar berita itu. Gembira bercampur risau mula menyelubungi perasaan mereka, kini mereka mula faham dengan perasaan Adam sekarang ini.
Mariam dan Mastura terus diekori pihak polis tanpa pengetahuan mereka berdua. Sejak mereka berdua kehilangan Manja, dua beranak itu tidak lagi masuk ke pondok usang di dalam hutan di Pulau Triggo itu. Pihak polis hampir kecewa setelah seminggu pemerhatian mereka tidak membuahkan apa-apa hasil yang boleh dibanggakan.
“Tuan, saya fikir kita kena ubah rancangan kita ni, puan Manja mesti dalam bahaya.”
“Tidak, kita tidak boleh buat apa-apa sekarang ni. Puan Mariam dah ada rekod polis, dia mesti akan mencederakan mangsa jika dia tahu kita mengekorinya.”
Pada hari ke lima, Mastura dan ibunya akhirnya masuk kembali ke tempat persembunyian mereka di tengah-tengah hutan tebal itu. Pihak polis yang mengekori dua beranak itu gembira dengan perkembangan terbaru itu.
“Puan, kami percaya Puan Manja dah mati, mungkin dah dimakan oleh binatang buas.”
“Aku tak percaya selagi aku tak lihat dengan mata aku sendiri mayat perempuan sial tu.”
Marah Mariam. Suaranya yang lantang itu jelas kedengaran hingga ke luar pondok. Polis yang telahpun membuat kepungan di sekitar pondok itu akhirnya menyerbu masuk menangkap semua yang ada di dalam pondok usang itu.
Mastura meninggalkan ibunya dan cuba melarikan diri melalui tingkap tetapi dia tidak berjaya meloloskan diri apabila polis berjaya menangkapnya. Mariam pula mengamuk seakan-akan dirasuk. Pihak polis mengabaikan sahaja perbuatan bodohnya itu dan terus membawanya keluar dari hutan itu dengan di gari rapi.
BAB 41
Setibanya Adam dikediamannya, dia terhinjut-hinjut melangkah masuk ke dalam rumahnya dengan bantuan topang ketiak. Ahli keluarga Manja dan Abdul bersama isterinya hanya mengokori Adam dari belakang.
“Baba...Mami…”
Adam menjerit memanggil kedua orang tuanya.
“Ana…Ani…mana korang semua ni.”
Adam memanggil pula teman-temannya, namun tiada balasan dari mereka. Adam hampir kecewa, air mata jantannya mula mengalir membasahi pipinya yang mula ditumbuhi jambang itu.
Lelaki itu merebahkan badannya ke lantai marmar rumah mewah itu. Abdul dan Munir berlari mendapatkan Adam yang terjelupuk ke lantai sambil menangis itu.
“Abang, kenapa nasib saya macam ni. Mana semua orang ni…kenapa perlu saya sendirian...tanpa mereka saya yatim piatu, bang…yatim piatu.”
Adam mengadu nasibnya yang sangkanya cukup malang itu. Air matanya terus membasahi pipinya dan tumpah ke lantai.
“Adam…Adam bukan sendirian, kami kan ada, kami kan keluarga Adam jugak.”
Pujuk Munir. Adam terharu dengan kata-kata Munir itu lalu memeluk lelaki itu.
Rahmat yang membawa Pak Khalid dan Amina pulang dari balai polis itu terkejut melihat beberapa orang yang tidak dikenali mereka berkumpul di dalam rumah mereka.
“Eh, ni kenapa ramai-ramai ni? Siapa kamu semua ni?”
Soal Amina kehairanan. Semua tetamu berpaling ke arah suara yang bertanya itu. apabila Pak Khalid melihat Adam yang terjelupuk di lantai itu, air mata tuanya mula mengalir deras.
“Adam…”
Lelaki tua itu berlari mendapatkan anak asuhannya itu lalu dipeluk dan diciumnya. Alangkah gembiranya hatinya apabila berjumpa semula dengan anak yang disangkanya telah mati.
“Syukurlah kau masih hidup...”
Rahmat yang juga terkejut melihat tuannya itu bergegas mendapatkan rakan-rakannya yang juga baru pulang dari balai polis itu. Semuanya berlari mendapatkan tuan mereka dan dalam sekelip mata sahaja semuanya mula mengkerumuni Adam. Ada yang memeluknya dan ada yang mengusap bahu lelaki yang paling disayangi mereka itu.
“Bang, Adam sememangnya bukan yatim piatu bang, dia sememangnya seorang lelaki yang kaya. Beruntung cucu kita kahwin dengannya.”
Ujar Mak Som dan Dato Ahmad mengangguk setuju. Tanpa disedari mereka, air mata mereka juga turut menitis apabila menyaksikan pertemuan kembali Adam dan keluarga besarnya itu. Adam sememangnya kaya dengan kasih sayang.
“Ani…kamu yang paling rapat dengan Manja, mana dia?”
Soal Adam sayu kepada Ani yang sememangnya paling rapat dengan Manja. Ani tertunduk, dia tidak mampu melihat kesayuan Adam yang terserlah pada wajahnya itu. Ani mengeluarkan sekeping nota dari poket uniform-nya lalu dihulurkan kepada Adam.
“Maafkan saya tuan, saya tak mampu jaga puan dengan baik.”
Kata Ani dan seraya dengan itu dia mula menangis teresak-esak.
“Ani, saya tak salahkan awak, kita sama-sama cari Manja, key. Saya pasti dengan kudrat yang kita ada Manja pasti dapat diselamatkan.”
Dato Ahmad bangga dengan Adam yang dapat menenangkan kawan-kawannya sedangkan dia sendiri juga teramat risaukan Manja.
“Tekaan puan tepat, Puan Mariam dan Cik Mas sememangnya ada kaitan dengan kemalangan tuan, dia kini berada di balai polis untuk membantu siasatan.”
Beritahu Rahmat kepada tuannya setelah melihat Ani tidak mampu lagi untuk menceritakan apa yang berlaku di dalam rumah itu semenjak ketiadaan Adam.
“So, mana Manja sekarang ni?”
Soal Adam inginkan kepastian.
“Kami gagal dapatkan puan yang dikurung Puan Mariam dan Cik Mas. Puan Manja terlepas dan polis masih mencari puan di dalam hutan tu. Rakan-rakan kita pun ada membantu pihak polis mencari puan.”
Terdiam seketika Adam mendengarnya. Sekali lagi dia terjelupuk ke lantai, kecewa dengan dirinya sendiri kerana gagal melindungi isteri kesayangannya. Masing-masing cuba menenangkan Adam yang sememangnya hampir berputus asa dengan nasib yang menimpanya itu.
Tiba-tiba Adam berdiri dan berjalan terhinjut-hinjut keluar dari kediamannya. Semua mata yang memandang Adam hairan dengan sikap lelaki itu. Mereka mengekori Adam hingga ke luar rumah.
“Tuan, tuan nak ke mana tu?”
“Saya nak keluar cari Manja, Manja amat memerlukan saya sekarang.”
Kata Adam teresak-esak. Sendunya membuatkan rakan-rakannya turut menangis bersamanya.
“Tuan, dah lewat ni. Esok kita sama-sama keluar cari puan, ya.”
Adam mengangguk bersetuju dengan cadangan Rahmat itu.
Sepanjang malam Adam tidak dapat melelapkan matanya. Dia asyik bermundar-mandir di dalam biliknya. Berpusing ke kanan, wajah Manja terbayang di mata, berpusing ke kiri kenangan Manja mengusik kalbunya.
Adam semakin resah mengenangkan nasib yang menimpa isterinya, sakitnya yang semakin berkurangan dirasakan semakin berat. Dia bagaikan hilang keyakinan untuk terus hidup memandangkan nasib yang menimpa isterinya tidak diketahuinya.
Adam berjalan keluar ke beranda biliknya lalu dilabuhkan punggungnya ke buaian rotan di beranda itu. Tanpa disedarinya dia mula terlena di atas buaian itu sambil menitiskan air mata jantannya.
“Abang…”
Suara itu mengingatkan dia pada seseorang. Matanya cepat-cepat dibukanya. Alangkah terkejutnya lelaki itu apabila melihat wajah isterinya yang berseri-seri sedang menguntumkan senyuman kepadanya.
“Manja…Manja ke ni?”
“Yalah, Manjalah ni. Siapa lagi. Abang, kenapa tidur kat sini. Sejuklah, mari Manja temankan abang tidur kat katil.”
Manja menemani suaminya itu ke katil. Gadis itu menyelimut Adam sejurus lelaki itu melabuhkan badannya ke katil.
“Abang tidur, okey. Esok kita sembang lagi.”
Adam mengangguk setuju, Manja mengusap lembut kepala suaminya sehingga lelaki itu terlena lagi.
Apabila Adam membuka matanya, dia tersedar dia berada di tempat berbeza dari tempat dia terlena malam tadi. Cuaca juga sudah berubah dari malam ke siang. Lelaki itu mula yakin dan pasti orang yang dijumpainya semalam adalah isterinya.
Adam menjerit-jerit memanggil isterinya. Namun itu semua tiada balasan. Lelaki itu akhirnya mengambil keputusan untuk mencari di luar biliknya pula. Rahmat yang terkejut mendengar jeritan tuannya itu bergegas mendapatkan lelaki itu.
“Tuan, kenapa ni?”
“Mat, Manja pulang…semalam dia berbual-bual dengan saya.”
Rahmat tertunduk mendengar cerita tuannya itu. Namun igauan itu perlu dihentikan demi kesihatan tuannya itu.
“Tuan, puan belum pulang lagi. Tuan pergi bersiap, kita pergi balai polis ikut polis cari puan, okey.”
Adam kecewa mendengar kata-kata Rahmat itu. Lelaki itu berpatah balik ke biliknya dengan kecewanya dan bersiap untuk keluar mencari Manja. Kecewanya Adam membuatkan keluarga Manja turut simpati dengan nasib Adam itu.
Adam kelihatan lebih kecewa berbanding keluarga Manja sendiri. Perkara itu membuatkan Dato Ahmad dan Dato Mazwan berbangga dengan sikap Adam itu.
No comments:
Post a Comment