Tuesday, March 24, 2009

musim cinta 21-22

BAB 21

Sejak Manja diarahkan kembali ke biliknya di tingkat tiga villa itu, hubungan dengan ayah dan abangnya semakin rapuh. Ada sahaja alasan untuk mereka bertengkar.
Pernah suatu ketika Sofia tergelincir akibat lantai yang licin. Manja yang muncul secara kebetulan di tempat kejadian itu dijadikan sebab gadis berkulit licin itu jatuh tersungkur hingga menyebabkan kakinya lebam dan bengkak.
Manja yang mempertahankan dirinya yang dikatakan sengaja menyebabkan Sofia jatuh kerana iri hati melihat pemakaian Sofia yang cantik pada hari itu. Sofia yang mendapat sokongan kuat dari tunang dan bakal bapa mertuanya itu berjaya membuatkan Manja dimarahi teruk pada hari itu.

Malam ini sempena kepulangan Abdul, Dato Mazwan mengadakan jamuan makan malam yang dimana jemputannya hanya terdiri dari ahli keluarga terdekat sahaja. Lelaki terhormat itu juga tidak terlupa menjemput beberapa rakan niaganya termasuklah Faris yang baru mengambil alih syarikat ayahnya..
Di ruang tamu kelihatan Abdul sedang berbual rancak berasama Dato Mazwan serta beberapa ahli perniagaannya yang lain. Dato Ahmad yang duduk di suatu sudut di ruang tamu itu hanya mendiamkan diri kerana tidak berminat untuk menyertai sesi perbualan tentang perniagaan dan dunia itu.
Kemunculan Faris di muka gerbang ruang tamu itu agak mengejutkan para tetamu yang hadir. Mereka menyambut Faris dengan gembira. Seorang demi seorang menghulurkan salam berjabat mesra dengan lelaki sekacak Tom Cruise itu.
Apabila tiba giliran Abdul, Faris agak keberatan untuk berjabat tangan dengannya. Dia masih lagi ingat, kerana lelaki inilah penyebab hubungannya dengan Manja putus tanpa sebarang sebab yang boleh diterimanya akalnya.
“Awak ni siapa, macam mana awak kenal dengan Manja?”
Soal Faris ketika dia mempunyai ruang untuk berbual dengan Abdul. Pertanyaan yang ingin benar diketahuinya semenjak pertemuan mereka yang pertama dahulu. Pertanyaan yang agak keras itu membuatkan semua mata memandang ke arah mereka. Faris bengang kerana Abdul hilang selepas menghulurkan surat yang ditulis oleh Manja untuknya suatu ketika dahulu.
“Faris, kenapa ni?”
Soal Dato Mazwan yang cuba menenangkan keadaan yang dilihatnya agak tegang itu. Dato Ahmad yang melihatnya hanya tersenyum sahaja. Dia yakin Abdul boleh menghadapinya dengan tenang sama seperti cucunya yang kini dilanda krisis kasih sayang itu.
“Saya cuma nak tahu siapa lelaki ni. Dia muncul hanya untuk menyakitkan saya.”
Kata Faris yang tidak dapat mengawal perasaan marahnya itu.
“Kenapa cakap macam tu, dia ni adalah doktor peribadi keluarga uncle. Memang menyakitkan lebih-lebih lagi bila dia guna jarum untuk cucuk kita.”
Terang Dato Mazwan sambil berseloroh hingga membuatkan para tetamu yang hadir turut ketawa dengan lawak Dato Mazwan itu. Abdul juga ketawa sambil mengusap lembut bahu Faris yang kelihatan masih marah dengannya itu.
Selang beberapa minit kemudian, Munir muncul bersama tunangnya. Kemunculan pasangan itu menarik perhatian tetamu yang hadir. Dengan pakaian Sofia yang singkat hingga mendedahkan bahagian peha dan dadanya dan disimbahi pula dengan warna merah hati yang agak menarik itu membuatkan semua mata lelaki yang hadir malam itu tertumpu ke arahnya.
Sofia yang kelihatan teruja malam itu ternyata berbangga dengan badan yang dimiliknya serta pakaiannya malam itu. Abdul sengaja melangkah ke hadapan dari celahan tetamu-tetamu lelaki pada malam itu menuju ke arah Sofia sambil menghulurkan tangan berjabat mesra.
“You?”
Sofia pula kelihatan agak terkejut dengan kemunculan Abdul di hadapannya itu.
“Yes, it’s me. Surprise, hah?”
Kata Abdul berseloroh.
“Wah, malam ni kau begitu popular sekali.”
Kata Dato Mazwan seraya menepuk bahu Abdul. Abdul hanya tersenyum dengan kata-kata itu. Sofia yang agak takut melihat Abdul itu bersembunyi di belakang Munir setelah melihat semua mata mula hilang tumpuan padanya.
“Doktor kenal dengan bakal menantu saya ni?”
Soal Dato Mazwan yang berjalan beriringan dengan Dato Mazwan menuju ke arah meja makan, di mana semua tetamu turut melangkah sama menuju ke meja makan.
“Kenal sangat, dia ni dulu pernah dapatkan rawatan dari kawan saya dulu.”
“Rawatan apa?”
“Psikologi,”
Jawab Abdul bersahaja sambil menjeling ke arah Sofia. Gadis itu tertunduk malu dengan kata-kata Abdul itu. Terkejut Dato Mazwan mendengarnya tetapi dia hanya ketawa dengan kata-kata Abdul yang dianggapnya hanya bergurau.
Manja yang berada di dapur bersama Mak Som hanya keluar selepas semua tetamu yang dijemput berada di meja makan. Sepanjang waktu makan itu Manja sedikit pun tidak memandang Faris yang asyik memandangnya. Dia kini boleh mengawal perasaannya dari terus menyukai lelaki yang banyak mengecewakannya itu.
Selepas makan malam dan para tetamu mula beransur kurang, Manja melangkah ke kawasan kolam renang untuk mengambil angin malam. Faris yang melihat Manja keseorangan itu segera mengambil kesempatan untuk mendekati semula gadis yang masih dicintainya itu.
Cinta pertamanya yang masih mekar bersama Manja itu akan dicubanya sehingga Manja menjadi miliknya kembali. Dia tekad walau apapun yang terjadi.
“Manja…”
Manja yang terkejut dengan kehadiran Faris itu bergegas beredar dari kawasan kolam yang luas itu.
“Jangan lari, Ris bukan nak apa-apakan Manja, Ris cuma nak berbual saja.”
Manja mematikan langkahnya mengizinkan lelaki itu bercakap walaupun tak ingin lagi hatinya untuk menerima sebarang kata-kata dari lelaki itu.
“Ris cuma nak tahu kenapa kita berpisah?”
Faris terus kepada niat utamanya. Manja terdiam, dia tidak tahu bagaimana untuk memberitahu hal yang sebenarnya kepada lelaki itu.
“Ris pernah cakap, Ris benci pada kecacatan…terutama sekali perempuan cacat, kan.”
Kata Manja memulakan perbualan.
“Betul, memang…memang Ris benci pada perempuan cacat. Tapi itu semua apa kena mengena dengan kita.”
“Kena…sebab…”
Manja menyelak kainnya dibahagian kaki kanannya. Terkejut besar Faris melihat kaki Manja yang separuh palsu itu.
“Sebab inilah…puas hati.”
Kata Manja separuh menjerit. Faris tertunduk malu. Malu dengan kata-katanya yang terlanjur itu. Tidak disangkanya kata-katanya itu terjadi kepadanya sendiri. Pada masa yang sama Munir telah memerhatikan mereka dari jauh. Munir juga tersentak melihat kecacatan Manja itu.
“Manja, maafkan Ris, Ris sanggup berubah kerana Manja. Terimalah Ris kembali.”
Rayu Faris dengan nada yang lembut dan mendayu-dayu. Lelaki itu berlutut di hadapan Manja sambil memegang kaki gadis itu.
“Tidak…tidak sama sekali, mulai dari saat ini lupakan Manja, lupakan kenangan yang kita bina bersama dulu. Nasib baik Manja tahu perangai Faris ni sebelum kita ikat hubungan kita, kalau tidak Manja pasti menyesal seumur hidup Manja.”
Kata Manja dengan tegas seraya melangkah meninggalkan Faris seorang diri. Bak kata pepatah ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’. Lelaki itu terduduk di kerusi rehat di tepi kolam renang itu dan tidak semena-mena air mata jantannya mengalir perlahan membasahi pipinya.
Manja dengan selambanya duduk diantara datuk dan abang angkatnya yang sedang berbual rancak bersama ahli keluarganya di ruang tamu rumah besar itu. Munir memandang adiknya dengan satu pandangan berbaur cemburu, cemburu melihat kemesraan adiknya dengan doktor peribadi yang tidak ada sebarang pertalian darah dengan mereka itu.
“Oh ya, Manja. Naik ikut kami berkuda minggu depan?”
Pelawaan Sofia dengan bersungguh-sungguh hingga mengejutkan Munir yang sedang memandang sinis adiknya itu. Manja merenung Sofia dengan satu pandangan yang cukup tajam. Gadis ini sengaja mencari pasal dengannya.
“Kenapa diam, takut ke?”
Soal Sofia setelah melihat Manja hanya terdiam dan merenungnya tajam.
“Takut? Anak uncle ni seorang yang berani dan dia sangat pandai berkuda. Kan, Manja.”
Buat pertama kalinya Dato Mazwan berpihak kepada anaknya setelah sekian lama mereka tidak bertegur sapa. Manja menganguk, mengiyakan kata-kata ayahnya.
“Betul tu, Manja setuju.”
Sofia tersengih mendengar persetujuan Manja itu, dia yakin kali ini dia dapat mengenakan Manja secukupnya. Kali ini hubungan Manja dengan keluarganya pasti berpecah belah. Senyumannya semakin melebar.
Tersentak datuk dan nenek serta abang angkat Manja mendengar persetujuan gadis berkaki kudung ini. Manja ni masih tak sedarkah dengan natijah yang bakal dihadapinya dengan persetujuannya itu, mereka tertanya-tanya dalam hati mereka.
Abdul dan Dato Ahmad memegang bahu Manja dengan harapan agar gadis itu menarik balik persetujuannya untuk menyertai Sofia dan Munir berkuda hujung minggu ini. Manja berpaling dan hanya tersenyum tanda dia tidak akan mengubah keputusannya.
BAB 22

Matanya terus tertumpu pada satu pemandangan yang cukup indah di hadapannya. Manja sedar Abdul hanya memandangnya tajam. Lelaki itu sedikit pun tidak menghiraukan pemandangan ciptaan tuhan yang gah di hadapan mereka itu.
“Manja tahu abang sangat marah dengan persetujuan Manja tu, kan?”
Kata Manja sambil tersenyum dan matanya terus tertumpu pada matahari yang hampir tenggelam itu. Abdul segera mengalihkan pandangannya ke hadapannya tatkala mendengar kata-kata Manja itu.
“Manja kan tahu, jika Manja jatuh lagi. Padah jawabnya.”
Manja mengesotkan badannya menghampiri Abdul dan memeluk bahu lelaki itu dari belakang.
“Ala…relakslah. Abangkan ada untuk menjaga Manja.”
Kata Manja berseloroh. Abdul menolak kecil dahi Manja setelah mendengar kata-kata manis adik angkatnya itu. Dia tahu adiknya mempunyai sebabnya yang tersendiri kerana bersetuju dengan pelawaan Sofia itu.
Demi ayahnya, Manja sanggup berkorban nyawa. Hanya ingin kembali hubungan ayahnya kembali mekar Manja rela lakukan apa sahaja termasuklah tidak boleh berjalan lagi jika dia jatuh kali ini.

Sehari sebelum mereka berkuda, Sofia dan Munir ke kandang kuda untuk melihat kuda-kuda yang bakal mereka tunggangi esok. Pada asalnya Munir tidak ingin ke sana dengan alasan tidak suka dengan bau kandang kuda tetapi setelah didesak oleh Sofia lelaki itu bersetuju.
“Erm…kuda mana yang bakal Manja tunggang esok?”
Soal Sofia kepada tunangnya itu.
“Tentulah kuda kesayangannya tu.”
Jawab Munir tanpa sebarang rasa was-was dengan pertanyaan tunangnya itu. Sofia menjeling ke arah Silver yang sedang makan di dalam kandangnya. Munir tertanya dalam hatinya, bagaimana adiknya yang cacat itu boleh menunggang kuda. Lelaki itu juga tertanya sendirian bagaimana adiknya mendapat kecacatan itu. Kenapa dia tidak tahu sedangkan dia adalah abang kandung gadis itu.
“Sayang...”
“Ah, apa dia?”
Terkejut Munir. Lamunannya terhenti apabila disapa Sofia.
“I tertinggal telefon, you tunggu dalam kereta, ya.”
Munir mengangguk tanpa syak wasangka. Dengan menggunakan alasan itu dia boleh kembali ke sana. Setibanya di kandang kuda itu Sofia terus mengeluarkan Silver dari kandangnya dan membawa binatang keluar ke suatu tempat yang agak jauh dari kandang itu.

Keesokkannya, seperti yang dirancang tiga anak muda ini turun ke padang untuk berkuda. Cuaca pagi yang terang mengiringi aktiviti pagi mereka dihujung minggu. Manja tiba bersama datuk dan nenek serta abang angkatnya ke ruang santai di hujung padang berkuda yang luas lagi menghijau itu.
Sofia kelihatan begitu bergaya dengan sut yang sesuai untuk berkuda dengan ditemani tunang kesayangannya. Manja kelihatan begitu tenang membontoti abang dan bakal kakak iparnya menuju ke arah kandang kuda untuk mengambil kuda mereka masing-masing.
“Hah, Silver tak ada. Macam ni tak naklah.”
Manja terus menolak untuk berkuda pada pagi itu setelah kuda kesayangannya tidak dapat dikesan sejak petang semalam. Munir naik hairan, seingatnya kuda itu masih ada ketika dia meninjau kandang kuda itu petang semalam.
“Macam mana boleh hilang semalam saya tengok kuda tu ada lagi.”
Kata Munir kepada Sofia sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.
“Alah, kalau dah pengecut tu kata ajelah, tak payahlah nak jadikan kuda hilang sebagai alasan.”
Kata Sofia dengan nada yang kuat sambil menjeling ke arah Manja. Manja yang terasa tercabar itu terus mengarahkan penjaga kuda agar mengambil kuda yang lain untuknya dan meminta beberapa orang pekerja di kandang kuda itu mencari Silver kerana kuda itu tidak pernah tidak pulang ke kandangnya tatkala malam menjelang.
Sofia hanya tersenyum melihat gelagat Manja yang hanya melihat kuda berwarna putih itu diletakkan di hadapannya. Senyuman Sofia semakin melebar kerana yakin Manja tidak boleh naik ke kuda itu memandangkan kakinya yang cacat.
Dengan tidak semena-mena kuda itu merendahkan badannya persis kelakuan Silver sejak gadis itu pulang dari luar negara lagi. Tergamam Manja melihat kelakuan kuda itu. Seingatnya hanya dia dan binatang kesayangannya itu sahaja yang tahu tentang kelakuan sebegitu.
Ke semua yang duduk di bangku rehat itu berdiri melihat kelakuan pelik kuda berwarna putih itu. Sofia dan Munir juga turut tersentak melihat kejadian yang berlaku di hadapan mata mereka. Manja tersenyum puas sambil memandang Sofia yang terkejut melihat kelakuan kuda itu terhadap Manja itu.
Selang beberapa saat kemudian mereka bertiga mula berkuda beriringan. Sofia sengaja mengundurkan kudanya ke belakang sedikit dengan harapan dapat mengenakan Manja. Munir yang tidak dapat meneka perbuatan Sofia itu hanya membiarkan sahaja Sofia berkelakuan demikian.
Sofia dengan cepat menyepak punggung kuda yang ditunggangi Manja. Kuda itu tersentak lalu menyepak kembali kuda yang ditunggangi Sofia. Kuda tersebut terkejut dan berlari dengan pantas.
Keadaan yang tenang sebentar tadi mula menjadi kelam kabut hanya dalam sekelip mata. Munir mula panik melihat dua ekor kuda di hadapannya mula melenting tidak tentu arah. Dia mula berbelah bagi siapa yang harus dia selamat dahulu, tunang atau adik kandungnya.
Kuda yang ditunggangi Manja dan Sofia terus berlari dengan pantas masuk ke kawasan bersemak yang sukar untuk kedua-dua gadis itu mengawal kuda-kuda yang masih terkejut itu.
Sementara itu Hisyam yang dalam perjalanan ke kawasan penternakan ikan air tawarnya terkejut mendengar dengusan kuda yang amat dikenalinya. Silver segera dilepaskan selepas lelaki itu melihat Silver diikat di sebatang pokok di dalam semak di tepi laluan utamanya ke kolam ikannya itu.
Manja bernasib baik kerana berjaya mengawal kuda yang ditungganginya itu tetapi tidak Sofia, Sofia dicampak dengan kuat oleh kuda yang ditungganginya hingga menyebabkan dia jatuh tersungkur dan tergolek beberapa kali sebelum dia berhenti kerana terlanggar sebatang pokok.
Jeritan suara gadis membuatkan Abdul terkejut besar hingga terus merampas Silver yang baru tiba bersama Hisyam itu. Hisyam yang terkejut melihat perbuatan itu turut mengekori Abdul dengan berlari sekuat-kuat hatinya.
Manja masih di atas kudanya hanya melihat Sofia terbaring tidak sedarkan diri di atas lantai bumi yang ESA. Munir yang tiba dahulu segera turun menghampiri tunangnya dan segera memangku tunangnya yang tidak sedarkan diri itu.
Abdul tiba dan menghampiri adik angkatnya dan segera bertanyakan keadaan adik angkatnya itu dan Manja hanya menjawab tenang yang dia tidak apa-apa. Hisyam yang tiba beberapa saat kemudian menghulurkan tangan membantu Manja turun dari kuda itu kerana dia tahu gadis itu tidak boleh turun dengan sendirinya.
Manja segera menghampiri Silver dan menggosok kuda kesayangannya itu. Dia bersyukur melihat kudanya dalam keadaan sihat dan tidak tercedara. Hisyam memberitahu dia menjumpai kuda itu di dalam semak dan gadis itu berterima kasih kerana membantu kudanya itu bebas.
“Hei, tolonglah…Sofi dan pengsan ni.”
Munir separuh menjerit meminta tolong apabila dua orang lelaki yang tiba hanya membantu dan bertanyakan khabar Manja tetapi tidak membantunya. Abdul dan Hisyam tersenyum memandang sesama sendiri apabila melihat kelakuan Munir yang mula panik itu.
Manja, Hisyam dan Abdul berpandangan sesama sendiri dan tersenyum melihat gelagat Munir yang tak ubah seperti kucing kehilangan anaknya itu. Mereka segera menolong Membawa Sofia keluar dari semak itu.

No comments: