Tuesday, March 24, 2009

musim cinta 23-24

BAB 23

Sejak Sofia terlantar di hospital, hidup Manja semakin bahagia. Tiada gangguan dari gadis pendendam itu samalah ertinya tiada lagi hujan air mata yang akan digugurkannya. Manja juga akan berjauhan dari keluarganya dan bandar itu untuk seketika kerana akan menghadiri majlis perkahwinan abang angkatnya.
“Nek, Manja pergi dulu, ya.”
Manja menghulurkan tangan berjabat dengan neneknya kemudian dialihkan pula pada datuknya.
“Hati-hati kat tempat orang.”
“Dato, saya kan ada. Saya akan tengok-tengokkan Manja.”
Ujar Adam yang turut sama akan ke rumah Abdul untuk meraikan hari bahagia lelaki yang bergelar doktor itu. Adam memandu kereta dan Manja hanya penumpangnya. Mereka berdua terus ke rumah Abdul yang memakan masa 5 am dari Villa Sri Manja itu.
“Boleh Manja buka tingkap?”
Pinta Manja yang lebih suka dengan angin luar itu. Adam mengangguk. Lelaki itu tergelak kecil melihat reaksi Manja yang tak ubah seperti kanak-kanak. Pantang buka tingkap, mulalah hulur kepalanya di luar.
“Dah lega?”
Soal Adam yang tergelak kecil melihat Manja menjerit ke arah luar kereta itu. Manja mengangguk malu. Perbuatan di luar kawal itu mungkin berlaku kerana terlalu tertekan.
“Manja happy sangat bila boleh jauh dari Pia dan Hisyam.”
Adam mengerutkan dahinya. Kalau dari Sofia, dia tahulah kenapa tapi kenapa pula nak jauhkan diri dari Hisyam.
“Kenapa dengan Hisyam?”
“Mak dia nak kahwinkan dia dengan gadis pilihannya.”
Adam tersenyum. Baguslah begitu. Ini bermakna peluangnya untuk memiliki Manja cerah. Adam mula memasang angan-angan.
“Apa kena mengenanya dengan Manja pula sampai nak jauhkan diri darinya.”
Manja tersenyum taar. Dia tak salahkan Adam kerana tidak tahu tentang hubungan cintanya dengan Hisyam kerana cinta mereka masih diperingkat awal.
“Bila Manja dah jauhkan diri ni, Manja harap Syam dah kahwin dengan pilihan keluarganya tu. Tak payahlah nak ganggu hidup Manja lagi.”
Adam faham tetapi buat-buat tak faham.
“Maknanya kita terlepaslah majlisnya, kan.”
Manja mengangguk lemah. Jika itu bukan jodohnya dia akur. Mereka terus ke rumah Abdul seperti yang dipetakan Abdul kepada mereka.
“Adam mesti penat kan sebab memandu terus tanpa henti ni. Kalau Manja boleh pandu, Manja mesti dah tolong.”
“Tak perlu, Adam tak penatpun. Adam tahu kesulitan Manja tu.”
Manja mengerutkan dahinya. Macam ada sesuatu rahsia yang Adam tahu tentangnya. Jangan-jangan Adam dah tahu tentang kecacatannya itu. Manja cuba menafikan sekeras-kerasnya.
Ketibaan mereka disambut Abdul dan ibunya. Walaupun mereka sibuk untuk aktiviti hari esok, tetamu tetap dilayan baik. Manja berasakan dirinya bagaikan puteri dek layanan istimewa keluarga Abdul itu. Mereka semua tahu kesulitan Manja dari Abdul.
“Adam, ini bilik Adam berehatlah. Adam mesti penat.”
Adam mengangguk dengan kata-kata Abdul itu. Mungkin dia perlu mandi untuk menyegarkan badannya dan selepas itu bolehlah dia bantu apa yang perlu. Manja juga diberikan sebuah bilik untuk berehat tetapi selepas mandi gadis itu keluar untuk membantu apa yang patut.
Dalam rancangan mereka Abdul akan melangsungkan majlis akad nikahnya malam nanti dan kedatangan Adam dan Manja kena dengan masanya. Bolehlah mereka menimba pengalaman dari majlis akad nikah Abdul itu nanti.
Manja membantu kakak-kakak Abdul menyiapkan hantaran untuk majlis malam nanti dan esok. Manja dan Adam membantu mengisi telur yang telah siap masak ke dalam bekas yang dikhaskan untuk telur.
“Bukan macam nilah, macam ni...”
Manja membetulkan cara Adam melipat kotak telur. Abdul dan ibunya tersenyum melihat pasangan serasi itu bekerja.
“Padan...kalau mereka bersama tentu bahagia.”
Abdul mengangguk dengan kata-kat ibunya itu. Adam memang seorang yang penyayang tetapi malangnya dia tidak berani meluahkan perasaannya kepada Manja dan hanya sanggup menjadi pemerhati dari jauh.
Majlis akad nikah berlangsung tanpa halangan. Sekali akad nikah sahaja Abdul sah menjadi suami kepada Suraya. Manja dan Adam tidak terpisah jauh. Adam tahu pergerakan Manja terbatas dan dialah yang menjadi kaki tambahan kepada Manja yang sudah tidak menggunakan tongkat besi lagi.
Hisyam menghampiri Manja yang sedang duduk menyandar di bawah pokok tidak jauh dari kolam ikannya. Kehilangan Manja sejak tiga hari yang lalu amat dirinduinya.
“Boleh Syam duduk?”
Hisyam memulakan bicara agar kedatangannya tidak mengganggu ketenteraman Manja di kala itu. Manja hanya mengangguk setelah berpaling ke arah suara yang agak mengejutkannya itu.
Hisyam mengambil tempat di sebelah Manja yang sedang membaca novel ‘Nilai Cintamu’ yang baru dibelinya semalam.
“Manja…kenapa sejak akhir-akhir ni Manja asyik jauhkan diri dari Syam? Syam ada buat salahkah?”
Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut lelaki berbadan tegap itu. Hisyam sengaja berterus-terang memandangkan hanya itu sahaja peluangnya setelah melihat Manja tidak lagi melarikan diri darinya seperti beberapa minggu yang lalu.
“Terima kasih sebab selamatkan Silver tempoh hari dan ambil berat tentang Manja.”
Manja sengaja mengelak dari menjawabnya.
“Manja tak jawab lagi soalan Syam…”
Manja cuba bangun dan Hisyam bergegas membantu gadis itu berdiri dengan sempurna.
“Anyway, Syam tak kahwin lagi ke?”
Soal Manja seraya melangkah meninggalkan lelaki yang setia menantikan jawapan darinya itu. Tiba-tiba Hisyam ketawa terdekah-dekah. Langkah Manja yang agak jauh dari tempat Hisyam berdiri itu segera dimatikan dan dia segera memalingkan badannya ke arah Hisyam yang masih tidak berhenti ketawa itu.
“Apa yang kelakar sangat tu?”
Soal Manja yang tidak faham dengan perangai Hisyam itu.
“Awak cemburu, ya.”
“Cemburu? Tak ada maknanya.”
Kata Manja seraya memusingkan badannya dan menyambung kembali langkahnya yang terganggu sebentar tadi itu. Hisyam segera mengejar Manja dan menyekat gadis itu dari melangkah meninggalkannya lagi.
“Kenapa ni?”
Soal Hiyam sambil memegang bahu Manja. Manja menolak kecil tangan Hisyam lalu mengadap lelaki itu.
“Kan mak Syam yang cakap, Syam akan bertunang dengan Cik Salma.”
“Anak dara tua tu, no way.”
Tegas Hisyam. Senyuman gembira mendengar khabar itu mula terukir dari bibir manis Manja. Hisyam tergelak kecil melihat muka Manja yang tiba-tiba berubah menjadi merah itu.
Hisyam gembira dan yakin cintanya terbalas. Manja yang tidak dapat menahan malu itu segera melangkah meninggalkan Hisyam yang melompat gembira selepas dia mengangguk dengan anggukan beberapa kali dari Hisyam yang menyoal Manja adakah gadis itu berperasaan sepertinya.

“Terima kasih banyak-banyak.”
Hisyam berlari mendapatkan Adam sejurus lelaki itu tiba di perkarangan rumah banglo besar di tengah-tengah kawasan Villa Sri Manja itu.
Adam tersenyum melihat lelaki yang dianggapnya sebagai adiknya sendiri itu berterima kasih dan memeluknya dengan begitu gembira sekali.
“Ini mesti nasihat yang abang bagi tu mujarab, kan?”
Hisyam mengangguk mengiyakannya. Jika dia tidak terus memberanikan diri bersemuka dengan Manja, sudah tentu gadis itu masih lagi menjauhkan diri darinya. Kerana itulah dia perlu berterima kasih kepada Adam yang membuatkan dia berani berdepan dengan cintanya.














BAB 24

Hubungan Manja dan Hisyam akhirnya tiba dipenghujungnya. Mereka bakal disatukan setelah kedua-dua buah keluarga bersetuju untuk menyatukan pasangan 'merpati' ini.
“Mak tak setuju dengan apa yang mak buat ni. Pasal kamu mak buat semua ni. Jangan harap mak akan terima dia dengan baik.”
Leter Halimah setelah pulang dari merisik Manja bagi pihak anak tunggalnya itu. Hisyam mengugut ibunya yang dia akan meninggalkan rumah itu jika ibunya tidak menurut katanya. Hisyam tersenyum dengan leteran ibunya itu. Dia tahu ibunya itu amat menyayanginya dan tidak akan mengecewakannya.
Dikediaman Manja juga begitu. Dato Mazwan juga tidak habis-habis berleter kerana tidak berkenan dengan pilihan hati Manja itu.
“Biarkanlah. Dah jodoh mereka. Apa salahnya.”
Bela Dato Ahmad pula. Dia tidak kisah dengan pilihan cucunya itu. Lagipun dia sememangnya berkenan dengan Hisyam yang serba sederhana itu.
“Sayang, kita buat majlis sekali dengan Manja, nak?”
Cadang Munir kepada tunangnya yang seksi itu.
“No way, I tak nak...jatuhlah maruah I buat majlis sama-sama dengan perempuan tu.”
Hina Sofia dengan gediknya. Munir mengerutkan dahinya mendengar kata-kata itu.
“Perempuan tu adik I, okey. Kalau you tak sukakan dia pun janganlah hina dia depan I.”
Seloroh Munir yang disangkanya Sofia itu bergurau. Sofia tersenyum tawar. Gadis itu tidak mahu menamatkan zaman bujangnya terlalu awal kerana masih tidak puas dengan hidupnya yang cukup sosial itu.

Hari yang ditunggu-tunggu kini tiba. Segala persiapan telah siap dibuat di rumah pengantin perempuan yang mewah itu. Para pekerja ladang dan kilang turut hadir memeriahkan majlis dan membantu sedaya yang termampu.
“Kenapa muram je pengantin ni?”
Tegur Abdul kepada adik angkat kesayangannya itu.
“Adik bimbanglah. Syam dah seminggu tak hubungi adik. Adik risaulah kalau sesuatu berlaku pada dia.”
Luah Manja lemah. Abdul turut simpati mendengarnya.
“Mungkin dia sibuk kut. Adik sabarlah ya. Dah tak lama dah. Malam nanti rombongan pengantin lelaki kan datang. Nanti adik soallah Syam banyak-banyak, ek.”
Seloroh Abdul menyedapkan hati adiknya yang sedang rungsing itu. tapi Manja sikitpun tak tersenyum dengan gurauan itu.

Tepat jam sembilan malam, tok kadi dan rombongannya sampai, namun rombongan pengantin lelaki tak kunjung-kunjung tiba. Keadaan mula menjadi panik tetapi Dato Mazwan dan Munir tetap selamba. Mereka yang memboikot majlis ini mengambil keputusan untuk mendiamkan diri sahaja.
Adam bangun menghampiri Abdul untuk bertanyakan situasi yang sebenarnya.
“Abang, macam mana sekarang ni? Kita perlu lakukan sesuatu.”
“Entahlah Dam, abang dah mintak Manja hubungi Hisyam tapi tak dapat.”
Adam mendiamkan diri sejenak memikirkan sesuatu.
“Erm...apa kata kita minta orang pergi jemput Hisyam dan rombongannya.”
Cadangan Adam itu diterima pakai Abdul. Manja yang berada di kamar pengantin terus berendam dengan air mata. Dia sedih mengenangkan keluarganya yang tidak menghiraukannya. Cuma datuk dan neneknya sahaja yang melayan tetamu dan itu cukup membuatkan dia merasakan dirinya tak ubah seperti yatim piatu.
Setengah jam kemudian, lelaki yang diarahkan Abdul untuk menjemput Hisyam itu datang. Wajahnya pucat cukup menggambarkan sesuatu yang buruk bakal berlaku.
“Bang, Syam saya tak jumpa. Tapi mak dia kirimkan surat ini untuk Manja.”
Abdul terus membacanya walaupun surat itu jelas tertera nama Manja. Alangkah terkejutnya lelaki itu setelah membacanya. Adam yang ada di sisi Abdul itu turut terkejut dengan isi kandungan surat itu.
Kenapa Hisyam tidak memaklumkan awal-awal kepada Manja, kenapa baru sekarang surat ini sampai ke tangan Manja. Marah Abdul dengan sikap sambil lewa Hisyam itu.
Surat itu terus dibawa ke bilik pengantin perempuan. Manja yang melihat kedatangan abang angkatnya bersama Adam itu lekas-lekas Manja menyeka air matanya.
“Adik kena banyak-banyak bersabar.”
Manja mengerutkan dahinya tidak faham dengan kata-kata abang angkatnya itu. namun dia tahu dari riak wajah Abdul itu bukan khabar baik yang ingin disampaikannya.
“Nah, baca ni....Hisyam yang bagi.”
Sekali lagi air matanya mula jatuh membasahi pipinya. Hilang semua seri pengantin diwajahnya. Adam menarik tangan Abdul menjarakkan sedikit kedudukan mereka dari Manja.
“Abang... saya sudi jadi pengganti Hisyam.”
Terkedu Abdul mendengarnya. Adakah lelaki ini mengambil kesempatan ataupun ingin menyelamatkan keadaan. Cinta? Tak mungkin lelaki ini mencintai adiknya yang cacat itu. Fikirnya sendirian. Walaupun dia tahu Adamlah orang awam yang menyelamatkan Manja dahulu.
“Abang tak dapat nak tentukan. Tengoklah Manja sekarang ni.”

'Manja,
Syam minta maaf sebab tak dapat meneruskan perkahwinan kita.
Syam tak nak jadi anak yang derhaka. Maafkan Syam.'

Hanya sebab itu Manja ditinggalkan pada majlis perkahwinannya. Sungguh tidak adil. Gadis itu mencampakkan surat itu setelah selesai membacanya. Gadis itu duduk di birai katilnya lalu menyelak kain kurung yang dipakainya itu.
Kaki palsu pada kaki sebelah kanannya dicabut lalu dilemparkan hampir terkena Abdul dan Adam yang sedang berbincang itu. Adam yang sedia maklum tentang kecacatan Manja itu tidak terkejut dengan situasi itu.
“Kamu masih sudi menjadi suaminya?”
Soal Abdul kepada Adam. Adam mengangguk bersungguh-sungguh. Dia tidak kisah dengan sikap panas baran Manja itu. Abdul melangkah menghampiri adiknya untuk memujuk gadis itu.
“Bang, biar Adam yang selesaikannya.”
Pinta Adam lembut. Abdul mengizinkannya setelah dia yakin Adam mampu untuk menangani Manja yang sedang berang itu.
“Manja,”
Panggil Adam lembut. Manja terkedu melihat Adam berlutut di hadapannya. Nak apa pulalah lelaki ni. Soal Manja sendirian dalam hatinya. Orang tengah panas ni, dia nak berromantik pula.
“Adam ada cerita nak ceritakan pada Manja ni.”
Manja mengerutkan dahinya. Cerita? Tak ada maknanya cerita-cerita masa-masa begini.
“Manja tak ada masa nak dengar cerita-cerita ni, Dam.”
Beritahu Manja teresak-esak dengan nada garangnya.
“Manja mesti dengar cerita ni. Ini soal masa depan kita berdua.”
Sekali lagi Manja tersentak mendengarnya. Masa depan mereka berdua. Kenapa Adam ada kena mengena pula dengan masa depannya. Manja mengangguk setuju untuk mendengar cerita Adam itu setelah tertarik dengan kata-kata lelaki itu tadi.
“Ada seorang putera raja. Dia mengembara untuk mencari si puteri yang selalu muncul dalam mimpinya. Ramai orang kata dia gila kerana mengejar mimpi yang tak pasti tapi dia tak kisah semua itu kerana dia pasti dia akan berjumpa dengan si puteri itu. Pencariannya berakhir apabila dia berjumpa dengan puteri idamannya. Malangnya puteri idamannya itu sudah dimiliki hatinya.”
“Tentu dia kecewa kan.”
Kata Manja yang mula berminat dengan cerita Adam itu. Adam mengangguk mengiyakan kata-kata Manja itu. Abdul yang yakin melihat Adam mampu menangani Manja itu meninggalkan pasangan itu lalu turun ke ruang utama untuk menenteramkan keadaan kepada tetamu dan tuan kadi.
“Dan sekarang dia dapat tahu puteri idamannya itu keseorangan. Dia ingin mengambil si puteri itu sebagai teman hidupnya....”
Adam menatap mata Manja dengan penuh keyakinan. Manja tertunduk malu. Dia bagaikan dapat menbaca isi hati Adam tatkala ini dan faham dengan isi tersirat cerita Adam itu.
“Putera tu tak kisah ke dengan kecacatan si puteri ni?”
Adam menggelengkan kepalanya. Dia sememangnya tidak kisah dengan semua itu kerana dia sudah mengetahuinya lebih awal dari orang lain tentang kecacatan Manja ini.
“Manja, sudikah Manja jika Adam yang ganti tempat Hisyam?”
“Adam, ini bukan main-main tau. Adam akan hidup bersama Manja seumur hidup Ada.m. Lagipun Manja ni cacat.”
“Adam sanggup jadi kaki Manja. Percayalah...”
Manja mengangguk tanda setuju untuk menerima Adam sebagai pengganti Hisyam. Terharunya hatinya tidak terkira. Gadis itu menangis lagi melihat keikhlasan Adam. Dia berharap perkahwinan ini tidak diuji lagi. Walaupun dia tidak dapat menerima cinta Adam tatkala ini dia yakin dicintai lebih baik dari mencintai setelah apa yang dilaluinya dalam hidupnya dahulu.
“Percayalah, Adam berkahwin dengan Manja bukan kerana mengambil kesempatan terhadap situasi Manja sekarang ni.”
Terang Adam untuk meyakinkan pujaan hatinya itu.
“Dan Manja setuju bukan kerana malu jika majlis ini terbatal tetapi Manja yakin dengan cinta Adam itu.”
Kata Manja sambil tersenyum. Abdul turut terseyum melihat adik angkatnya itu tersenyum dari jauh. Dia bangga dengan Adam kerana berjaya membuatkan adiknya itu tersenyum dalam masa yang begitu singkat.
Adam berjaya kerana cintanya tulus dan Manja bersetuju untuk mengawini lelaki itu kerana dia yakin ada hikmah dengan pembatalan perkahwinannya dengan Hisyam itu

No comments: