Monday, March 23, 2009

musim cinta 4-5

BAB 4

Titisan embun di hujung daun bersinar tatkala disimbah cahaya matahari pagi, bersinar bak berlian yang baru digilap. Seperti biasa selepas melakukan rutin paginya, Manja keluar ke dapur untuk bersarapan.
“Tak keluar ke hari ni?”
Soal Mak Som yang melihat Manja begitu senang menemaninya di dapur.
“Lepas breakfast.”
Jawab Manja ringkas sambil menopang dagunya mengadap Mak Som yang begitu asyik menguli tepung untuk dijadikan kulit karipap.
“Nenek buat apa susah-susah macam ni, kita kan ada pembantu, biar sajelah mereka yang buat.”
“Tapi atuk kamu, kalau dia rasa lain dia tak makan.”
“Atuk tu ngada-ngada betullah.”
Mak Som tersenyum dengan kata-kata Manja itu.
“Lepas sarapan nanti jangan pergi mana-mana, nenek nak kamu latih kaki kamu tu, semalam Abdul dah beritahu nenek. Dia ajar nenek cara-cara nak latihkan kaki kamu tu.”
Ternganga mulut Manja mendengarnya. Nak marahkan Abdul, ada baiknya tindakannya itu. Nak tak nak ikut sajalah, demi kebaikan dia juga. Nampak gayanya hari ini aktiviti bersama Silver terpaksalah ditunda.

“Manja, bila lagi kamu nak kerja?”
Soal Dato Mazwan.
“Alah, biarlah dulu. Budak tu baru saja sampai.”
Kata Dato Ahmad, walhal sudah dua minggu Manja di rumahnya. Untuk bekerja di syarikat milik keluarganya itu bila-bila masa pun boleh.
“Ayah, biarlah Manja kenal betul dulu dengan aktiviti syarikat tu barulah Manja kerja. Boleh, kan?”
Kata Manja setelah melihat wajah ayahnnya tidak mengukir sebarang senyuman tetapi selama ini pun Dato Mazwan memang sudah terkenal dengan orang yang sukar untuk menghulurkan senyuman. Itu yang payah untuk memahami ayahnya tu.
“Kalau Manja nak kerja nanti, Manja nak jawatan apa?”
Soal Dato Mazwan pula.
“Nanti Manja decide.”
Manja cukup gembira setelah ayahnya memberi sedikit tindak balas atas percakapannya sebentar tadi. Dato Mazwan pula cukup berpuas hati dengan jawapan anaknya itu, sekurang-kurangnya dia tahu anaknya ada minat untuk bekerja di syarikat milik keluarganya itu.
Suasana di Villa Sri Manja itu kembali tenang setelah tiga lelaki penting di villa itu keluar menjalankan tanggungjawab mereka masing-masing. Kini hanya tinggal Mak Som dan Manja serta ditemani oleh pembantu-pembantu rumah yang tidak semestinya selalu bersama mereka.
Manja berbaring di atas sofa empuk di ruang rehat villa itu sambil membaca surat khabar. Beberapa pembantu rumah sedang mengemas dan menyapu di kawasan rehat itu turut menemaninya. Manja mengguna kesempatan itu untuk berbual kosong dan bermesra dengan pembantu-pembantu rumahnya yang kebanyakannya terdiri daripada warga Indonesia.
“Manja…Manja…”
Mak Som menjerit beberapa kali memanggil cucunya yang tidak kelihatan di ruang utama mahu pun di biliknya.
“Cik muda, itu suaranya Puan.”
Beritahu pembantu Indonesianya yang lebih dikenali sebagai Neng.
“Relakslah Neng, nanti sampailah nenek kat sini.”
Habis saja Manja berkata Mak Som terpacak berdiri di muka pintu gerbang ruang rehat itu.
“See.”
Kata Manja sambil memandang ke arah Neng dan Neng hanya tersenyum dengan kata-kata gadis manis itu.
“Ngumpat nenek eh… jom kita berlatih...”
Manja bangun dan mengikuti Mak Som ke ruang utama.
“Hari ni nenek nak kamu naik tangga tu.”
Tunjuk Mak Som ke arah tangga kayu yang berwarna coklat pekat yang menuju terus ke bilik Dato Mazwan dan Munir itu.
“Nek, tangga ni tinggilah.”
Kata Manja. Ketinggian setiap anak tangga memaksa Manja membengkokkan kakinya melebihi kemampuannya dan perkara itu membuatkan dia mengalah sebelum berlatih.
“Manja, belum cuba belum tahu, nak.”
Neng yang memakai pakaian seragam putih itu mengangguk setuju dengan kata-kata Mak Som itu. Kebanyakan pembantu rumah villa itu tahu tentang kecacatan Manja tetapi mereka tidak menghebohkan sesama mereka dan mengambil keputusan untuk mendiamkan diri sahaja. Mereka turut bersimpati terhadap Manja dan kecacatan Manja itu bukan menjadi urusan mereka.
Manja melangkah dengan menggunakan kaki kanannya tetapi malangnya dia tidak mampu untuk meneruskannya kerana sakitnya masih belum pulih sepenuhnya lagi.
“Nek…sakit…sakit…”
Adu Manja menjerit kesakitan. Rengetannya itu membuatkan Mak Som agak kelam kabut. Dia segera memapah Manja dan duduk di ruang makan yang berhampiran dengan tangga tersebut.
“Kalau macam tu kita kena berlatih guna cara lain dulu, boleh kan?”
Manja mengangguk setuju, mungkin kakinya perlu berlatih perlahan-lahan dan lama-kelamaan kaki kanannya itu tidak kelihatan senget lagi apabila dia berjalan kelak.









BAB 5

Selepas berlatih bersungguh-sungguh selama dua minggu, kini Manja semakin yakin untuk membengkokkan kakinya melebihi 30°. Dengan bantuan Mak Som, Manja kini lebih yakin untuk berjalan.
Pagi itu selepas bersarapan Manja ke ladang bersama datuknya untuk melihat dengan lebih dekat bagaimana para pekerja ladang bekerja. Dengan mengenakan kasut sukan bewarna biru laut, Manja mengatur langkah berhati-hati berjalan bersama Dato Ahmad melalui setiap lorong-lorong kecil di ladang buah dan sayur itu.
“Atuk, pekerja kat ladang ni ramai, kan?”
“Ramai, lebih ramai dari pekerja kat kilang.”
Mereka terus berjalan-jalan melintasi kawasan penanaman buah-buahan tidak bermusim seperti betik, belimbing, jambu batu dan limau bali. Kemudiannya mereka melintasi pula kawasan tanaman buah-buahan bermusim seperti rambutan, durian dan manggis.
“Eh, atuk. Sayur pun ada?”
Terkejut Manja melihat usaha datuknya yang diperluaskan pula dengan penanaman sayur-sayuran.
“Yelah, tapi ini semua hanya sebagai tanaman sampingan.”
Walaupun sampingan sayur-sayuran yang ditanam seperti kacang panjang dan lada besar ini mendapat sambutan yang sama hangatnya dengan buah-buahan yang dipasarkan ke pasaran tempatan dan luar negara seperti Singapura dan Hong Kong.
Minat Manja terhadap pertanian itu membuatkan Dato Ahmad lega dan gembira kerana masih ada warisnya yang mempunyai minat sepertinya dan dia pasti Manja tidak akan jemu dengan apa yang ada sekarang.
“Atuk,”
Panggilan Manja membuatkan Dato Ahmad tersentak dan memberhentikan langkah-nya.
“Kenapa?”
Soal Dato Ahmad serta-merta sambil merenung cucunya kehairanan.
“Tu…lelaki tu. Tadi kat ladang buah…sekarang…”
Kata Manja sambil menunding jari kepada seorang lelaki yang baru dilihatnya sebentar tadi. Tak mungkin begitu cepat dia bergerak. Manja melihat lelaki itu ketika dia mula-mula masuk ke ladang buah, sekarang selepas setengah jam kemudian dia berada di ladang sayur pula. Cepatnya dia berjalan. Apa agaknya ilmu yang dia pakai, fikir Manja sambil tersenyum.
“Oh, itu Hisyam…dia memang macam tu. Dia seorang yang rajin dan kuat bekerja. Tak rugi atuk bayar lebih kepadanya walaupun mereka hanya bekerja pada waktu pagi dan dua jam pada waktu petang.”
Terang Dato Ahmad panjang lebar. Manja begitu kagum dengan lelaki yang semuda Hisyam begitu kuat bekerja, pasti keluarganya amat bergantung harap kepadanya hingga memaksa dia bekerja sebegitu kuat.
Selepas melawat kawasan ladang, Manja dan Dato Ahmad berpecah. Dato Ahmad perlu mengemaskini hasil-hasil tani yang telah siap dibungkus untuk dijual sebelum pulang ke rumah manakala Manja ke kilang untuk melihat para pekerja di sana pula bekerja.
Manja menunggang Silver yang setia menunggunya dan mereka terus ke kilang perabot. Di kilang itu terdapat dua bahagian iaitu bahagian pemasangan dan bahagian pembungkusan perabot.
Manja berjalan berseorangan melihat perabot-perabot seperti rak buku, kabinet dapur, almari pakaian dan katil dipasang. Para pekerja begitu bertungkus lumus bekerja hingga tidak menghiraukan langsung ketibaan Manja. Tambahan pula mereka memang tidak mengenali Manja kerana gadis itu tidak pernah menjejakkan kaki ke kilang itu sejak dia pulang ke villanya itu.
Hanya yang menyederi kedatangan Manja itu adalah pengurus kilang tersebut. Dialah yang melayan Manja dengan menerangkan cara operasi di kilang itu dan menjawab segala pertanyaan Manja.
Bunyi bising hasil dari ketukan dan pemotongan kayu di kilang itu membuatkan Manja tidak boleh berada lebih lama lagi di kilang itu. Sakit kepala dibuatnya. Manja terus keluar selepas berada hanya dua puluh minit di dalam kilang itu.
Langkah Manja semakin perlahan apabila dia keluar dari kilang itu. Suasana disekelilingnya mula terasa bagaikan berpusing-pusing dan matanya berpinar-pinar. Semuanya berpusing-pusing bagaikan dia sekarang berada di dalam sebuah bola yang sedang berputar tanpa henti.
Tiba-tiba Manja dapat rasa sesuatu mengalir keluar dari hidungnya. Dengan pantas tangan kanannya meraba hidungnya dan alangkah terkejutnya dia apabila melihat darah merah pekat mengalir keluar dari hidungnya.
Gadis berkulit cerah itu mula panik. Dia cuba bertahan dan melangkah perlahan-lahan menuju ke arah Silver. Malangnya, Manja tidak dapat bertahan lagi. Dia akhirnya jatuh pengsan di tengah jalan yang panas itu.
Silver yang melihat tuannya jatuh pengsan itu berdengus kuat sambil menyondol Manja beberapa kali tetapi tiada tindak balas dari Manja. Silver berlari menuju ke pejabat utama untuk mendapatkan bantuan dengan harapan orang-orang di situ faham dengan apa yang ingin dikatakannya itu.
Kebetulan Hisyam yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya melalui jalan itu terlihat Manja yang telah pun terbaring di atas jalan tar yang panas di hadapan kilang itu.
“Eh, anak siapa pulak ni?”
Soal Hisyam sambil menepuk lembut pipi Manja agar sedar tetapi tidak berjaya. Hisyam panik, dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Dia akhirnya mendukung gadis itu lalu dibawanya ke Villa Sri Manja, hanya itu sahaja tempat yang bermain dalam kepalanya. Hara-haraplah orang di sana tidak salah faham terhadapnya.
Dengusan Silver yang kuat itu menarik perhatian para pekerja di pejabat utama. Mereka keluar melihat apakah yang terjadi di luar.
“Encik, kuda milik Cik Manja asyik berbunyi je kat luar tu.”
Adu salah seorang pekerja kepada Munir. Munir bergegas keluar mendapatkan Silver yang sedang bermundar-mandir di sekitar kawasan itu. inin juga dia tahu apakah kemahuan binatang kesayangan adiknya itu.
Munir menghampiri Silver lalu mengusapnya dengan lembut, kuda itu kemudiannya menyondol belakang Munir dengan lembut mengarahkan Munir ke jalan utama. Munir hairan dengan perbuatan kuda itu tetapi dibiarkan dengan mengikut sahaja kehendak kuda kesayangan adiknya itu.
Perjalanan sejauh setengah kilometer itu agak memenatkan Hisyam di tambah lagi dia terpaksa mendukung seorang gadis yang tak dikenali bersamanya.
“Mak Som…Mak Som…tolong…”
Hisyam menjerit sekuat hatinya memanggil Mak Som agar datang menolongnya. Mak Som bergegas berlari mendapatkan orang yang memanggilnya. Alangkah terkejut-nya Mak Som melihat cucu kesayangannya terkujur kaku di lantai marmar di halaman villa itu dengan Hisyam di sisinya.
“Ya Allah, cucu aku…”
Jeritan Mak Som itu membuatkan Hisyam sedikit berundur. Tersentak dengan panggilan Mak Som itu lelaki itu segera memberitahu Mak Som bahawa dia tidak tahu menahu tentang bagaimana gadis itu boleh pengsan dan dia hanya mendukung Manja membawa gadis itu pulang ke sini.
“Betul…betul…Syam tak buat apa-apa kat budak ni.”
Semahu-mahunya Hisyam mempertahankan dirinya. Dalam keadaan yang kelam kabut itu Mak Som masih sempat tersenyum melihat gelagat Hisyam yang betul-betul takut dengan perkara yang dia tidak buat itu.
“Tak apa...tak apa...yang penting sekarang ni kita bawak Manja masuk dulu.”
Hisyam membantu Mak Som mendukung Manja masuk ke biliknya. Selepas meng-hantar Manja, Hisyam terus pulang. Dia takut untuk berada lebih lama di situ kerana takut timbul salah faham antara dia dan Munir.
Selang beberapa minit kemudian Dato Ahmad, Dato Mazwan dan Munir pulang ke villa setelah mendapat panggilan dari pembantu rumah mereka tentang keadaan Manja yang masih tidak sedarkan diri.
Setelah doktor keluarga itu datang merawat Manja, gadis itu mula sedar dari pengsannya. Mak Som masih tidak berganjak dari menemani cucunya yang masih dalam keadaan lemah walaupun telah sedarkan diri.
“Hisyam yang bawa Manja pulang tau.”
Beritahu Mak Som kepada cucunya. Manja hanya tersenyum mendengar nama itu. Dia patut berterima kasih kepada lelaki itu kerana membawanya pulang, kalau tidak dah tentu garing dibuatnya terlentang di atas jalan yang panas terik itu.
“Doktor, apa penyakitnya?”
Soal Mak Som sejurus doktor itu selesai memeriksa Manja.
“Tiada apa masalah yang serius, cuma perubahan cuaca sahaja, suhu badan dia naik sikit.”
Jelas doktor itu ringkas. Lega hati Mak Som mendengarnya. Sangkanya cucunya itu mempunyai masalah yang serius selain dari kecacatannya yang dialaminya itu.

No comments: