Monday, March 23, 2009

musim cinta 10-11

BAB 10

Selepas pulang dari bekerja, Manja ke Kampung Seberang untuk berjumpa dengan Daud. Bersahabat dengan Daud menjadikan Manja lebih berani dan bersemangat untuk ranjau hidup yang penuh liku.
Manja lebih memahami Daud, hanya kerana mereka kurang sempurna. Kerana faktor itulah yang membuatkan Manja dan Daud cepat mesra. Mak Som senang dengan tabiat Manja yang kini setiap petang akan ke Kampung Seberang semata-mata untuk berjumpa Daud dan mengajar lelaki itu selok-belok berniaga.
Manja membawa Daud ke kedai-kedai borong, mengajarnya cara menyusun barang di dalam kedai, cara perniagaan yang mudah dan banyak lagi. Untuk mengajar lelaki sebegitu Manja kena bersikap sabar berganda kerana Daud juga seorang yang mudah lupa.

Manja turun ke ladang untuk mengemaskini gaji pekerja setelah mendengar sendiri dari mulut pekerja-pekerja ladang itu yang mengatakan bahawa gaji mereka tidak sama dengan yang direkodkan di dalam fail.
“Kenapa tak buat laporan?”
Soal Manja kepada beberapa orang pekerja yang ditemubualnya.
“Cik Salma cakap syarikat sedang mengalami kerugian sebab itulah gaji kami dikurangkan.”
Hingga begitu sekali Salma menipu mereka. Manja simpati mendengarnya dan dia perlu bertindak supaya Salma menerima hukuman yang sewajarnya kerana telah menjatuhkan maruah syarikat demi kepentingannya. Lebih mengejutkannya, perkara ini telah berlanjutan hampir tiga tahun.
Ketika Manja sedang sibuk menemubual beberapa orang pekerja di suatu sudut ladang itu, di kawasan yang lain di dalam ladang itu juga kelihatan seorang lelaki berlari menuju ke arah seorang pekerja ladang yang berusia dalam lingkungan lewat 50-an yang sedang tekun bekerja.
Lelaki itu bergegas berlari ke pejabat utama yang terletak kira-kira 500-meter dari ladang itu setelah diberitahu oleh kawannya tentang kemalangan anak lelaki tunggalnya.
“Cik Salma, saya nak mintak cuti separuh hari. Anak saya kemalangan.”
Beritahu lelaki itu termengah-mengah. Dadanya masih berombak kencang menarik kembali nafasnya setelah penat berlari tanpa henti sebentar tadi.
“Tak boleh, Pak Ali. Tak boleh. Nanti rugi pulak syarikat ni.”
Ayat biasa yang dikeluarkan oleh Salma apabila para pekerja ladang datang untuk meminta pertolongan. Para pekerja ladang ini hanya mengenali Salma, hanya kerana Salma yang memberi gaji kepada mereka setiap bulan. Maka hanya Salma sahajalah bagi mereka yang dapat menolong mereka setiap kali mereka dalam kesusahan.
“Tapi cik, anak saya cedera parah, lagipun dia mendapat kemalangan ketika nak datang ke sini.”
“Tak payah cakap banyak, aku kata tak boleh, tak bolehlah.”
Marah Salma dengan tegas.
“Saya rayu Cik Salma, tolonglah. Anak saya cedera parah.”
Rayu lelaki tua itu lagi sambil menangis.
“Pergi kerja sekarang, kalau tak aku potong gaji kamu.”
Kata Salma dengan sombongnya. Kerana takut dipotong gajinya, Pak Ali pulang ke ladang. Air mata tuanya mengalir membasahi pipinya yang berkedut itu. Gajinya tidak seberapa, kalau dipotong tentu makan minum keluarganya tidak dapat bertahan selama sebulan seperti biasa.
Manja yang masih belum selesai dengan temubualnya di ladang itu, didatangi oleh lelaki yang sama memberitahu Pak Ali tentang kemalangan anak lelaki Pak Ali itu. Manja terkejut mendengarnya dan marah dengan tindakan Salma yang tidak mengizinkan Pak Ali cuti sedangkan dia tiada hak untuk bertindak demikian.
Manja mencari Pak Ali, sementara lelaki yang memberitahu Manja itu diarahkan memberitahu Pak Usop supaya menunggu Manja di hadapan pejabat utama. Malangnya, Pak Ali tiada di kawasan ladang tempat biasa dia bekerja.
Pencarian Manja akhirnya berhasil apabila dia melihat Pak Ali menangis di bawah pokok rambutan di tengah kebun buah-buahan bermusim itu. Dia memujuk Pak Ali supaya mengikutnya ke hospital.
“Tapi, Cik Salma tak izinkan pakcik pergi tengok anak pakcik tu.”
“Tak apa, pakcik pergi dengan saya. Kalau pakcik nak tahu, jawatan saya lagi atas dari cik Salma. Kalau dia marahkan pakcik, pakcik adu pada saya. Susah-susah sangat saya pecat je perempuan tu.”
Kata-kata Manja itu sedikit sebanyak membuatkan Pak Ali bersemangat kembali. Rupanya tak ramai pekerja yang mengenali Manja. Lelaki itu bangun lalu meninggalkan Manja.
“Pakcik, pakcik nak ke mana tu?”
Jerit Manja melihat Pak Ali tergopoh-gapah berlari meninggalkannya.
“Lawat anak pakciklah.”
“Jom pergi dengan Manja, cepat cikit.”
Pak Ali bersetuju kerana takut terlambat untuk berjumpa dengan anaknya itu. Dalam perjalanan ke hospital, Pak Ali tidak henti-henti menangis mengenangkan anaknya yang keseorangan di hospital. Manja yang melihat lelaki itu menangis turut menitiskan air matanya. Setibanya di sana, Manja memimpin Pak Ali masuk menuju ke wad kemalangan.
“Pak Ali, Pak Ali jangan bimbang pasal bil hospital dan masalah kewangan lain, biar Manja yang uruskan. Manja pulang dulu okey, esok Manja datang.”
Beritahu Manja dengan nadanya yang sopan dan lemah-lembut itu. Pak Ali hanya mengangguk walaupun tidak berapa faham dengan apa yang dikatakan oleh Manja itu kerana masih terkejut. Sebelum pulang Manja ke kaunter hospital meminta anak Pak Ali itu ditempatkan di wad individu.
Setibanya di pejabat utama, Salma yang melihat Pak Usop menurunkan Manja segera ke pejabat Munir untuk mengadu kehadiran Manja lewat tiga jam. Tatkala Manja melangkah masuk ke dalam pejabat itu, dia telah pun ditunggu oleh Munir dengan ditemani Salma yang seronok menyilang tangannya.
“Kenapa datang lambat, kamu sepatutnya menjadi contoh kepada pekerja. Inilah jadinya kalau dimanjakan sangat. Abang bagi warning kalau Manja buat lagi, abang bagi notis 24 jam.”
Manja hanya menunduk mendengar leteran abangnya yang tiada usul periksa itu. malu rasanya diherdik sebegitu rupa di hadapan para pekerjanya. Notis 52 jam pun dia tak takut. Dia tidak mahu melawan kerana tidak mahu dikata kurang ajar oleh pekerja-pekerjanya itu.
Munir terus masuk ke pejabatnya, Salma menjeling ke arah Manja sambil melempar-kan sekuntum senyuman maut kepada Manja. Manja membalas senyuman itu hingga ngeri Salma dibuatnya.
Manja keluar semula dari ruang pejabat itu dan menghampiri mesin kedatangan pekerja. Dia mengambil dua kad kedatangan pekerja itu lalu bergegas masuk ke bilik abangnya. Kad kedatangan Salma dan miliknya diletakkan di atas meja Munir. Munir hairan dengan perbuatan Manja itu, merenung adiknya dengan penuh perasaan ingin tahu.
“Tengoklah, abang akan tahu siapa salah, siapa betul.”
Munir meneliti kad itu dan terkejut melihat kedatangan Manja awal lima belas minit dari Salma. Salma dipanggil sejurus Manja keluar dari bilik Munir. Ketika Manja dan Salma bertembung di luar bilik Munir, Manja membuatkan satu garisan dengan jari telunjuknya dan dibuat pada lehernya. Balasan untuk perbuatan Salma kepadanya.
“Lain kali siasat dulu sebelum tuduh orang, saya rasa awak ada masalah dengan adik saya.”
Marah Munir kepada Salma lalu menyuruh wanita itu menyimpan kembali kad kedatangan yang dibawa oleh Manja sebentar tadi.
“Oh, ya. Pergi masuk bilik Manja sekarang.”
Pesan Munir sebelum Salma keluar dari biliknya. Kali ini berdebar jantung Salma tatkala melangkah masuk ke bilik Manja.
“Salma, apa yang awak buat pada Pak Ali itu tidak betul. Setahu saya, syarikat tak ajar bertindak demikian pada pekerja-pekerjanya.”
Marah Manja.
“Kalau kita tak buat begitu, mereka akan pijak kepala kita.”
“Mereka yang pijak kepala kita ke atau awak tu yang pijak kepala mereka. Awak tak ada hak untuk melakukan sesuka hati pada pekerja kita, tau.”
Salma mengangguk walaupun hatinya tidak ikhlas menerima kata-kata itu.
“Tapi selama ini pekerja-pekerja ladang adalah tanggungjawab saya. Suka hati sayalah nak buat apa pun.”
Kata Salma dengan kurang ajarnya. Manja telahpun merekod perbualan mereka untuk membuat laporan ke atas Salma kerana sikapnya yang kurang ajar terhadap pekerja-pekerja ladang itu.
“Oh, ikut suka hati, sampai sanggup makan gaji mereka tanpa mereka sedari.”
Ternganga mulut Salma mendengarnya. Salma tertanya macam mana Manja tahu semua rahsianya itu.
“Kalau tak ada bukti jangan main tuduh-tuduh.”
Manja ketawa dengan kata-kata Salma yang tiba-tiba melenting itu. Wanita berbadan gempal itu berdiri sambil menepuk meja. Semua pekerja-pekerja yang berada di luar bilik Manja memandang bilik pengurus mereka itu.
“Hai, tak salah kenapa takut. Tak lama lagi kita akan tahu siapa salah, siapa betul. Kamu boleh keluar sekarang.”
Arah Manja tegas. Salma dengan takutnya keluar dari bilik Manja. Berdiri bulu romanya melihat Manja membulatkan matanya sambil memarahinya. Lebih baik keluar sebelum Munir atau Dato Mazwan sendiri campur tangan. Kalaulah pihak atasan tahu perbuatannya itu pasti dia akan dibuang kerja pada masa itu juga.
BAB 11

Seawal pagi Manja ke hospital selepas bersarapan. Mak Som sempat mengirimkan kuih lapis yang dibuatnya untuk diberikan kepada pesakit yang bakal dilawati oleh Manja itu.
Setibanya Manja di wad individu yang menempatkan anak Pak Ali yang mendapat kemalangan baru-baru ini, langkahnya terus dimatikan. Suara lelaki yang menjerit marah tidak tentu pasal itu membuatkan gadis itu agak takut untuk melangkah masuk ke dalam wad itu. Silap-silap haribulan ada yang kena balingan percuma nanti.
Gadis yang ayu berbaju kurung pagi itu membatalkan niatnya untuk terus masuk, sebaliknya hanya berdiri di tepi pintu wad berkenaan. Baik tunggu keadaan reda dulu.
“Syam, sabarlah nak…sabar…”
Hanya itulah yang mampu terungkap oleh ayah yang sudah kekeringan idea untuk memujuk anaknya yang tidak dapat menerima hakikat bahawa kakinya tidak boleh berjalan untuk jangkamasa terdekat itu. Sementara si ibu pula setia mengutip gelas plastik, bekas makanan dan bantal yang dibaling oleh anak lelaki tunggalnya itu.
“3 bulan Syam tak boleh bekerja, mungkin pada masa tu kerja Syam pun dah diambil orang.”
Leter Hisyam dengan kuat sambil tangannya begitu pantas mencapai barang-barang yang baru diletakkan oleh ibunya itu. Manja yang mendengarnya hanya tersenyum, tak disangkanya Hisyam begitu sayangkan kerjanya.
“Syam tak guna, Syam tak boleh bantu keluarga. Keluarga kita susah pun kerana Syam. Syam memang anak tak guna.”
Kata lelaki yang berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan itu lagi sambil tangannya memukul kepalanya beberapa kali. Demi kerana pelajarannya ibu bapanya sanggup berkerja keras kerananya tanpa mengira penat dan lelah.
Ibunya seorang penoreh getah dan ayahnya yang bekerja di Ladang Sri Jaya sanggup berhabis wang demi menyekolahkan anak-anak mereka. Namun, semenjak Hisyam mem-perolehi pinjaman pendidikan dari MARA, sedikit sebanyak dia telah mengurangkan beban keluarganya.
Sekarang kakinya yang patah akibat kemalangan telah menghalang dia dari terus mencari nafkah untuk keluarganya dan membantu adiknya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
“Awak bukan tak berguna, ini semua takdir. Lagipun ini hanya sementara.”
Kata Manja yang tiba-tiba muncul di hadapan pintu masuk wad itu serta mengejutkan ibu bapa Hisyam dan dirinya sendiri. Manja berjalan menghulurkan salam kepada Halimah dan menghulurkan bekas yang mengandungi kuih yang dikirim oleh neneknya.
“Awak janganlah marah-marah macam ni, kasihan dekat mak dan ayah awak. Saya jamin kerja awak tak ada orang yang akan ambik alih.”
Sambung Manja lagi sambil menarik kerusi di sebelah katil Hisyam lalu duduk mengadapnya. Hisyam agak malu dengan kehadiran Manja itu tertunduk malu. Pak Ali berbesar hati dengan kehadiran Manja pagi itu. Dia yang baru tahu Manja adalah anak kepada Dato Ahmad itu tersenyum gembira menyambut kedatangan Manja hari itu.
“Cik janganlah nak sedapkan hati saya. Saya ni dah cacat. Dah tak berguna lagi kepada syarikat cik.”
Jawab Hisyam tanpa memandang pun Manja.
“Alah, baru patah kaki. Nanti lepas tiga bulan awak boleh kerja balik.”
“Cik senanglah cakap, cik tak rasa apa yang saya rasa sekarang ni.”
“Saya faham, lebih dari faham.”
Kata Manja. Manja menyelak kainnya hingga ke paras betis. Mak Limah dan Pak Ali hanya memandang perbuatan Manja itu.
“Tengok ni, tengoklah. Saya cacat seumur hidup. Tapi saya tetap boleh berdiri dan masih boleh meneruskan hidup.”
Terkejut tiga beranak itu memandang kaki Manja yang cacat itu. Tidak disangka mereka Manja seorang gadis yang cacat.
“Cik kaya tak apalah, saya ni masih perlu tanggung keluarga.”
Manja hanya tersenyum dengan kata-kata Hisyam itu. Dia tidak marahkan Hisyam kerana Hisyam tidak mengetahui kisah silamnya. Jika dia bercerita panjang lebar pun Hisyam pasti ada alasan untuk membalasnya. Manja bangun dan menghampiri Pak Ali.
“Pak cik, ini gaji pak cik dan Hisyam untuk bulan ni. Pak cik sekeluarga janganlah risau, walaupun Hisyam tak boleh bekerja selama tiga bulan, jawatannya tak akan diambil orang.”
Kata Manja lalu melangkah keluar dari bilik itu diiringi Pak Ali dan Mak Limah.
“Pak Cik jangan bongkarkan kecacatan Manja pada orang lain, ya. Lebih-lebih lagi pada family Manja.”
Pak Ali mengangguk setuju. Walaupun dia tidak tahu apakah niat utama Manja merahsiakan kecacatannya itu, dia tetap menghormati permintaan gadis cantik itu.
Memandangkan hari itu adalah hari cutinya Manja ke Kampung Seberang untuk berjumpa dengan Daud. Sementara itu pula Pak Ali memberitahu anaknya tentang permintaan Manja itu. Hisyam hairan dengan permintaan Manja itu tetapi tidak dihiraukannya kerana masalahnya masih belum selesai.
Di Kampung Seberang, Manja turut sibuk membantu Daud menyusun barang-barang yang baru sampai di dalam kedainya. Kedai yang siap pembinaannya dalam masa seminggu itu terus digunakan Manja dan Daud.
Atas permintaan Mak Esah, Manja makan tengah hari di rumah keluarga itu. Manja mengajar Daud untuk membuat pesanan barang-barang yang dijualnya serta membuat akaun yang ringkas untuk melihat untung dan rugi perniagaannya itu.
Mak Esah bangga melihat ketabahan Manja mengajar anaknya yang lembab itu. Sedangkan dia sendiri pun tak tahan sesekali mengajar anaknya itu. Jika anaknya itu sesempurna lelaki sebayanya sudah tentu Mak Esah meminang Manja untuk anak lelakinya itu. Kesungguhan Manja menyentuh hati Mak Esah.

No comments: