BAB 14
Padang hijau yang menjadi tempat kuda bermain boleh dilihat dengan jelas dari sebelah barat bilik Manja yang terletak ditingkat tiga Villa Sri Manja. Padang yang luas terbentang itu membuatkan hatinya tenang dan mendamaikan.
Sofa panjang yang diletakkan di tepi tingkap yang luas dan lebar itu dijadikan Manja tempat untuk melepaskan beban di hatinya. Padang permainan kuda itu menjadi latar permandangan setiap petangnya, namun kuda-kuda yang berlari riang di tengah padang itu tidak memberikan sebarang makna kepadanya.
Angin petang yang bertiup kencang membelai rakus rambutnya yang panjang mengurai. Tirai-tirai kristal yang di gantung digerbang beranda biliknya itu berbunyi riang tatkala di sapa bayu petang.
Setiap petang selepas pulang dari kerja, Manja akan menghabiskan masanya di tepi tingkap biliknya itu. Pandangannya dilontar sejauh-jauhnya ke tengah padang. Perasaan marah, dendam dan kecewanya dibiarkan berlari bersama kuda-kuda yang riang berlari di tengah padang yang luas dan menghijau itu. Bila matahari terbenam, tingkap dan langsir di tutup rapat agar nyamuk tidak masuk.
“Panggil Manja turun.”
Arah Dato Ahmad kepada pembantu rumahnya setelah seminggu Manja tidak turun makan malam bersama keluarganya. Sofia hanya menundukkan kepalanya apabila Dato Ahmad menjeling ke arahnya. Menyampah betul Dato Ahmad melihat perempuan gedik itu. Pernah juga sekali dia berdoa agar perempuan itu tidak menjadi menantu cucunya.
“Cik Manja tak nak turun, lagipun saya dah hantarkan makanan ke biliknya, tuan.”
Jawab Bibik, pembantu rumah Indonesia yang paling rapat dengan Manja itu.
“Ini semua kau punya pasal Wan, kau utamakan sangat tetamu hinggakan anak sendiri jadi mangsa.”
Marah Dato Ahmad seraya bangun meninggalkan meja makan tanpa menjamah pun hidangan malam itu. Sofia dan Munir saling berpandangan, Sofia berpura-pura rasa bersalah dan buat-buat muka bersalah.
“Jangan kau layan sangat atuk kamu tu, dia tu memang macam tu. Sayang sangat kat cucu dia.”
Pujuk Dato Mazwan setelah melihat wajah sedih terpancar dari wajah Sofia. Pandai betul dia berlakon. Dia boleh menguasai Dato Mazwan tetapi tidak Dato Ahmad kerana lelaki itu sememangnya tidak menyukai wanita yang sentiasa berpakaian seksi dan mendedahkan auratnya itu. Mak Som yang meluat melihat perangai Sofia itu mengikuti jejak langkah suaminya meninggalkan meja makan.
“Betul, cik. Puan pun tak makan.”
Cerita Bibik kepada Manja sejurus kejadian itu berlaku. Timbul pula rasa bersalah dalam diri Manja mengenangkan musibah yang berlaku kerananya. Rasa geram pun ada tapi tak tahulah nak luahkan kat siapa.
Jam menunjukkan tepat pukul 10.00 malam. Manja masih bermundar-mandir di dalam biliknya. Rasa menyesal kerana perbuatannya pun ada. Kalau dia membiarkan nenek dan datuknya berlapar malam itu bertambah-tambahlah kekesalan dalam dirinya.
Manja mengarahkan Bibik menyediakan makan malam, sementara itu pula dia ke bilik datuk dan neneknya. Harap-harap pujukannya itu diterima datuknya.
“Eh, Manja. Ada apa malam-malam ni?”
Soal Mak Som yang hairan melihat cucunya tiba-tiba muncul di hadapan pintu biliknya itu. Manja hanya tersenyum memandang neneknya yang kelihatan tenang walaupun menahan lapar malam itu.
“Atuk ada?”
Soal Manja sambil tersenyum. Mak Som menundingkan jarinya ke arah Dato Ahmad yang sedang mengambil angin di beranda biliknya yang malam dan suram itu. tertelan iar liur Manja tatkala melihat datuknya. Manja tersenyum tawar lalu berjalan dengan perlahan menuju ke arah datuknya yang sedang duduk berehat di kerusi rotan di ruang beranda biliknya itu.
“Atuk.”
Sapaan Manja mengejutkan Dato Ahmad. Lelaki itu berpaling ke arah Manja dan menghulurkan sekuntum senyuman yang paling manis kepada cucu kesayangannya itu.
“Atuk, kenapa atuk tak nak makan?”
Soal Manja dengan nada yang sayu.
“Atuk tak ada selera.”
“Janganlah macam tu, janganlah sebab perempuan tu atuk berlapar.”
“Atuk tak ada moodlah. Bila Manja tak makan bersama atuk, selera atuk pun hilang.”
Bergenang air mata Manja tatkala mendengar kata-kata datuk kesayangannya itu.
“Mari kita makan, Manja dah minta Bibik sediakan untuk kita kat bawah.”
Pujuk Manja lembut. Dato Ahmad menggeleng lembut, tanda menolak permintaan Manja itu.
“Atuk, cuba tengok nenek tu. Dia mana boleh tahan lapar. Kerana atuk, nenek pun tak makan tau.”
Kali ini Manja terpaksa menggunakan neneknya sebagai bahan pujukan setelah gagal memujuk datuknya. Timbul pula rasa bersalah dalam diri Dato Ahmad kerana membiar-kan isterinya kelaparan kerananya.
Dato Ahmad akhirnya mengalah dan bangun bersama-sama Manja. Manja yang sukar untuk berdiri semula setelah duduk itu segera dibantu Mak Som yang amat-amat mengenali cucunya itu.
Malam itu, tiga beranak itu makan malam bersama-sama. Walaupun Manja sudah makan pada awal malam itu tetapi kerana nenek dan datuknya dia tidak kisah kalau berat badannya bertambah sikit.
Malam semakin lewat. Mata gadis berkulit cerah ini begitu sukar untuk dilelapkan. Dia bangun dari katilnya lalu menuju ke arah beranda biliknya untuk melihat bintang di langit dan mengambil angin malam.
Ketukan pada pintu biliknya tidak disedarinya hingga memaksa Dato Mazwan masuk tanpa kebenaran. Lelaki yang berusia mencecah pertengahan 50-an itu mengintai di sekeliling bilik Manja yang lebih kecil dari biliknya yang telah diambil alih oleh Sofia itu.
“Manja…”
Panggil Dato Mazwan setelah melihat anak bongsunya itu sedang berdiri di tepi beranda biliknya. Manja panik. Kaki palsunya itu telah dicabut. Habislah kalau ayahnya tengok.
Tapi dalam suasana yang agak malap itu tidak menampakkan kaki gadis itu yang kudung, nasibnya agak baik. Tatkala Dato Mazwan semakin menghampirinya, jantungnya semakin berdebar. Dia berdoa moga-moga ayahnya tidak menyedari tentang kecacatannya itu.
“Ayah, ada apa datang bilik Manja malam-malam ni?”
Soal Manja yang agak terkejut dengan kehadiran ayahnya itu.
“Ayah tahu Manja marahkan ayah, kan?”
“Tak, Manja tak marahkan ayah, Manja cuma penat je beberapa hari ni. Yelah mana nak uruskan kerja, uruskan perempuan tu lagi.”
Kata Manja sedikit memerli Sofia. Terdiam Dato Mazwan mendengarnya. Dia tahu anak bongsunya itu tidak menyukai Sofia tetapi dibiarkan juga Sofia bersama Manja di pejabat.
“Ayah nak minta maaf kalau ayah ada buat salah dengan Manja.”
Kata Dato Mazwan dengan nada tersekat-sekat. Rasa bersalah timbul dalam dirinya membuatkan ayahnya merendahkan diri meminta maaf darinya sedangkan tiada apa yang perlu dimaafkan.
Manja membiarkan Dato Mazwan menghampirinya lalu memeluknya.
“Manja turun makan malam esok, okey.”
Pinta Dato Mazwan sambil mengusap lembut bahu anak bongsunya. Kalau ayahnya tidak datang memujuknya sememangnya Manja akan turun makan mlam esok kerana dia sudah berjanji dengan datuknya.
“Tapi Manja tak bolehlah tengok Si Pia tu. Ayah…boleh ayah pindahkan dia kat department abang. Lagipun tak guna dia ada kat deparment Manja. Ayah dia uruskan syarikat perhotelan, kalau dia tahu pasal human resource syarikat kita pun tak sama dengan human resource syarikat dia.”
Terang Manja panjang lebar meminta ayahnya pertimbangkan pendapatnya mengenai Sofia. Dato Mazwan berfikir, ada betulnya kata-kata anaknya. Jika dia biarkan Sofia bersama Manja di pejabat, ia akan merugikan Sofia dan memenatkan Manja sendiri.
“Okeylah, esok ayah akan cakap dengan Sofia dan bincang dengan abang kamu.”
Senyuman puas terukir pada wajahnya. Dia lega kerana akhirnya Sofia semakin berjauhan darinya. Sekurang-kurangnya dia hanya akan berjumpa dengan Sofia di rumah sahaja.
“Thanks, ayah.”
Manja memeluk ayahnya. Dato Mazwan gembira melihat anaknya kembali ceria. Lelaki itu keluar setelah berjaya memulihkan hubungan mereka anak beranak. Manja membiarkan ayahnya keluar dari biliknya dan barulah dia menuju ke arah katilnya untuk tidur.
Manja melompat-lompat kecil menuju ke arah katilnya kerana topang ketiaknya telah dibalingkan ketepi ketika kemunculan ayahnya yang tidak semena-mena itu.
BAB 15
Menjelang pagi, burung-burung mula berkicauan keluar dari sarang untuk mencari makan. Manja keluar dari biliknya dan terus ke ladang lebih awal dari ahli keluarganya yang lain. Pagi itu juga dia tidak bersarapan bersama keluarganya seperti biasa.
Hatinya cukup berbunga riang, seriang sang rama-rama berterbangan mengelilingi bunga-bunga yang berkembang mekar. Cahaya matahari yang semakin terik bagaikan turut bergembira bersamanya.
Matanya meliar mencari seseorang di sekitar ladang yang terbentang luas itu. Manja berdiri di kawasan tanah yang agak tinggi, dengan berbuat demikian dia boleh melihat pemandangan kawasan ladang dengan lebih jelas lagi.
Apabila matanya telah tertumpu pada orang yang dicarinya, Manja bergegas men-dapatkan orang tersebut. Pekerja-pekerja ladang itu telah biasa melihat Manja di kawasan itu setiap hari dan mereka tahu siapa yang dicari-cari Manja itu.
Cuma kecerian gadis kudung dan kedatangannya yang lebih awal dari biasa itu agak menghairankan mereka.
“Hai, ceria nampak hari ni.”
Tegur Hisyam tatkala Manja berdiri di hadapannya. Gadis manis berbaju kurung kedah berwarna biru lembut dengan corak bunga-bunga kecil berwarna putih itu hanya tersenyum mendengarnya.
Manja menarik tangan Hisyam, mereka berdua berjalan beriringan dan duduk berteduh di bawah sebatang pohon gajus yang rendang di hujung ladang itu. Manja mula bercerita tentang keputusan ayahnya itu semalam. Hisyam tumpang gembira mendengarnya.
Hari ini Manja tidak lagi bercerita tentang kebosanannya bersama Sofia setiap hari tetapi perpisahan mereka sehinggakan dia yakin Sofia tidak lagi akan mengganggunya pada waktu bekerja.
Hisyam gembira melihat Manja gembira dan dia berdoa agar tiada lagi wajah duka pada gadis kesayangannya itu. Para pekerja ladang juga tumpang senang melihat kegembiraan pasangan itu mereka juga berdoa agar pasangan itu berbahagia hingga hujung nyawa.
Setibanya di pejabat, Manja terus ke pejabat ayahnya untuk menuntut janji semalam.
“Manja dah makan?”
Soal Dato Mazwan memandangkan Manja tidak bersarapan bersamanya pagi tadi.
“Dah, Kenyang…”
Jawab Manja berbohong. Kenyang bukan kerana makan tetapi kenyang kerana hatinya puas. Dua beranak itu mula berbual sementara menantikan Munir dan Sofia datang untuk menyertai mereka.
Sepuluh minit kemudian Sofia dan Munir muncul. Seperti biasa Sofia dengan tidak malunya memeluk lengan Munir, Manja yang menyedari kedatangan pasangan itu tidak memandang pun walau sekilas.
“Duduk, ayah nak berbincang sikit dengan kamu berdua.”
Arah Dato Mazwan dengan wajahnya yang seserius suaranya. Manja yang mendengar arahan ayahnya itu bingkas bangun dan berdiri di sisi ayahnya.
“Pia, cuba ceritakan sedikit apa yang telah awak pelajari dari Manja.”
Pinta Dato Mazwan tegas dengan matanya memandang tepat ke arah Sofia. Gadis itu menundukkan wajahnya kerana sedikit takut dengan pandangan serius Dato Mazwan itu.
“Er…Pia…Pia…”
Sofia tergagap-gagap mencari jawapan untuk permintaan bakal bapa mertuanya itu. Munir menyiku Sofia supaya menyegerakan jawapannya itu tetapi gadis itu gagal untuk melakukannya.
“Ayah tahu kamu memang tak sesuai berada di bawah Manja, jadi…”
“Tapi Dato, banyak lagi yang perlu Pia belajar…”
Sofia memotong percakapan Dato Mazwan kerana takut dihantar pulang meman-dangkan tiada perkembangan selama dua minggu dia berada di villa itu.
“Betul tu, ayah.”
Sokong Munir dengan bersungguh-sungguh.
“Sabar…sabar…. Ayah tahu, Pia masih banyak yang perlu belajar. Tetapi bukan dari Manja, tapi dengan Munir.”
Sofia dan Munir saling berpandangan. Munir begitu gembira dengan cadangan ayahnya itu. Dengan cara itu dia akan lebih rapat dengan tunangnya itu. Bagi Sofia, itu bukan berita gembira, segala rancangannya akan gagal jika dia tidak bersama Manja.
“So, Pia. Macam mana?”
Soal Dato Mazwan setelah melihat Sofia tidak gembira dengan cadangan terkini itu. Sofia merenung Manja setajam-tajamnya. Manja mengabaikan sahaja pemandangan yang agak menakutkan itu. Sofia hanya mampu mengangguk dengan cadangan Dato Mazwan itu. Jika dia menolak, kemungkinan besar dia akan dihantar pulang. Oleh itu dia terpaksa bersetuju demi balas dendamnya terhadap Manja yang belum berbalas itu.
Sepanjang makan tengah hari Manja tidak habis-habis bercakap tentang Sofia kepada Hisyam. Hisyam yang mendengarnya hanya tersenyum dan mengangguk. Dia tumpang gembira melihat Manja gembira.
Mereka kemudiannnya berpecah setelah keluar dari kantin. Manja menuju ke pejabat utama dan Hisyam menuju ke pondok rehat pekerja. Sofia yang sedari tadinya bersembunyi di belakang pokok yang terletak tidak jauh dari kantin keluar. Pada wajahnya tidak terukir pun sebarang senyuman, hatinya cukup panas melihat kemesraan pasangan itu dan bertekad untuk mengenakan mereka.
Hari silih berganti, hidup Manja semakin bahagia walapun Sofia masih berdiri di bawah satu bumbung bersamanya. Mereka berdua hanya akan berjumpa di meja makan dan ini membuatkan Sofia kurang senang dengan keadaan itu.
Keadaan yang kurang menyenangkan bagi gadis bermata bulat dan berambut pendek potongan bulat itu memaksa dia bertindak secara diam-diam. Sofia mengambil kesempatan ke ladang ketika Manja sedang bermesyuarat.
Gadis yang mengenakan baju sendat bewarna biru yang dipadankan dengan skirt pendek paras peha itu melangkah dengan penuh paksaan ke kawasan penanaman sayur yang berlecak dan berlumpur.
Sofia melangkah dengan penuh berhati-hati sambil matanya meliar mencari seseorang. Pekerja-pekerja yang sedang bekerja terkejut dengan kehadiran Sofia itu segera berhenti dari melakukan kerja mereka dan berdiri sambil memandang Sofia.
“Hey, kamu. Kamu ada nampak Hisyam?”
Soal Sofia kepada salah seorang pekerja lelaki yang melihatnya. Lelaki itu menundingkan jarinya menunjukkan tempat Hisyam berada. Tanpa membuang masa lagi Sofia melangkah dengan lajunya menuju ke arah Hisyam yang sedang mengutip buah tembikai.
Akibat langkah yang kelam kabut itu, tiba-tiba tumit kasut tinggi yang dipakai Sofia itu terjerlus ke dalam tanah yang tidak rata membuatkan dia jatuh tersungkur. Pekerja-pekerja yang melihatnya ketawa melihat gadis seksi jatuh tersungkur. Penuh lumpur di pakaian dan muka Sofia.
Kemalangan kecil itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan rancangan-nya. Hilai tawa pekerja-pekerja ladang itu menarik minat Hisyam untuk turut memandang. Alangkah terkejutnya lelaki itu apabila melihat Sofia telah pun berdiri dibelakangnya.
Hisyam berundur beberapa langkah, terkejut dengan kedatangan yang tidak di-sangkanya itu.
“Cik, ada apa-apa yang boleh saya tolong?”
Soal Hisyam yang turut terkejut dengan kedatangan gadis seksi lagi comot itu.
“Nothing, I cuma nak tengok dengan lebih dekat…lelaki yang disukai Manja ni.”
Kata Sofia sambil tangannya meliar meraba bahu dan tangan Hisyam. Tiba-tiba peluh jantan mengalir pantas membasahi dahinya sepantas degup jantungnya.
“Cik, janganlah macam tu.”
Kata Hisyam sambil menempis tangan Sofia.
“Oh, dengan aku…malu….dengan perempuan cacat tu tak malu.”
Kata Sofia sambil menyambung aktiviti merabanya di dada Hisyam yang bidang itu. Hisyam yang mula takut dengan perbuatan Sofia itu menolak gadis itu dan berlari mendapatkan kawannya. Sofia mengekori Hisyam dengan langkahnya yang masih lagi bergaya walaupun dalam keadaan comot dan kasutnya yang penuh lumpur. Dia berhenti di belakang Hisyam tanpa disedari oleh lelaki itu.
“Okeylah, sayang…nanti I datang lagi.”
Kata Sofia menggoda dengan diperhatikan oleh pekerja-pekerja yang telah pun mengkerumuni Hisyam. Hisyam yang terkejut dengan suara Sofia itu segera bersembunyi di belakang kawannya. Sofia tergelak kecil melihat ketakutan Hisyam itu.
Tatkala Sofia menghilang dari pandangan, pandangan pekerja-pekerja ladang itu dialihkan pula ke arah Hisyam yang masih menggeletar. Mereka ketawa terbahak-bahak melihat reaksi Hisyam yang tidak pernah dilihat selama ini.
Manja terkejut dengan pakaian Sofia yang kotor dan mukanya yang comot itu masuk ke dalam pejabat Munir. Dia mengintip untuk mencuri dengar perbualan pasangan itu. Perbualan mereka kurang jelas tetapi Manja tahu gadis itu datang dari mana. Tanpa membuang masa lagi Manja terus ke ladang untuk mengetahui cerita yang sebenarnya.
Cemburu bercampur kelakar mendengar cerita yang pelbagai versi yang didengari-nya dari pekerja-pekerja ladang itu. Perbuatan Sofia itu membuatkan Manja cemburu tetapi kelakar pula apabila mengenangkan Hisyam yang ketakutan diusik gadis seksi itu.
“Mana Syam?”
Pekerja-pekerja ladang itu menunding jari mereka ke arah sebatang pokok gajus yang rendang dan rimbun di hujung ladang itu, tempat yang biasa mereka lepak. Manja bergegas mendapatkan Hisyam yang berehat di bawah pohon yang rendang itu.
“Hai.”
Tegur Manja yang siap berdiri di hadapan Hisyam itu. Hisyam yang melihat Manja segera menarik tangan gadis itu hingga terduduk Manja dibuatnya.
“Hah, sejuknya tangan awak. Muka pun pucat ni.”
Hisyam menggenggam tangan Manja kemudiannya meletakkan tangan gadis itu ke dadanya. Terkedu seketika Manja dengan perbuatan separuh sedar Hisyam itu. Namun begitu dia tidak dapat menyembunyikan perasaan ingin ketawanya.
“Dahlah tu, perempuan tu dah tak ada dah.”
Pujuk Manja supaya Hisyam bertenang sambil mengusap lembut belakang Hisyam. Setelah beberapa minit keadaannya semakin berat, wajahnya bertambah pucat dan badannya semakin sejuk. Manja mula risau melihat keadaan Hisyam yang tidak stabil itu.
“Wak, sediakan kereta kuda.”
Manja menelefon penjaga kuda supaya menyediakan kereta kuda untuk digunanya menghantar Hisyam pulang memandangkan keadaannya semakin serius.
Manja memapah Hisyam keluar dari ladang menuju ke arah kereta kuda yang telah disediakan di luar ladang. Pekerja-pekerja ladang yang melihat keadaan Hisyam itu tidak habis-habis ketawa.
Manja sendiri memacu kereta kuda itu ke rumah Hisyam. Sepanjang perjalanan, Hisyam terus menggenggam erat tangan Manja. Gadis itu membiarkan sahaja Hisyam bertindak demikian jika dengan cara itu dapat mengurangkan rasa terkejutnya itu.
Kereta kuda yang dipacu Manja itu berhenti di perkarangan rumah Hisyam. Manja terus memapah Hisyam turun dan mereka berjalan beriringan menuju ke rumah lelaki itu. Halimah yang terkejut melihat anaknya pulang lebih awal dari biasa dan dengan dihantar oleh orang yang tidak disukainya itu bergegas mendapatkan anaknya.
“Hisyam…”
Belum pun sempat Manja menghabiskan penerangannya kepada wanita itu, wanita itu terus menarik tangan Hisyam dari tangan Manja. Tindakan wanita itu agak mengecewakan dan mengejutkan Manja. Manja berpatah balik ke kereta kudanya setelah kelibat Hisyam hilang dari pandangannya.
“Nak ke mana ni?”
Soal Halimah setelah melihat anaknya bergegas keluar dari rumah mereka.
“Nak ke villa kejap.”
Jawab Hisyam tanpa memberhentikan langkahnya mahupun menoleh ke arah ibunya yang menyoal.
“Kamu ni tak kira masa, asyik nak ke ladang saja. Sejak berkawan dengan anak orang kaya tu perangai pun dah berubah.”
Leter Halimah. Pak Ali hanya memekakkan telinganya. Sejak Halimah mendengar cerita dari orang kampung yang mengatakan bahawa Manja menghalau Salma kerana cemburu dan iri hati, Halimah semakin benci kepada Manja. Apa-apa sahaja cerita tentang Manja, baik mahupun sebaliknya baginya semuanya sama. Apabila sudah disetkan di dalam mindanya bahawa Manja adalah gadis yang tidak baik, begitulah tanggapannya untuk gadis itu selama-lamanya.
Setibanya di kandang kuda, Hisyam terus berlari mendapatkan Manja yang sedang berehat di bawah sebatang pohon ru di kawasan padang yang luas itu. Manja yang melihat Hisyam berlari menuju ke arahnya membetulkan kedudukannya sambil melemparkan sekuntum senyuman kepada lelaki itu.
“Ah…penatnya.”
Hisyam terus duduk di sebelah Manja sambil mengipas mukanya dengan topi merah yang dipakainya ke situ. Manja tersenyum memandang Hisyam.
“Syam okey.”
Kata Hisyam yang faham benar dengan pandangan Manja itu.
“Tak malu, takut dengan perempuan.”
Kata Manja sambil menggeletek pinggang Hisyam.
“Bukan takut, seganlah.”
Balas Hisyam sambil memegang kedua belah tangan Manja agar berhenti dari menggeleteknya. Tiba-tiba suasana di sekeliling mereka sunyi, pandangan mereka mula bertaut.
Bak kata pepatah melayu ‘dari mata turun ke hati’. Begitulah yang terjadi kepada mereka sekarang. Tatkala mata mereka bertentang, jantung mereka juga berdegup kencang. Masing-masing hanyut di alam mereka selama beberapa minit hinggalah Silver menghampiri mereka dan berdengus sambil menyondol Manja hingga mengejutkan gadis berambut perang itu. Mereka berdua segera membetulkan kedudukan mereka dan masing-masing tersipu-sipu malu.
“Dah lewat petang ni, Manja pulang dululah.”
“Em…Syam pun sama.”
Hisyam membantu Manja berdiri dan mereka berjalan beriringan keluar dari padang ragut kuda itu.
No comments:
Post a Comment