BAB 18
Selepas sebulan Manja mendapat rawatan rapi di hospital, dia akhirnya dibenarkan keluar dan dinasihatkan tidak terlampau aktif kerana keretakan di bahagian pinggulnya masih belum pulih sepenuhnya. Jika gadis ini jatuh lagi kemungkinan besar dia tidak boleh berjalan buat selama-lamanya.
Hisyam menjemput Manja dari hospital. Lelaki itu begitu setia menemani Manja hingga memaksa dirinya mengambil cuti semata-mata untuk menjemput Manja dari hospital walaupun tidak dipinta oleh gadis itu.
Setibanya di villa, Mak Som dan Dato Ahmad telah pun bersedia menunggu cucunya di hadapan halaman villa mereka. Gadis berambut panjang itu turun dari kereta proton perdana yang digunakannya untuk ke mana-mana itu turun dengan begitu cermat dengan bantuan Hisyam. Tongkat besi yang dibekalkan dari hospital itu digunakan Manja untuk berjalan.
Manja terus memeluk datuk dan neneknya sejurus turun dari kereta. Hisyam yang masih berdiri di sisinya itu hanya memerhatikan sahaja adegan sayu itu. Dia faham perasaan Manja yang menangis tatkala berpeluk dengan datuk dan neneknya itu walhal hanya baru semalam mereka berjumpa. Manja kecewa kerana ayah dan abangnya tiada di situ menyambut kepulangannya.
Dato Mazwan semakin banyak berubah semenjak kedatangan Sofia ke villa itu. Gadis yang dikenalinya sebagai anak kawan perniagaannya itu yang kini bakal bergelar menantunya itu banyak menghasut Dato Mazwan sehinggakan hubungan Dato Mazwan dengan anak bongsunya itu semakin renggang. Bukan itu sahaja, Dato Mazwan juga mula bersikap kurang ajar dengan ayahnya sendiri.
Sofia pernah menceritakan kepada lelaki itu tentang anak kawan baik ayahnya yang sangat dimanjakan oleh ayahnya, kini anak manja itu menjadi semakin liar, bukan itu sahaja anak manja itu juga mula terjebak dengan najis dadah. Dato Mazwan yang tidak ingin anak bongsunya melakukan perkara yang sama itu mula melayan Manja seperti anaknya itu orang asing dalam hidupnya.
Hasut Sofia lagi jika gadis seperti Manja itu dilayan mengikut kehendaknya, gadis itu akan memijak kepala ayahnya kelak dan seelok-eloknya Dato Mazwan bertindak sebelum terlambat.
“Nak ke mana pagi-pagi ni?”
Soal Mak Som yang melihat Manja yang berpakaian kemas.
“Nak ke pejabatlah, dah lama bercuti.”
Kata Manja yang baru sehari pulang ke rumahnya setelah berehat panjang di hospital angkara hasad dengki manusia itu. Mak Som akur dengan keinginan Manja itu. Dia tahu hanya dengan ke pejabat sahaja Manja boleh dekatkan diri dengan keluarganya sekarang. Wanita itu sendiri pun buntu memikirkan cara untuk menyatukan kembali keluarganya yang semakin renggang ini.
Langkah Manja yang sumbang serta berjalan dengan bantuan tongkat besi itu menjadi perhatian tatkala dia melangkah masuk ke dalam pejabat utama itu. Ramai pekerja-pekerja yang datang bertanya khabar serta ada yang menghulurkan simpati melihat Manja berkeadaan demikian.
“Dato tengoklah Manja tu, datang-datang je pejabat menagih simpati dengan orang, saja nak tunjuk kesihan. Jatuh sikit saja dah kena pakai tongkat.”
Hasut Sofia yang terus masuk ke dalam pejabat Dato Mazwan apabila melihat Manja tiba di pejabat itu. Dato Mazwan terus memanggil Manja masuk ke pejabatnya sejurus anak gadisnya itu duduk di kerusinya.
Manja dengan penuh perasaan gembira masuk ke pejabat ayahnya dengan harapan ayahnya itu mahu bertanyakan khabarnya setelah sebulan mereka tidak bertegur sapa dan bersua muka.
“Kamu datang ni nak bekerja ataupun nak menagih simpati orang?”
Soal Dato Mazwan dengan tegasnya. Tergamam Manja dengan kelakuan ayahnya yang jauh berbeza dengan karektornya dahulu.
“Maaf, Dato. Saya janji tak akan mengulanginya lagi.”
Kata Manja lalu melangkah keluar dari bilik pejabat Dato Mazwan itu. Lelaki yang bermisai lebat itu hanya memerhatikan sahaja langkah anak bongsunya dengan satu pandangan yang cukup sayu. Bukan niatnya untuk memarahi anak kesayangannya itu tetapi kerana kasih dia terpaksa bertindak demikian hanya kerana tidak mahu anaknya rosak akibat terlalu dimanjakan.
Di bilik pejabatnya, Manja menangis semahu-mahunya. Hatinya cukup kecewa mengenangkan nasib yang menimpanya. Harapannya bahawa ayahnya akan menyambut-nya dengan gembira hancur berkecai. Jika ayahnya mahukan sikap formal itu, dia akan mengikut kemahuan ayahnya itu.
Deringan telefon bimbitnya mengejutkannya, dia segera menyeka air matanya lalu menjawab panggilan telefon itu. Wajah sugul Manja berubah tatkala terdengar suara Abdul.
Mereka berborak riang seperti tiada masalah yang menimpa diri gadis berlesung pipit itu. Abdul dengan riangnya memberitahu dia akan pulang apabila selesai menduduki peperiksaan akhirnya di kolejnya di London.
Abdul juga berjanji akan sentiasa bersama adik angkatnya itu apabila pulang ke Malaysia kelak. Manja juga menyatakan ketidak sabarannya menantikan saat-saat bahagia itu.
Banyak yang mereka bualkan sehinggakan Manja terus melupakan hati dan dirinya yang masih sakit itu. Abdul juga menyatakan apabila pulang ke Malaysia kelak, dia akan melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya yang setia menunggunya di Malaysia.
“Abang jangan bimbang, adik akan tolong abang uruskan majlis perkahwinan abang tu.”
“Thanks, abang tak sabar nak pulang. See you there.”
Selang beberapa minit tamatnya perbualan dua beradik angkat itu, Abdul mendapat panggilan dari nenek Manja di Malaysia pula. Lelaki itu agak terkejut mendengar berita yang disampaikan oleh wanita itu.
Sungguh tidak disangkanya Manja begitu pandai menyembunyikan perasaan dan kesakitan yang dialaminya hanya kerana tidak mahu lelaki itu risau akannya memandangkan lelaki itu bakal menamatkan pengajiannya tidak lama lagi.
“Ini semua angkara Sofia.”
“Apa perempuan itu buat kat sana?”
Abdul agak terkejut apabila mendapat tahu Sofia kini berada di Villa Sri Manja. Kini dia tahu adik angkatnya itu berada dalam bahaya dan dia perlu ada di sisi Manja untuk menyokong gadis itu pada saat-saat begini.
Mak Som juga menceritakan kepada Abdul tentang kemalangan yang menyebabkan keadaan Manja semakin serius dan hubungan kekeluargaan Manja yang semakin renggang akibat perempuan durjana itu. Abdul berjanji akan ke sana terus setibanya di Malaysia nanti.
Sofia harus dihalang supaya keinginannya itu tidak tercapai. Abdul tahu apa yang harus dilakukannya dan dia akan pastikan Sofia menerima balasan di atas perbuatannya sendiri.
BAB 19
Kehidupan Manja kini tak ubah seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Kedatangan Sofia yang tidak sengaja itu telah banyak mengubah cara hidupnya. Munir yang ditunangkan dengan Sofia atas pilihan keluarga itu telah membuka peluang kepada Sofia untuk membalas dendam yang diciptanya sendiri terhadap Manja.
Sofia membenci Manja hanya kerana Manja memiliki dahulu apa sahaja kehendaknya ketika mereka sama-sama belajar di kota London dahulu. Pertelingkahan antara Sofia dan Manja semakin menjadi-jadi apabila mereka meminati orang yang sama dan Manja mendapat dahulu Faris yang bukan sahaja diminati oleh Sofia tetapi juga kebanyakan gadis di kolej mereka.
Mulai dari saat itu Sofia banyak merancang untuk merenggangkan hubungan Manja dan Faris hingga akhirnya perbuatan nekad Sofia itu membuatkan dia berjaya memisahkan pasangan itu. Sofia melanggar Manja dan melarikan diri tetapi berjaya ditangkap kerana seorang orang awam terlihat perbuatannya.
Manja tidak membuat aduan terhadap Sofia kerana dia tidak mahu orang senegaranya menerima hukuman di negara yang asing bagi mereka itu dan Manja tidak mahu media memperbesarkan berita itu kerana tidak mahu keluarganya di Malaysia risau akannya. Namun begitu Sofia tetap dipenjarakan selama hampir dua minggu kerana perbuatannya itu diadukan oleh orang awam.
Perbuatan Sofia itu mendapat liputan meluas di kolej dan beberapa media tempatan London. Manja yang malu dengan liputan itu pulang ke Malaysia sejurus tamat pengajiannya.
Seawal pagi Faris datang ke pejabat Manja. Gadis itu agak terkejut menerima kedatangan lelaki yang dahulunya menjadi pujaan hatinya. Manja tidak banyak bercakap dengn Faris dan hanya sekadar menjemput lelaki itu duduk.
“Macam mana keadaan Manja?”
Soal Faris yang melihat tongkat besi di sisi gadis yang masih dicintainya itu.
“Baik. Masih hidup. Faris datang salah pejabat ni. Manja tak uruskan pasal perniagaan Faris, Manja hanya menguruskan sumber manusia ladang sahaja.”
Kata Manja, seolah-olah meminta Faris keluar dari bilik pejabatnya itu.
“Ris datang ni saja nak bertanyakan khabar Manja.”
“Manja sihat, Faris bolehlah pergi sekarang, tak manis pula bila orang lihat nanti.”
Manja cuba berdalih. Tiada lagi panggilan manja dari gadis kesayangan Faris itu. Ingin sekali lelaki itu mendengar panggilan Ris dari mulut Manja tetapi ternyata gagal.
“Ris nak tahu kenapa Manja elakkan diri dari Ris dan tiada khabar berita dari Manja dan apa maksud surat yang Manja berikan kepada Ris.”
Faris meminta penjelasan dari Manja tentang surat yang dikirimkan kepadanya. Mereka tiada sebarang masalah, tiba-tiba sahaja Manja menulis surat meminta perpisahan dan meminta agar melupakan sahaja impian yang mereka cipta bersama-sama dahulu.
“Semuanya dah jelas, kita berdua memang tak serasi.”
“Takkan itu saje, Ris tak puas hati…Ris tak sangka Manja memang seorang yang kejam…Manja mainkan perasaan Ris… kemudian Manja tinggalkan Ris macam tu aje.”
Manja hanya mendiamkan diri menerima apa sahaja tuduhan Faris itu. Dia tidak kisah lagi apa sahaja tuduhan yang diterimanya dan dia redha dengan semuanya. Namun begitu air matanya mula mengalir membasahi pipinya tatkala lelaki itu keluar dari bilik pejabatnya. Manja tidak dapat menahan sebak mengenangkan tuduhan dan perpisahan yang bukan dipintanya itu. Tapi tekadnya bulat, dia tak akan berundur lagi.
Manja bangun lalu keluar dari biliknya. Baik dia beredar kalau Faris tidak mahu. Ketika dia berjalan keluar membuka pintu biliknyaitu, dia bertembung dengan Adam. Pipinya tiba-tiba bertukar warna, merah padam. Malu, bila mengenangkan malam Adam datang melawatnya di hospital.
“Manja, nak ke mana ni?”
“Nak ke belakang. Nak buat air.”
Jawab Manja malu-malu dan Adam tetap selamba kerana sangkanya Manja tidak tahu akan kedatangannya malam itu.
“Eh, jangan. Biar Adam yang buat. Manja tunggu dalam bilik Manja, ya.”
Manja mengangguk setuju.
“Er...tapi Manja tunggu dalam bilik Adam, ya. Sebab...”
Menja menjeling ke arah biliknya. Adam faham dan mengangguk setuju. Manja terus beralih ke bilik Adam. Selang beberapa minit kemudian Adam membawa dua mug air ke dalam biliknya.
“Kenapa Manja lari?”
“Sebab dia tak nak lari dari situ.”
Jawab Manja ringkas. Adam ketawa mendengarnya. Takut sangat ke Manja kat lelaki itu sampai kena lari macam tu sekali.
“Dia ugut Manja ke?”
“Tak, dia cuma gila...dia nakkan Manja balik...tapi Manja dah tawar hati dengan dia.”
Adam mengangguk lagi. Sekarang dia faham walaupun Manja tak cerita panjang lebar lagi. Mereka terus menikmati air yang dibancuh Adam itu.
“Wah, sedapnya...boleh buka restoran ni.”
Puji Manja. Adam tersenyum manis.
Selepas makan tengah hari Manja dan Hisyam ke kolam penternakan ikan air tawar yang baru dirasmikan oleh Manja beberapa hari yang lepas.
“Monyok je hari ni, tak sihat ke?”
Soal Hisyam sambil menyiku Manja yang termenung jauh ke tengah kolam itu. Manja hanya menggelengkan kepala, seboleh-bolehnya dia tidak mahu orang lain merasakan apa yang dirasainya itu.
“Takkan dengan Syam pun Manja nak rahsia jugak.”
Hisyam seboleh-bolehnya mahu Manja berkongsi masalah dengannya kerana tidak mahu gadis pujaannya itu memikul sendirian beban di hatinya.
Manja mula menceritakan hubungannya yang terjalin dengan Faris sejak mereka bersama-sama belajar di Kota London dahulu. Faris dan Manja merupakan pasangan kekasih yang cukup bahagia di kolej mereka. Ramai yang cemburu melihat kemesraan pasangan itu termasuklah Sofia yang kini terus menghantui hidupnya.
Ketika malam terakhir makan malam mereka, seorang gadis cacat masuk ke dalam restoran yang sama dengan mereka bersama keluarganya lalu duduk di sebelah meja pasangan itu.
Nasib gadis itu cukup baik kerana dia dibantu oleh keluarganya dengan begitu baik sekali. Faris amat benci melihat gadis yang cacat itu dibantu oleh orang apa sahaja yang ingin dilakukannya.
“Benci betul I tengok perempuan cacat macam tu. Nak buat apa pun kena bantu. Menyusahkan orang betullah.”
Kata Faris sambil menjeling tajam melihat gadis di sebelah meja mereka itu. tuhan telah memberi petanda yang Faris bukan jodoh yang sesuai untuknya. Faris hanya mencintainya kerana kesempurnaannya dan lelaki itu tidak mungkin akan mencintainya jika dia cacat seperti gadis di sebelahnya itu.
Manja amat kecewa dengan perbuatan Faris yang menghina gadis itu sedemikian rupa. Baginya kecacatan seseorang bukan permintaan tetapi telah ditakdirkan oleh yang maha ESA. Sejak dari saat itu Manja mula tawar hati dengan lelaki yang bergelar kekasih hatinya.
“Kenapa Ris kata Macam tu, tak baik hina dia, bukan dia yang mintak untuk jadi cacat begitu, tau.”
Tegur Manja setelah mendengar Faris menghina gadis yang cacat itu sengaja menagih simpati orang dan mengambil kesempatan, walhal dia mampu melakukannya sendiri.
“Ris, memang tak suka orang cacat, terutama sekali bila perempuan yang cacat.”
Manja yang benci dengan kata-kata itu terus mengangkat punggungnya dan terus keluar dari restoran mewah di Kota London itu. Sakit betul hatinya dengan sikap Faris yang tidak menghormati orang itu, nasib baiklah gadis itu dan keluarganya tidak faham dengan percakapan pasangan itu.
Kini Hisyam faham perasaan Manja kenapa dia tidak dapat menerima Faris kembali. Dia tersenyum puas memandang peluangnya kini terbuka luas untuk terus memikat hati Manja. Tanpa disedari lelaki itu kepala Manja tiba-tiba terlentok di bahunya. Hisyam membiarkan Manja berbuat demikian. Mungkin dengan cara itu beban di hatinya dapat dikurangkan.
“Manja, bukan semua lelaki begitu…sabarlah mungkin jodoh Manja bukan dengan Faris…mungkin dia ada di sini…”
Kata Hisyam tersekat-sekat. Manja mengangkat kepalanya lalu memandang Hisyam yang tersengih memandangnya, dia membalasnya dengan sekuntum senyuman lalu meletakkan kembali kepalanya di bahu Hisyam.
Kebetulan pada masa yang sama Faris melalui kawasan kolam ikan air tawar itu dan terpandang kemesraan pasangan yang baru mengenal hati budi masing-masing itu. Dengan langkah yang laju Faris berjalan menuju ke arah pasangan itu dan terus menarik tangan Hisyam yang sedang duduk dan terus menumbuk muka Hisyam hingga tersungkur jatuh lelaki itu.
Hisyam bangun dan terus melawan. Manja yang sukar untuk berdiri itu cuba bangun dan cuba meleraikan pergaduhan itu tetapi malangnya dia pula yang ditolak oleh Faris yang sedang naik minyak itu. Hisyam yang terkejut melihat Manja jatuh itu menolak Faris dan membantu Manja bangun.
“Manja, awak okey?”
“Berasmara pulak depan aku.”
Marah Faris. Manja yang benci mendengar kata-kata Faris itu terus menampar pipi Faris dengan kuat. Lega rasanya.
“Orang macam kau ni memang tak layak buat kawan.”
Kata Manja lalu memapah Hisyam beredar situ meninggalkan Faris sendirian. Lelaki itu naik berang melihat kemesraan pasangan itu lalu menendang pokok yang terletak di hadapannya yang tidak bersalah itu.
Manja menghantar Hisyam dengan kereta kudanya hingga ke perkarangan rumah Hisyam. Halimah yang melihat anaknya yang lebam-lebam di muka dan badan itu begegas merampas anaknya dari Manja.
“Sejak anak aku berkawan dengan kau, ada saje sakit yang dia dapat.”
Tengking Halimah dengan lantangnya.
“Mak, tak baik cakap macam tu.”
Marah Hisyam pada emaknya.
“Betul kata mak ni, Syam.”
Halimah terus memapah Hisyam naik ke rumah mereka tanpa mempedulikan kata-kata Manja lagi. Manja amat kecewa dengan sikap Halimah terhadapnya lalu memaling-kan badannya untuk berangkat pulang ke villanya.
“Hei, perempuan nanti dulu.”
Jeritan Halimah mematikan langkah Manja. Manja memusingkan badannya kembali mengadap Halimah yang baru turun dari anak tangga rumahnya menuju ke arah Manja.
“Dengar sini, aku nak bagi amaran pada kau. Jangan dekati anak aku lagi kalau kau nak dia bekerja lama di syarikat kau. Faham!”
Pelik benar ugutan Halimah itu tetapi Manja tidak menjawabnya sebaliknya hanya menundukkan wajahnya ke bumi. Sangkanya keluarga itu sudah cukup kaya hinggakan tidak memerlukan Hisyam bekerja di villa itu lagi.
“Satu lagi, anak aku tu akan dijodohkan dengan Salma, jadi aku tak mahu kau rapat dengan dia lagi. Dah, berambus kau dari sini.”
Kata Halimah dan dengan kuatnya seraya menolak Manja hingga jatuh terduduk gadis itu dibuatnya. Wanita itu terus naik ke rumahnya meninggalkan Manja sendirian di halaman rumahnya. Gadis kudung yang dalam kesakitan itu memaksa dirinya mengesot menghampiri kereta kudanya.
Dengan segala kudrat yang ada dia menggagahkan dirinya untuk pulang ke rumahnya. Sakitnya yang masih belum reda akibat ditolak Faris tadi itu bertambah teruk apabila ditolak Halimah pula. Mungkin selepas ini peluang untuk dia berjalan tipis jika perkara ini berlanjutan selalu. Nampak gayanya dia kena bersara dari berjumpa dengan Faris dan Hisyam, barulah hidupnya akan aman.
BAB 20
Selama lima hari Manja menderita kesakitan. Setiap kali dia pulang dari pejabat, dia akan terus mengurung dirinya di dalam biliknya. Setiap kali dipanggil untuk makan malam, gadis itu akan menggunakan alasan penat kerana tidak mahu turun untuk makan malam bersama keluarganya.
Perbuatan Manja itu akhirnya berjaya dihidu oleh Mak Som setelah wanita itu terpandang kesan lebam yang teruk di bahagian peha kanan cucunya.
“Manja, Manja jatuh lagi?”
“Tak adalah, ini kesan lama.”
Jawab Manja sambil menarik kain satin yang dipakainya yang dijadikan gaun tidurnya setelah sedikit terselak ketika dia turun dari katilnya.
“Nenek tak percaya, dalam seminggu ni nenek tengok cara kau berjalan dah semakin teruk, baik kamu cakap betul-betul dengan nenek sebelum nenek sendiri yang akan cari puncanya,”
Ugut Mak Som dengan harapan Manja takut dengan ugutannya itu. Bukan sengaja dia mahu mengugut cucunya itu tetapi hanya untuk kebaikannya sendiri. Mahu tak mahu Manja akhirnya memberitahu perkara sebenar yang berlaku siang tadi.
Mak Som mengambil minyak panas dari peti kecemasan yang terletak di hujung bilik Manja itu lalu menyapunya ke peha Manja agar sakit cucunya itu sedikit berkurangan.
“Kenapa awak turun sendirian ni, mana Manja?”
Soal Dato Ahmad setelah melihat isterinya datang seorang diri ke meja makan.
“Manja kurang sihat, saya dah arahkan Bibik bawakan makanan untuk Manja.”
Kata Mak Som sambil menarik kerusi lalu duduk disebelah suaminya.
“Bibik, jangan bawa makanan tu naik, kalau dia lapar biar dia turun cari sendiri.”
Kata Dato Mazwan setelah disiku oleh Sofia agar berkata sesuatu dan dengan pantas gadis itu menekan butang interkom yang menghubungkan ruang makan ke bilik Manja dengan harapan gadis itu mendengar segala kata-kata Dato Mazwan itu.
“Biar aku saja yang bawakkan untuk cucu aku.”
Kata Dato Ahmad yang sakit hati mendengar kata-kata anaknya yang semakin banyak berubah sejak kedatangan Sofia ke kediaman mereka itu. Bibik yang tidak berani naik ke bilik Manja itu menghulurkan dulang yang mengandungi hidangan makan malam untuk Manja itu kepada Dato Ahmad.
Setibanya Dato Ahmad ke bilik Manja, dia terkejut mendengar sayup-sayup suara tangisan perempuan di dalam bilik yang agak terasing dari ruang utama villa itu. Dato Ahmad mencari-cari suara tangisan itu dan akhirnya membawa dia ke ruang beranda bilik Manja itu.
Lelaki itu terkejut melihat cucu kesayangannya itu menangis teresak-esak di beranda biliknya yang sejuk dan gelap itu. Dato Ahmad berlutut mengadap Manja lalu mengusap lembut rambut Manja.
“Atuk, ayah tak sayangkan Manja lagi.”
Kata Manja sambil memeluk datuknya sambil menangis teresak-esak. Sayu dan pilu hati tua Dato Ahmad tatkala mendengar rintihan hati cucunya itu. Kenapa semua nasib malang harus menimpa cucunya itu dan kenapa dia harus menanggungnya seorang diri. Tanpa disedarinya air mata tuanya turut membasahi pipinya yang sudah banyak berkedut itu.
Dalam hatinya tidak putus-putus dia menyumpah Sofia, gadis yang banyak bersalah kepada keluarganya, dia sendiri tidak pasti bilakah semua ini harus berhenti dan siapakah yang boleh menyelamatkan keluarganya dari terus diracuni oleh bisa seorang pendendam.
Selepas kejadian pergaduhan antara Hisyam dan Faris, Manja mula menjauhkan diri dari kedua-duanya. Dengan Faris begitu mudah untuk Manja mengelak tetapi dengan Hisyam begitu sukar kerana dia banyak berkerjasama dengan lelaki itu dalam mengendalikan tugas sehariannya di syarikat yang luas itu.
Ketika makan tengah hari, Manja seperti biasa akan makan di kantin pekerja cuma yang berbeza sejak beberapa hari yang lalu Manja makan seorang diri dan tidak lagi bersama Hisyam.
Dibibir pekerja-pekerja tak lekang dari bercakap mengenai kisah pasangan yang sering menjauhkan diri ini. Mereka bukan gembira dengan perubahan ini tetapi turut bersimpati dengan nasib yang menimpa pasangan itu.
Dengan pantas berita tentang pertunangan yang bakal berlangsung antara Hisyam dan Salma menjadi perbualan hangat pekerja-pekerja Syarikat Sri Manja Berhad. Kebanyakan mereka tidak bersetuju dengan pertunangan yang bakal berlangsung itu termasuklah Hisyam sendiri yang tidak bersetuju dengan rancangan ibunya itu.
“Manja, kenapa dengan awak ni?”
Hisyam menyoal Manja tatkala gadis itu cuba melarikan diri darinya. Gadis itu tidak mahu bercakap banyak sebaliknya bergegas meninggalkan Hisyam tanpa sebarang jawapan untuk pertanyaan itu.
Hisyam hanya memandang Manja sambil tersenyum. Kini dia semakin yakin Manja juga berperasaan sepertinya, kalau tidak masakan gadis itu seolah-olah merajuk setelah mendengar khabar-khabar angin itu.
“Manja, itu semua khabar angin saja, takkan saya nak bertunang dengan perempuan yang seusia dengan mak saudara saya tu.”
Pujuk Hisyam lagi sambil menghalang laluan Manja yang ingin keluar dari kantin itu. Manja menolak tangan Hisyam yang menghalang laluannya itu sambil berkata.
“Kalau dah mak awak sendiri yang beritahu, itu bukan khabar angin lagi.”
Terkejut besar Hisyam mendengarnya. Khabar angin yang disangkanya datang dari mulut-mulut orang yang ingin menghalang hubungannya dengan Manja itu adalah dari mulut ibunya sendiri.
Manja terus menghilang di sebalik celahan pokok-pokok yang menjadi laluan hariannya setiap kali dia pulang dari kantin di syarikatnya itu. Hisyam terus mengekorinya untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya tetapi tidak sempat akibat terkejut dengan kata-kata Manja itu dia kaku sebentar.
Manja berdiri di belakang sebatang pohon yang rendang sambil menangis semahu-mahunya. Dia tidak boleh menangis di hadapan Hisyam kerana dia tidak mahu menunjukkan kelemahannya.
Tiba-tiba bahunya ditepuk oleh seseorang yang datang dari arah belakangnya. Manja yang terkejut dengan perbuatan itu segera berpaling ke arah tangan yang memegang bahunya dengan perlahan itu.
Alangkah terkejut bercampur gembira gadis itu tatkala melihat orang yang ditunggu-tunggu kehadirannya itu muncul di hadapannya itu. Tanpa membuang masa lagi, Manja terus memeluk lelaki yang berpakaian segak dengan sut putih yang berdiri di hadapannya itu. Pada masa itu juga tangisan Manja semakin kuat. Lelaki yang banyak menghulurkan budi kepada gadis kudung itu membiarkan sahaja Manja membasahkan sutnya yang mahal itu.
Kebetulan pada masa yang sama Hisyam terlihat adegan yang tidak diingininya itu. Hancur luluh hatinya apabila memandang perbuatan Manja itu. Alangkah kecewanya hatinya melihat Manja berpelukan dengan insan lain sedangkan dia yang sepatutnya berada di tempat lelaki itu pada masa itu.
No comments:
Post a Comment