Monday, March 23, 2009

musim cinta 2-3

BAB 2

Manja merenung jauh ke tengah tasik buatan yang mengadap biliknya di tingkat bawah Villa Sri Manja itu. Cahaya bulan terang menerangi tasik itu dan kawasan di sekitarnya. Pandangannya dialihkan pula ke arah telefon bimbitnya yang diletakkan bersebelahan dengannya.
Manja tersenyum sendiri memandang telefon bimbitnya yang kaku, kemudian memandang semula ke arah tasik yang sejuk mata memandang itu. Jika di London dahulu, Faris akan menelefonnya, mengucapkan selamat malam padanya sebelum tidur. Perkara itu telah menjadi rutin hariannya tetapi kini semua itu tiada lagi. Itu semua bagaikan mimpi indah dalam hidupnya.
“Hai, jauh termenung.”
Teguran Munir itu sedikit mengejutkan Manja dari lamunannya.
“Eh, abang. Duduklah.”
Kata Manja mempelawa abangnya duduk di sebelahnya, di atas bangku kayu yang diletakkan di sebelah luar biliknya.
“Menung jauh nampak, rindukan London ke?”
Usik Munir. Manja hanya tersenyum dengan usikan abangnya itu. Bukan London yang dirinduinya tetapi memori di London itu tidak dapat dilupakannya.
Keadaan kembali sunyi, masing-masing terus hanyut menikmati keindahan malam itu. Sesekali kelihatan kelawar melintasi tasik buatan yang tenang itu.
“Eh, pakai stokin?”
Soal Munir, kehairanan melihat kaki Manja itu.
“Dah biasa.”
Jawab Manja selamba. Munir hanya tersenyum dengan jawapan adiknya itu. Ada betulnya juga, kalau dah menjadi tabiat memang payah untuk berhenti.

Pintu bilik dikunci dan segala langsir yang terbuka sebentar tadi di tutup rapi. Manja mengambil tempat di atas katilnya dan segera membuka kaki palsunya pada sebelah kanan kakinya.
Wajahnya sedikit berkerut menahan sakit kerana melecet akibat memakai kaki palsu itu. Hari ini adalah hari pertamanya memakai kaki itu sejak dia mendapat kemalangan ketika di London sebulan yang lalu.
Puas Abdul memujuknya agar belajar dahulu menggunakan kaki palsu itu tetapi Manja enggan dan hanya belajar memakainya selama sejam sebelum berlepas ke Malaysia.
Tanpa menjalani sebarang latihan yang khusus, Manja terus memakainya dengan harapan keluarganya tidak perasan dengan perubahan dirinya itu. Kaki palsu itu dibuka lalu diletakkan di birai kepala katilnya. Manja menggapai topang ketiak yang diletaknya di bawah katilnya itu lalu berjalan menggunakan benda itu menuju ke bilik air.
Selepas membersihkan kaki kudungnya yang melecet itu, Manja terus menyapu ubat dan membalutnya tepat seperti arahan Abdul kepadanya sebelum dia berangkat pulang ke tanah air. Abdul adalah doktor peribadinya merangkap abang angkatnya.
Cahaya lampu biliknya dimalapkan. Manja mula mengambil tempat untuk tidur. Daripada berbaring dalam keadaan lurus, badannya dipusingkan ke kiri kemudiannya ke kanan pula. Sukar betul untuknya melelapkan mata pada malam pertama itu.
“Ah….”
Manja menjerit kebosanan. Alat kawalan radio cakera padatnya dicapai lalu di pasangnya lagu pada cakera padat yang telah diletakkan di dalam pemainnya. Lagu tema dari filem hindi ‘Khabie Khusi Khabie Gham’ mula berkumandang memecah sunyi di dalam biliknya yang luas itu dan kalis bunyi itu.
Lagu yang dipasang sederhana kuat itu serba sedikit dapat membuai Manja. Lama-kelamaan gadis berkulit cerah itu mula terlena diulik oleh lagu-lagu sentimental dan romantik kegemarannya itu.

Tombol pintu kristal berwarna ungu pada pintu bilik Manja dipulas perlahan oleh Munir. Lelaki itu sebelum ini telah pun mengetuk pintu bilik itu beberapa kali, namun tiada jawapan. Ingin sekali dia memastikan sama ada adiknya sudah tidur atau pun belum.
Dilihatnya adiknya sedang mengiring ke kanan membelakanginya, mungkin telah terlena, tekanya. Munir menghampiri adiknya itu sambil memanggil-manggil nama adiknya beberapa kali tetapi tidak terjawab. Sah sudah terlena.
Munir menyelimutkan adiknya lalu satu ciuman kasih seorang abang hinggap lembut di dahi Manja. Lelaki berbadan tegap itu kemudiannya menghampiri pemain cakera padat yang masih berbunyi itu lalu menutupnya. Lelaki itu segera melangkah keluar dari bilik adiknya kerana tidak mahu menganggu adiknya yang sedang tidur itu.
Kaki palsu yang terletak di birai kepala katil di sebelah kanan Manja itu terlepas pandang oleh Munir. Nasib Manja baik kerana rahsianya belum lagi diketahui oleh sesiapapun di dalam rumahnya itu buat masa sekarang.













BAB 3

Seawal pagi selepas menunaikan solat subuh, Manja keluar dari biliknya dan terus menuju ke dapur untuk menikmati jus epal sebelum keluar dari villa untuk melepaskan rindunya pada kuda kesayangannya itu.
“Good morning, nenek.”
Manja mencium pipi Mak Som ketika mereka bertembung di pintu masuk ke dapur villa itu. Mak Som tersenyum dengan ucapan Manja dalam bahasa inggeris itu, walaupun dia tidak faham banyak tentang bahasa inggeris itu tetapi sekadar ucapan selamat begitu dia cukup faham.
“Nak ke mana tu?”
Soal Mak Som separuh menjerit kepada Manja yang telah pun berada agak jauh dari Mak Som itu.
“KK”
Jawabnya ringkas. Mak Som yang faham itu terus beredar ke dapur.
“KK? Ke mana tu puan?”
Soal pembantu Indonesia keluarga itu.
“Kandang kudalah, mana lagi.”
Pembantu Indonesia yang lebih mesra dipanggil Bibik itu ketawa apabila mendengarnya. Inilah pertama kali dia mendengar perkataan itu, tidak seperti Mak Som yang sudah lali dengan perkataan-perkataan singkatan dari Manja itu.
Langkah Manja yang sumbang itu hanya diperhatikan Mak Som penuh dengan tanda tanya, namun sedikit pun tidak terlintas di hati tua wanita itu untuk bertanya dengan lebih lanjut kepada Manja.
Masa terus berlalu, matahari pagi mula menyinar menerangi sekitar kawasan Villa Sri Manja yang luas terbentang itu. Bunga-bunga mula berkembang memeriahkan alam semulajadi. Kicauan burung pula menambahkan keharmonian di pagi itu.
Jam menunjukkan hampir sepuluh minit lagi untuk mencapai tepat jam 8.00 pagi, Dato Mazwan, Dato Ahmad dan Munir telah pun mengambil tempat masing-masing untuk bersarapan pada pagi itu.
“Mana Manja, masih tidur lagi ke?”
Soal Dato Mazwan.
“Biarlah adik tidur lama sikit, mungkin dia penat tu.”
“Betul tu.”
Dato Ahmad menyokong kata-kata Munir. Dato Mazwan hanya mengangguk turut setuju dengan kata-kata itu. Mereka terus bersarapan tanpa Manja pagi itu. mak Som hanya tersenyum mendengar tiga lelaki itu berbual.
Manja tidak pernah berubah, sejak kuda kesayangannya itu dilahirkan oleh Browny, Manja seperti mendapat rakan baru. Dia tidak lagi bersendirian di villa itu dan kebanyakan masa lapangnya dihabiskan bersama Silver.
“Silver, sampai bila Silver nak tunduk macam ni.”
Leter Manja sendirian sambil menggosok belakang Silver yang telah pun menundukkan badannya bagi memudahkan Manja turun. Sesekali angin pagi membelai lembut rambutnya yang panjang mengurai hingga melepasi paras bahu itu.
“Ok, kali ni Manja nak naik sendiri, Silver jangan bergerak tau. Nanti jatuh pulak.”
Pesan Manja sebelum naik ke atas badan Silver. Kebiasaannya Manja akan memijak pelana dengan menggunakan kaki kanannya, sekarang dia terpaksa belajar menggunakan kaki kirinya. Walaupun kakinya itu kudung, ia tidak menghalang keinginan gadis itu untuk menunggang kuda kesayangannya itu.
Kaki kirinya memijak pelana dengan berhati-hati, tekanan yang kuat membolehkan Manja melompat untuk naik ke atas badan Silver, walaupun kaki kanannya tidak boleh membengkok melebihi 30°, dia memaksa juga kakinya supaya kaki kanannya boleh memijak pelana yang berada disebelah kanan pula.
Manja berjaya melangkah dengan menggunakan kaki kanannya, malangnya langkahnya terlampau laju hingga membuatkan dia tergelongsor lalu jatuh tergolek. Silver yang panik cuba mengejar dan menyekat Manja dari tergolek lebih jauh.
Hilai tawa Manja membuatkan binatang yang cukup memahaminya itu mengundur supaya tuannya itu boleh bangun dengan sendirinya. Ketika Manja cuba bangun, tiba-tiba kaki kanannya itu tersentuh seekor ular senduk yang sedang menyusur melalui kawasan itu.
Kerana terkejut ular senduk itu terus mematuk kaki kanan Manja. Manja yang terkejut menjerit sekuat-kuat hatinya. Silver yang melihat ular itu segera memijak ular itu beberapa kali. Manja menjerit meminta Silver berhenti tetapi kuda itu tidak berhenti hingga hancur ular itu dipijaknya.
“Relakslah, ular tu patuk kaki nilah.”
Manja menunjukkan kaki palsu yang dipatuk ular yang telah lumat dan mati di pijak Silver itu.
Manja ketawa dengan perbuatan kuda kesayangannya itu. Silver pula berdengus beberapa kali seperti turut ketawa bersama tuannya. Tatkala waktu pagi semakin meninggi. Manja mengambil keputusan untuk pulang ke rumahnya selepas puas bermain dengan kuda kesayangannya itu.
“Nenek…nenek….”
Setibanya di villa, Manja memanggil Mak Som beberapa kali tetapi tiada balasan dari Mak Som. Setahunya hanya wanita itu sahaja yang berada di villa pada masa-masa begini.
Suasana di ruang tamu dan ruang rehat sunyi lagi sepi, tiupan angin sesekali menggerakkan hiasan besi yang digantung di ruang rehat yang mengadap kolam air terjun buatan yang direka khas sehingga mengeluarkan bunyi-bunyi yang gemersik.
Keadaan yang sunyi itu memaksa Manja terus masuk ke biliknya untuk membersihkan diri sebelum ke dapur untuk mencari sarapannya memandangkan perutnya yang telah berbunyi itu.
Manja hairan melihat pintu biliknya tidak ditutup rapat, seingatnya dia telah menutup pintu itu dengan rapat sebelum keluar pagi tadi. Manja menolak daun pintu itu dengan perlahan-lahan diikuti dengan debaran jantungnya yang semakin kencang. Takut juga kalau-kalau pencuri masuk ke biliknya itu.
Langkahnya segera dimatikan apabila melihat kelibat Mak Som yang membelakanginya. Di atas katilnya terdapat topang ketiak yang sering digunakannya bersama ubat-ubatan yang dibekalkan oleh Abdul kepadanya sebelum berangkat pulang ke Malaysia.
“Nenek, nenek buat apa dalam bilik ni?”
Soal Manja dengan nada yang perlahan sambil berjalan perlahan menghampiri Mak Som. Debarnya semakin kencang, dia dapat jangkakan rahsianya sudah terbongkar.
“Kenapa? Nenek tak boleh masuk ke bilik cucu nenek?”
Suara Mak Som yang terketar-ketar itu membuatkan hancur luluh hati Manja mendengarnya.
“Bukan…bukan macam tu.”
Kata Manja lagi sambil memeluk erat neneknya yang sedikit pun tidak memandangnya.
“Apa…apa semuanya ni?”
Soal Mak Som sambil memandang tepat mata Manja. Mata tuanya telah pun basah dengan linangan air mata. Saya hati Manja melihat neneknya bersedih, dia tidak tahan lagi untuk terus berahsia lagi dengan neneknya. Manja menyelak seluar panjangnya dibahagian kanan hingga ke paras lutut.
Terbeliak mata Mak Som melihat kecacatan pada kaki Manja itu. Dia menyoal Manja bertubi-tubi, bagaimana perkara itu boleh berlaku, kenapa dia merahsiakannya dari pengetahuan keluarganya dan kenapa perlu dia melaluinya semua ini bersendirian.

Malam itu sepatutnya merupakan malam terakhir Manja di London. Selepas makan malam bersama Faris, lelaki itu terus menghantarnya pulang ke asrama. Faris menurunnya di seberang jalan di hadapan pintu asramanya.
Manja melintas selepas Faris hilang dari pandangannya. Lintasannya cukup berhati-hati, setelah memastikan tiada kenderaan yang melalui jalan itu, Manja terus melintas.
Malang tidak berbau ketika Manja berada di tengah jalan, dalam keadaan yang gelap itu muncul sebuah kereta yang dipandu dengan laju terus melanggarnya dan melarikan diri. Kebetulan pada masa itu seorang orang awam yang melihat kejadian itu terus menelefon ambulans dan melaporkan kejadian itu kepada polis.
Walaupun keadaan pada masa itu gelap kerana tiada cahaya lampu jalan, pemuda yang prihatin itu sempat mengecam nombor pendaftaran kereta itu dan melaporkannya kepada polis.
Manja memberitahu Mak Som akibat kemalangan itu dia kehilangan kaki kanannya. Hanya Abdul yang mengetahui semua ini dan dia meminta agar merahsiakannya dari atuk, ayah dan abangnya.
“Manja tak nak mereka risaukan Manja.”
Bukan kerana risau niat utama Manja merahsiakan dari pengetahuan keluarganya yang kebanyakannya terdiri dari lelaki itu.
“Lambat laun mereka akan tahu jugak, kan?”
Soal Mak Som yang tidak sanggup melihat cucunya itu menanggung semua itu sendirian.
“Please…nenek…”
Rayu Manja. Mak Som akur dengan permintaan cucu tirinya itu tetapi dia yakin bukan risau yang menjadi perkara utama Manja tidak mahu keluarganya tahu tentang kecacatannya itu.

No comments: