Tuesday, March 24, 2009

musim cinta 16-17

BAB 16

Daun pintu yang berbentuk separuh bulat ditarik perlahan. Gadis yang mengenakan baju bertali halus dan dipadankan dengan jeans hitam itu merenung anak-anak tangga kecil lagi sempit yang menuju terus ke bilik Manja di tingkat tiga villa itu.
Tirai kristal berwarna merah jambu dan ungu yang digantung di muka pintu masuk bilik itu membezakan ruang bilik Manja dengan anak-anak tangga itu berkelip-kelip tatkala dipancar cahaya matahari pagi.
Kaki gadis yang mengenakan gelang kaki berloceng banyak itu turut bernyanyi riang tatkala kakinya melangkah menghayati ketenangan bilik yang agak kecil berbanding dengan bilik yang didiaminya di tingkat bawah.
Mata gadis itu khuyuk memerhatikan kristal-kristal kecil yang bergantungan dan berlaga sesama sendiri serta menghasilkan bunyi yang nyaring tatkala ditiup bayu pagi.
“Ah, perempuan tak tahu malu rupanya.”
Sapaan Manja yang baru keluar dari bilik mandi itu mengejutkan Sofia yang hampir terduduk di atas sofa panjang di dalam bilik kecil tetapi indah itu. Sofia yang agak tergamam itu tidak mampu berkata apa-apa sebaliknya cepat-cepat berdiri.
“Kau nak apa datang ni?”
Soal Manja yang kurang senang dengan kehadiran Sofia itu.
“Aku nak kau keluar dari villa ni. Forever.”
Sofia terus berterus terang dan nadanya begitu tegas dan berani. Manja memandang Sofia tajam, agak terkejut dengan kata-kata berani gadis seksi itu kemudian ketawa dengan tiba-tiba.
“Wah, beraninya tapi tak tahu malu. Sepatutnya kau sedar diri, kamu yang sepatutnya berambus dari sini, dari hidup aku.”
Marah Manja bertubi-tubi. Manja tidak mahu bertengkar lama dengan perempuan itu lagi kerana itu akan membuatkan hatinya bertambah sakit. Manja menggapai beg bimbitnya lalu bergegas turun dari biliknya.
“Hei, aku tak kira aku nak kau keluar juga dari sini, kalau tak aku akan bongkarkan rahsia kau. Biar semua orang tahu.”
Kata Sofia separuh menjerit dan dengan begitu pantas sekali tangannya menolak Manja hingga jatuh tergolek gadis itu membilang anak tangga hingga terus ke bawah dan seterusnya keluar dari pintu utama bilik itu.
Bibik yang kebetulan melalui koridor di hadapan bilik Manja itu terkejut melihat Manja yang terbaring di atas lantai marmar jalan laluan itu sambil menjerit sekuat-kuat hatinya.
“Bik, tolong… aduh sakitnya.”
Bibik membantu Manja berdiri sambil merenung Sofia yang masih berdiri di muka pintu bilik Manja itu. Bibik yakin Sofia yang menolak tuannya itu hingga jatuh walaupun tidak diberitahu oleh sesiapapun kerana dia tahu permusuhan Sofia dan tuannya itu.
“Ya Allah, cucu aku.”
Mak Som turut menjerit melihat Manja yang dipangku Bibik itu bergegas mendapat-kan cucunya. Dato Ahmad, Dato Mazwan dan Munir bergegas mendapatkan Bibik setelah terkejut mendengar suara wanita itu yang menjerit seperti ternampak hantu.
“Macam mana boleh jatuh ni?”
Soal Dato Mazwan sejurus tiba di hadapan anak dan bakal menantunya itu.
“Perempuan tu yang tolak Manja.”
Manja mengadu sambil mengusap lembut pinggulnya yang sakit itu.
“Manja jangan tuduh Pia macam tu. Pia tak buatlah.”
Kata Sofia dengan lembutnya, berbeza sekali dengan percakapannya bersama Manja sebentar tadi. Manja menjeling ke arah gadis itu, pandai betul dia berpura-pura.
“Habis tu takkan hantu pulak tolak aku.”
Kata Manja sambil berjalan terhincut-hincut menghampiri Sofia.
“Dah kamu tu cuai, janganlah nak tuduh orang pulak.”
Marah Munir sambil menghalang Manja mendekati tunangnya.
“Pia tak buat…tak buat…”
Kata Sofia dan segera beredar dari situ. Dia sebenarnya agak gentar melihat wajah Dato Mazwan yang agak bengis itu. Fikirnya jika dia lebih lama lagi dia berada di situ mungkin rahsia perbuatannya itu akan terbongkar. Munir mengekori gadis itu memujuk-nya dan percaya Sofia tidak akan berbuat demikian kepada Manja kerana baginya tiada sebab untuk tunangnya itu berbuat demikian kepada adiknya itu.
“Manja, kamu ni dah melampau. Kamu tu yang cuai kenapa kamu nak tuduh-tuduh orang lain pulak. Kamu ni manja sangat semakin lama semakin kurang ajar, tak hormat tetamu langsung.”
Satu pakej yang lengkap untuk Manja diberikan dari ayahnya. Manja yang kecewa dengan sikap ayah dan abangnya beredar dari situ dengan linangan air mata. Sakitnya ditahan kerana tidak terdaya lagi untuk berdepan dengan ayahnya yang terlalu agung-agungkan tetamu yang tidak sepatutnya berada di situ.
“Puan, Cik Sofia yang tolak dia, Cik Manja mana mungkin boleh jatuh sendiri.”
Bisik Bibik dan Mak Som bersetuju dengan kata-kata itu. Dato Ahmad yang ter-dengarnya agak hairan dengan kelakuan dua wanita itu. macam tengah bergosip sesuatu.
“Mazwan ni semua salah kamu.”
Marah Dato Ahmad. Dia percaya pada cucunya itu dan dia tahu Manja tidak akan melawan ayahnya walaupun dia tahu dia di pihak yang benar.
“Ayah manja sangat budak tu, dia tipu pun ayah percaya.”
“Aku lebih percayakan ahli keluarga aku dari orang luar. Bila kau tahu hal yang sebenarnya kau juga akan menyesal.”
Marah Dato Ahmad seraya meninggalkan Dato Mazwan keseorangan memikirkan apa yang dikatakannya itu. Biarkan otak tu berfikir sikit. Dah berkarat sangat kerana setiap hari disirami dengan hasutan Sofia tu.

Di bawah pohon ru di padang ragut yang luas terbentang itu, Manja menangis semahu-mahunya dengan ditemani kuda kesayangannya. Angin pagi yang bertiup lembut sesekali membelainya seolah-olah memujuknya supaya berhenti dari terus menangis.
Kebetulan Hisyam melalui kawasan itu melihat Manja yang sedang menangis sambil menerkup wajahnya dengan kedua-dua belah tangannya. Esakannya menggamit Hisyam menuju ke arahnya. Hisyam segera mendekati gadis itu kerana bukan tabiat Manja berada di situ seawal pagi begitu.
“Manja…Eh, kenapa ni?”
Hisyam yang terkejut melihat Manja menangis teresak-esak itu segera duduk di sisi gadis itu dengan harapan Manja akan berkongsi perasaannya. Dengan tidak semena-mena kepala Manja terlentok di bahu Hisyam dan dia mula meluahkan beban dihatinya.
Hisyam semakin terkejut mendengar berita itu. Rupa-rupanya Manja sedang menghadapi bahaya di dalam rumahnya sendiri. Orang yang menyebabkan dia cacat seumur hidupnya rupa-rupanya berada di dalam rumahnya untuk meneruskan dendamnya yang masih belum tercapai.
“Kenapa Manja tak ceritakan kepada keluarga Manja tentang Sofia.”
“Manja tak nak mereka tahu tentang kecacatan Manja.”
Kata Manja seraya cuba berdiri. Hisyam yang melihat Manja begitu sukar untuk bangun segera membantu gadis itu berdiri. Hisyam menemani Manja hingga ke pejabat utama. Lelaki itu ingin memastikan Manja tidak menghadapi sebarang kesulitan untuk sampai ke pejabatnya.
Dia tidak mahu bertanya lebih lanjut kenapa Manja merahsiakan perkara sebesar itu dari pengetahuan keluarganya sedangkan perkara itu harus dijelaskan dengan terperinci agar tiada salah faham akan berlaku.
“Lambat! Ini last, lain kali ayah tak nak tengok lagi kamu datang lambat lagi. Kamu ni nak bekerja ke tak?”
Marah Dato Mazwan dengan lantangnya tanpa memikirkan maruah anaknya di hadapan pekerja-pekerjanya yang turut terkejut dengan kelantangan itu.
“Ikut ayah, ayah nak kenalkan kamu kepada seseorang.”
Arah Dato Mazwan dengan kelantangannya masih sama. Dengan penuh linangan air mata anak bongsu dari dua beradik itu membontoti ayahnya. Langkahnya yang sumbang itu dimatikan apabila memasuki bilik mesyuarat yang menempatkan tetamu terhormat syarikatnya itu.
“Ini ayah kenalkan Encik Faris, pengarah urusan Syarikat Damai Bina yang merupakan syarikat yang terbesar melanggan produk-produk perabot kita.”
Nama yang tidak ingin didengari itu akhirnya terngiang jua ditelinganya. Jantungnya berdebar-debar tatkala memandang wajah lelaki yang baru diperkenalkan oleh ayahnya itu. Kini dua nama yang sering menghantui hidupnya itu kembali dalam hidupnya lagi untuk menyingkap kenangan silam yang sering kali ingin dilupakannya. Huh! Bilalah semua ini akan berakhir. Manja mengeluh tatkala memandang wajah Faris.
“Manja tahu, dia ni belajar sama kat kolej Manja. Manja kenal dia?”
Soal ayahnya, kali ini nadanya agak mendatar dan perlahan dari tadi. Manja menggelengkan kepala menandakan dia tidak mengenali lelaki itu, walhal dia amat-amat mengenali lelaki yang berdiri di hadapannya itu.
“Kolej tu besar Dato, mungkin kami tak pernah bertembung.”
Celah Faris yang cuba berselindung setelah Manja mengaku tidak mengenalinya. Manja bergegas keluar dari bilik mesyuarat itu setelah berkenalan dengan Faris atas arahan ayahnya.
Tatkala tiba di muka pintu bilik mesyuarat itu, tiba-tiba dirasakan langkahnya begitu lemah, pandangannya mula kabur dan keadaan di sekelilingnya juga mula dirasakan berpusing-pusing.
Sementara itu di ladang Hisyam sedang berbincang dengan Dato Ahmad tentang projek mereka yang terbaru. Idea untuk menternak ikan air tawar dan mengkormesial-kannya dikeluarkan oleh Hisyam. Dato Ahmad yang setuju dengan kertas kerja yang di-tunjukan oleh Hisyam itu pula meenyediakan modalnya. Segala urusan dari mula kolam ikan itu dibina hinggalah ia mula diusahakan semuanya diuruskan oleh Hisyam atas arahan Dato Ahmad.
“Dato saya tengok Manja tu tak sihat je hari ni.”
Dato Ahmad tersenyum dengan luahan kerisauan Hisyam itu. Ada juga orang mengambil berat tentang cucunya yang sorang tu.
“Pagi tadi Sofia tolak dia dari tangga biliknya, lepas tu tak nak mengaku pulak.”
“Kena bawak dia segera ke hospital tu, Dato.”
Kata Hisyam yang sedia maklum tentang kecacatan dan kesakitan Manja yang lampau itu. Dato Ahmad hanya tersenyum, sangkanya Hisyam hanya bergurau dengan kata-katanya itu. Selang beberapa saat mereka berbual, tiba-tiba Dato Ahmad mendapat panggilan dari isterinya yang mengatakan Manja telah dimasukkan ke hospital kerana pengsan di pejabatnya. Dato Ahmad mengheret tangan Hisyam meminta agar lelaki itu mengikutnya ke hospital.











BAB 17

Manja terus dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan lanjut. Dato Mazwan dan Munir pulang setelah menyelesaikan segala urusan Manja di hospital itu. Hisyam, Dato Ahmad dan Mak Som masih setia menunggu Manja sedar dari pengsannya dan tidak berganjak pun dari wad individu itu.
“Dato dan datin pulanglah dulu, biar Syam yang temankan Manja di sini.”
Hisyam yang kasihan melihat pasangan yang berusia melebihi separuh abad itu menasihati mereka. Mak Som bersetuju dengan cadangan Hisyam itu tetapi Dato Ahmad tidak berkata apa-apa dan hanya memegang erat tangan cucunya dengan harapan agar cucunya itu segera membuka matanya.
“Dato, Syam janji. Syam tak akan tinggalkan Manja sendirian.”
Pujuk Hisyam lagi setelah melihat tida respons dari Dato Ahmad.
“Tapi bila dia buka mata nanti, kami tak ada di sisi dia. Dia tentu susah hati. Nanti dia fikir yang bukan-bukan.”
Kata Dato Ahmad dengan nada yang tersekat-sekat. Mak Som mengusap lembut belakang suaminya itu agar bersabar dengan dugaan yang mereka hadapi sekarang ini. Sebak melihat kesedihan suaminya yang tak tertanggung itu.
“Syam janji bila Manja buka mata saja, Syam akan terus maklumkan pada Dato.”
Keyakinan yang ditunjukkan oleh Hisyam itu membuatkan Dato Ahmad mengalah dan pulang bersama isterinya.

Dari pagi membawa ke petang, Hisyam masih setia menunggu Manja yang terlantar kaku. Makanan tengah hari yang dibawa oleh Mak Som tidak dijamahnya. Seleranya turut hilang bersama penantiannya yang sabar dan tenang.
Sementara itu Sofia berpura-pura seperti orang bersalah menyalahkan diri sendiri kerana tidak menghalang Manja dari terus jatuh dan Munir pula menjalankan peranannya dengan memujuk Sofia dengan mengatakan kemalangan itu bukan salahnya.
Munir tanpa bertanya banyak kepada Sofia terus menyalahkan Manja kerana kecuaiannya membabitkan orang lain. Di dalam hatinya Sofia begitu gembira kerana dia berjaya memerangkap Munir untuk terus mempercayainya.
Menjelang malam, berita yang ditunggu-tunggu oleh Dato Ahmad dari Hisyam masih belum tiba. Lelaki itu terus bermundar-mandir di dalam biliknya. Mak Som yang sedia resah bertambah resah melihat suaminya yang tidak senang duduk itu.
“Abang, duduklah.”
Pinta Mak Som dengan nada yang tenang sambil menarik tangan suaminya agar duduk sambil bertenang.
“Macam mana abang tak resah, seumur hidup Manja, dia tak pernah sakit teruk. Abang masih ingat lagi masa dia kecik-kecik dulu kena gigit dengan semut api pun dia boleh demam.”
Resah Dato Ahmad semakin menjadi-jadi, tanpa disedarinya air mata tuanya mula membasahi pipinya yang sudah banyak berkedut. Mak Som sekali lagi mengusap lembut belakang suaminya agar terus bersabar dengan takdir Ilahi itu.
“Abang, kalau Manja tu lumpuh, abang masih sayangkan dia tak?”
Soalan Mak Som itu agak mengejutkan Dato Ahmad. Lelaki itu memandang tepat ke arah wajah isterinya menantikan penerangan sejelas-jelasnya. Mak Som yang tidak sampai hati lagi untuk terus berahsia dari pengetahuan suaminya mula menceritakan tentang kemalangan yang hampir meragut nyawa cucu mereka ketika Manja menetap di London.
Sekali lagi air mata Dato Ahmad mengalir air mata sederas-derasnya. Lelaki tua itu tidak menyangka bahawa cucunya itu akan berfikiran demikian hanya kerana dia pernah dikecewakan oleh seorang lelaki.
Tanpa membuang masa lagi Dato Ahmad terus bergegas membawa isterinya ke hospital sebelum Manja tersedar. Dia tidak mahu cucunya akan beranggapan bahawa keluarganya yang kebanyakannya terdiri dari lelaki itu juga sama dengan lelaki yang pernah mengecewakannya dahulu. Dato Ahmad mahu Manja yakin bahawa dia tidak diabaikan dan kasih sayang seorang datuk tidak akan berkurangan walaupun dia cacat seumur hidupnya.
Sementara itu pula di hospital, Manja mula sedar dari pengsan yang hampir membawa dia menjadi koma jika dia masih tidak sedar hingga esok pagi. Matanya dibuka perlahan-lahan, gadis itu agak terkejut melihat keadaan di sekelilingnya yang agak suram dan sunyi itu.
Sekali lagi dia terkejut melihat Hisyam berada di sisinya dalam keadaan terlena dengan berbantalkan lengan. Manja cuba bangun tetapi pinggangnya masih sakit, suara Manja yang mengerang kesakitan itu mengejutkan Hisyam dan lelaki itu bingkas bangun.
“Maaf, Manja kejutkan Syam.”
Getar suara Manja itu menyedarkan Hisyam yang masih mamai. Hisyam menggosok matanya sambil melemparkan sekuntum senyuman kepada Manja.
“Syukurlah Manja dah sedar.”
Lelaki itu segera membantu Manja yang ingin duduk bersandar itu.
“Manja rehat dulu, Syam nak telefon Dato, nak maklumkan…”
Belum pun Hisyam habis bercakap, pintu bilik wad individu itu terus ditolak perlahan oleh Dato Ahmad yang datang bersama Mak Som. Manja terus menghulurkan tangan untuk memeluk Mak Som dan Dato Ahmad. Gadis berambut lurus itu begitu gembira dengan kedatangan datuk dan neneknya.
“Dato, saya baru nak telefon. Manja baru sedar.”
Kata Hisyam yang takut Dato Ahmad akan salah faham dengannya. Lelaki tua yang gembira melihat cucunya sedar itu hanya mengangguk sambil memeluk erat cucu kesayangannya itu.
Dato Ahmad mengizinkan Hisyam pulang memandangkan dia dan isterinya berada di situ untuk menemani cucunya pula. Tetapi Manja pula tidak mengizin datuk dan neneknya berda di hospital itu untuk menemaninya dengan alasan dia mahu berehat dan dia boleh berada di wad yang sunyi itu seorang dirinya.
“Atuk tahu segala-galanya.”
Bisik Mak Som apabila Manja memandangnya kehairanan setelah melihat datuknya itu memeluknya seperti Manja baru pulang dahulu. Manja mengangguk tanda faham, dia tidak menyalahkan Mak Som kerana membocorkan rahsianya dan dia tahu lama-kelamaan pasti ahli keluarganya akan tahu juga rahsia dirinya itu.
Malam itu Manja ditinggalkan sendirian atas permintaannya. Gadis itu terbaring di atas katil. Nak turun tidak dibenarkan. Tiba-tiba dia terpandang kelibat manusia berulang-alik di hadapan wadnya. Perasaan takut mula menguasai dirinya. Gadis itu menarik selimutnya menutupi badannya hingga ke mukanya.
Tiba-tiba pintu biliknya dikuak perlahan. Manja melihat menerusi selimutnya yang jarang itu. Dia tahu itu manusia dan dia berdoa agar manusia itu bukan Sofia atau Faris. Seorang lelaki muncul lalu meletakkan sejambak bunga di atas meja di sebelah Manja.
“Manja, supaya cepat sembuh...”
Bisik lelaki itu ke telinga Manja yang berpura-pura sedang tidur itu. Manja hairan melihat kemunculan Adam pada waktu malam sebegitu.

Keesokkannya, seawal pagi lagi Dato Ahmad datang melawat Manja bersama isterinya yang setia menemaninya ke mana sahaja yang dipintanya. Mak Som tidak lupa membawa sarapan kegemaran Manja iaitu lempeng kelapa yang dipelajarinya dari orang-orang Terengganu ketika dia melawat negeri itu dahulu.
“Ayah dan abang tak datang sekali?”
Dato Ahmad hanya menggelengkan kepala apabila ditanya oleh cucunya. Dato Mazwan dan Munir tidak bertanya pun mengenai perkembangan Manja sebaliknya dua beranak itu hanya berbual mengenai perniagaan mereka. Entah apalah yang telah menghasut fikiran mereka hinggakan ahli keluarga mereka sendiri pun tidak dihiraukan lagi.
“Tak apalah, atuk dengan nenek kan dah ada sekarang.”
Kata Mak Som yang cuba menghiburkan hati cucunya itu. Manja kecewa dengan ketidak hadiran ayah dan abangnya tetapi dia cukup bersyukur kerana datuknya masih sayangkannya.
Lagipun bagi Manja ayah dan abangnya itu tidak memerlukannya lagi sekarang memandangkan Sofia dah ada di sisi mereka untuk memenuhi impian mereka kelak.
Doktor datang ke wad peribadi itu untuk menerangkan pemeriksaan yang telah dijalankan ke atas Manja semalam. Bahagian pinggul sebelah kanan Manja mengalami keretakan yang semakin serius.
Manja memandang Dato Ahmad tetapi lelaki itu kelihatan begitu tenang mendengarnya. Gadis kudung itu memandang Mak Som pula, wanita itu hanya mengangguk melihat wajah cucunya bagaikan ingin bertanya seribu satu pertanyaan kepadanya itu.
“Atuk…”
Manja memanggil datuknya setelah doktor keluar dari wad itu. Wajah Dato Ahmad kelihatan agak suram. Wajah tuanya yang kedut seribu itu bertambah kedut tatkala dia memaparkan kerisauannya terhadap cucu kesayangannya itu.
“Maafkan Manja sebab tak beritahu atuk.”
Kata Manja sambil menyelak selimut yang menutupi kaki kanannya. Bercucuran air mata lelaki itu tatkala melihat kaki cucunya yang sudah kudung itu. Walaupun dia sudah sedia maklum, lelaki itu tetap tidak tahan melihat penyiksaan yang terpaksa ditanggung Manja sendirian itu. Lelaki itu pantas memeluk cucunya seerat-eratnya.
Walaupun dia sudah mengetahuinya dari isterinya tetapi dia tetap tidak sanggup melihat kaki cucunya yang dahulunya cukup sempurna tetapi kini...
“Manja, atuk tetap sayangkan kamu walau macam mana pun keadaan kamu, nak.”
Kata Dato Ahmad sambil menangis teresak-esak. Mak Som mengusap lembut bahu suami dan cucunya yang masih menangis itu. Manja bersyukur kerana datuknya masih menyayangi dan memerimanya walaupun dia cacat. Tanggapannya pada lelaki mula berubah sejak perubahan itu ditunjukkan oleh Hisyam dan datuknya itu.

“Atuk, nenek...lelaki tu muncul lagi...”
Tersentak Dato Ahmad dan Mak Som mendengarnya. Tiga beranak yang bersembang mengenai bekas teman lelaki Manja itu tidak menyangka yang Faris muncul lagi. Untuk apa, tak siapa yang tahu. Dato Ahmad yakin kemunculannya bukan semata-mata sebagai pelanggan tetapi mempunyai agendanya tersendiri.
“Jangan bimbang, atuk ada. Atuk akan pastikan Faris tak akan ganggu Manja lagi.”
Manja memeluk datuknya. Rasa lega apabila mempunyai teman untuk berkongsi rahsia hati.

Kedatangan Sofia melawat Manja selepas tiga minggu gadis itu dimasukkan ke hospital agak mengejutkannya tetapi dia masih bertindak selamba kerana tidak mahu menunjukkan dia takut dengan gadis seksi yang hanya tua dua tahun darinya itu.
“Kesian aku tengok kau ni, dahlah cacat…dengar-dengar cerita tak boleh jalan lagi dah…”
Kata Sofia dengan nadanya yang memerli itu sambil tangannya meliar meraba kaki kanan Manja yang sememangnya tiada itu. Manja yang geram dengan kata-kata dan perbuatan musuhnya itu dengan pantas menendang gadis itu dengan kaki kirinya yang masih kuat. Sofia jatuh terduduk di atas lantai sambil mengadu kesakitan. Dia segera bangun dan menyapu pakaiannya yang berdebu kerana terjatuh.
“Kalau aku tahu kau macam ni, aku langgar je kau sampai mati.”
Kata Sofia, kali ini nadanya agak keras dan penuh dendam. Tangannya begitu kuat mencengkam lengan Manja sekuat-kuatnya. Hisyam, Mak Som dan Dato Ahmad yang baru tiba terdengar kata-kata Sofia itu lalu mereka bertiga membatalkan niat mereka untuk terus masuk, sebaliknya hanya menunggu di pintu masuk sambil membiarkan pintu itu terbuka sedikit untuk mendengar perbualan Manja dan Sofia.
“Aku tak pernah buat salah dengan kau, tak cukup lagi ke aku dah gugurkan dakwaan ke atas kau tu.”
“Aku tak perlu simpati dari orang seperti kamu, selagi aku tak puas, aku takkan berhenti dari terus mengenakan kamu seumur hidup kamu.”
Kata Sofia sambil menolak-nolak kecil kepala Manja dan gadis itu sedaya-upaya menempis tangan Sofia itu.
“Tuhan takkan biarkan orang yang menganiaya orang selamat selama-lamanya, kau tunggulah hari kau pulak nanti.”
Kata Manja tegas. Dia seboleh-bolehnya mahu Sofia insaf sebelum terlambat.
“Biadap.”
Sofia mengangkat tangannya untuk menampar Manja tetapi belum pun sempat gadis itu menampar Manja, Hisyam bergegas masuk menghalang perbuatannya. Mak Som yang menyusuri langkah Hisyam itu pula yang menampar Sofia hingga merah padam mukanya yang putih gebu itu.
Puas hatinya kerana dapat membalas dendam bagi pihak cucunya. Sofia yang terkejut dengan tindakan drastik Mak Som itu bergegas keluar dari wad peribadi itu secepat mungkin kerana takut kedudukannya akan tergugat kelak.
“Nasib baik dia lari, kalau tak Syam campak je dia keluar.”
Kata-kata Hisyam itu membuatkan Manja tergelak dengan diikuti Dato Ahmad dan Mak Som. Kini rahsia Sofia dalam tangan mereka, bila-bila masa sahaja mereka boleh membantu mengenakan Sofia jika diizinkan Manja.
Munir yang baru selesai meletakkan keretanya bergegas naik ke wad Manja dengan menggunakan tangga. Lelaki itu bertembung dengan tunangnya itu ketika dia hampir memasuki lorong menuju ke wad peribadi yang menempatkan Manja itu.
“Eh, sayang. Jom kita balik.”
Sofia yang terkejut akibat bertembung dengan Munir itu bergegas mengajak tunangnya itu segera meninggalkan hospital itu secepat mungkin. Munir hairan melihat kelakuan tunangnya itu dan kejutannya itu semakin bertambah apabila dia terlihat sebelah pipi Sofia yang masih merah akibat ditampar Mak Som itu.
“Kenapa dengan pipi you ni?”
Soal Munir sambil mengusap lembut pipi Sofia yang masih sakit itu.
“Tak ada apa-apa, jomlah kita balik.”
Ajak gadis itu lagi. Munir hairan kerana sebelum ini Sofia yang beriya-iya mengajak Munir melawat Manja, sekarang tergesa-gesa pula dia mengajak Munir pulang.
“I tak puas hati, jom kita ke wad. I tahu siapa yang buat kat you macam ni.”
Munir menarik tangan Sofia kembali ke wad yang menempatkan adiknya kerana menganggap Manja yang memukul Sofia memandangkan hanya Manja yang tidak menyukai tunangnya itu.
Setibanya di wad individu itu Munir terus menerjah ke arah Manja tanpa menyedari datuk dan neneknya turut berada di situ.
“Manja, apa yang kamu dah buat kat Pia, hah?”
Munir menyoal dengan nadanya yang marah dan meninggi itu.
“Kau tanyalah tunang kau tu, apa masalahnya.”
Suara Dato Ahmad itu mengejutkan Munir hingga memaksa dia mengundur beberapa langkah dan berpaling ke arah datuknya yang selamba duduk di atas sofa di dalam wad itu.
“Atuk.”
Munir bersalam dengan datuk dan neneknya lalu menghampiri tunangnya yang masih berdiri di muka pintu itu. Manja memandang Sofia dengan satu pandangan yang cukup tajam. Hisyam yang berdiri di sisi Manja itu hanya membatu menunggu adegan yang seterusnya berlaku.
“Pia, kau tak ceritakan kat Munir ke?”
Seloroh Mak Som pula. Munir memandang Sofia menunggu jawapan dari tunangnya itu. Manja dan Hisyam berpandangan sesama sendiri dan tersenyum dengan gelagat Sofia seperti seekor ular yang hilang bisanya tatkala berada di dalam genggaman sang helang yang ganas.
“I…I sebenarnya terlanggar dinding…sebab tulah pipi I merah…sakit…”
Kata Sofia tergagap-gagap sambil menggusap lembut pipinya yang masih sakit itu. Munir menghampiri Sofia lalu mengheretnya keluar.
“I tahu you bohong, I nak you cakap benar.”
“Benar, I tak bohong.”
Sofia sedaya upaya menyembunyikan perkara sebenar kerana dia tidak mahu rancangannya akan terhenti setakat itu sahaja. Dia juga tidak mahu kehilangan Munir sebagaimana dia telah kehilangan Faris buat selama-lamanya dahulu. Wanita itu memang mencintai Munir tetapi cara dia menindas Manja memungkinkan yang dia akan kehilangan lelaki itu kelak.
Munir menarik tangan Sofia dan masuk kembali ke dalam wad. Dia masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh tunangnya itu dan akhirnya mengugut Manja.
“Abang tak akan diam, abang akan adukan pada ayah. Biar ayah yang selesaikan perkara ni.”
Kata Munir dengan garangnya.
“Betul tu, atuk pun nak dengar juga apa kata ayah kamu tu nanti.”
Kata Dato Ahmad selamba. Munir yang sakit hati melihat dia dan tunangnya itu diperlakukan demikian segera meninggalkan wad dan hospital itu.
Malamnya di villa, Dato Mazwan dan keluarganya duduk berbincang di ruang rehat kediamannya itu. Tanpa Manja di sisi mereka terus membincangkan bagaimana Sofia mendapat kesan merah di pipinya.
Sofia adalah orang pertama di soal siasat. Seperti biasa jawapannya adalah sama seperti siang tadi. Munir menyangkal jawapan Sofia itu dengan mengatakan ada orang telah menganiaya tunangnya itu.
“Kau fikir tunang kau dianiaya, dia aniaya orang ada kau fikir?”
Soal Dato Ahmad selamba dan tenang. Jantung Sofia mula berdegup kencang, dia takut rahsianya akan terbongkar dan dia akan dihalau malam itu juga. Dato Mazwan memandang Sofia dengan harapan gadis itu akan berterus terang. Gadis itu tertunduk malu kerana gagal untuk bercerita perkara sebenar.
“Kesian budak tu, dah dia kata dia terlanggar dinding. Nak bincang apa lagi…dia takkan bagi alasan lainlah, kalau itu sebabnya dia mendapat kesan kat pipi dia tu. Tak begitu Pia.”
Mak Som berceloteh panjang. Nak tak nak Sofia mengangguk setuju. Setuju bahawa dia terlanggar dinding dan bukan kerana sebab lain. Dato Mazwan akhirnya bersetuju menerima alasan Sofia itu, walaupun Munir tidak percaya dan tidak boleh menerima langsung alasan Sofia itu.

No comments: