BAB 12
“Macam tak percayakan perangai cik Salma tu macam tu sekali.”
Kata Adam seraya mencapai secawan teh lalu diteguknya. Manja mengangguk setuju dengan kata-kata itu. Dia mengambil sebiji gula-gula berjenama 'fox' berwarna merah dari dalam balang yang terletak di atas meja pejabatnya. Plastik pembalut gula-gula itu diletakkan di sebelah cawannya. Adam hanya memerhatikan gelagat gadis itu tanpa disedari Manja.
Setelah seminggu Manja merangka dan menyusun deskripsi tugas yang baru untuk Salma. Dia mengadakan mesyuarat dengan Adam membantangkan ideanya itu dan Adam bersetuju dengannya dan mereka memanggil Salma untuk menerangkannya.
Setelah berbincang dengan wanita itu selama setengah jam, Salma bersetuju dengan deskripsi tugasnya yang baru walaupun agak terkejut dengan perubahan yang baru dan agak mendadak itu.
Salma tidak lagi menguruskan gaji pekerja ladang sebaliknya hanya pekerja kilang kerana Manja telah mengambil penyelia baru untuk para pekerja ladangnya itu. Wanita berbadan gempal dan berkulit putih itu terpaksa menerima tugas barunya itu walaupun hatinya tidak ikhlas langsung menerimanya.
Walaupun gaji Salma tidak berubah, dia tetap tidak berpuas hati dengannya kerana tidak boleh lagi melakukan penyelewengan ke atas gaji pekerja ladang seperti dulu. Dia hanya berupaya menyeleweng gaji pekerja-pekerja ladang kerana kebanyakan dari mereka tiada berpendidikan dan mudah ditipu.
Adam segera ke ruangan khas yang dijadikan dapur di pejabat itu, tanpa pengetahuan sesiapapun dia mengambil bungkusan gula-gula yang dibuang Manja sebentar tadi lalu disimpannya.
Menjelang waktu rehat, Salma tidak habis-habis mengutuk Manja di hadapan kawan-kawannya. Dengan suaranya yang lantang dan kuat itu hampir seluruh kantin boleh mendengar dan mereka hanya memekakkan telinga mereka kerana mereka tahu perangai Salma yang suka menterbalikkan situasi itu.
Adam tidak berpuas hati dengan kata-kata makian dan hinaan Salma itu. Selesai makan dia menghampiri wanita berbadan gempal itu.
“Bersyukurlah Salma dengan apa yang awak miliki sekarang. Awak mahu meringkuk dalam penjara ke. Awak mesti ingat dengan apa yang awak buat selama ni pada syarikat awak boleh dihukum penjara tau, awak nak ke?”
Kata-kata Adam itu mampu membuatkan Salma diam, takut betul wanita itu apabila mendengar perkataan ‘penjara’. Dia juga tidak menyangka Adam yang pendiam selama ini akan bersuara sebegitu rupa.
Manja pula tidak berhenti di situ sahaja, dia terus menyiasat gaji pekerja ladang yang mengadu mereka tidak dapat gaji yang sepatutnya sejak tiga tahun yang lalu. Manja ke pejabat Dato Mazwan memberitahu sendiri pengerusi syarikat tentang penyalahgunaan kuasa oleh Salma.
“Jika benar tuduhan kamu itu, ayah nak kamu sediakan saksi dan bukti untuk memecat Salma. Kalau perlu kita laporkan kepada polis.”
Arah Dato Mazwan. Manja akur dan bersetuju untuk melakukannya sendiri. Dia perlu berkorban demi membela nasib pekerja-pekerja ladang yang tidak bersalah. Dia perlu menegakkan keadilan demi pekerja-pekerja yang banyak berjasa kepada syarikat keluarganya itu. Salma dipanggil masuk ke bilik Dato Mazwan untuk berbincang pertuduhan yang dibuat ke atasnya itu.
“Kamu akan digantung kerja sehingga Manja selesai menyiasat kes kamu ini.”
Arah Dato Mazwan selepas menerangkan sebab-sebab penggantungan kerja ke atas Salma itu. Baru seminggu jawatan barunya itu disandang, hari ini dia digantung kerja pula. Salma terima dengan perasaan yang penuh takut, dendam dan sakit hati terhadap Manja.
Dia tidak menyangka semua ini akan terjadi. Sangkanya tiada orang akan datang untuk menyelamatkan pekerja-pekerja ladang yang baginya mudah ditipu itu. Bak kata pepatah ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua’, Begitulah nasib Salma sekarang. Dia hanya perlu menunggu nasibnya ditentukan sahaja.
Salma ke kantin sebelum berangkat pulang ke rumahnya. Wanita itu muncul tatkala pekerja-pekerja ladang dan kilang sedang asyik menikmati hidangan tengah hari. Matanya merah meliar mencari sasaran untuk dimaki dan diugut.
Kaki gempalnya melangkah laju menuju ke sebuah meja makan yang dipenuhi sekumpulan pekerja-pekerja wanita yang bekerja di ladang di mana mereka cukup rapat dengan Manja.
“Awas kamu, kalau aku tahu kamu yang tolong Manja, aku tak teragak-agak untuk membunuh kamu.”
Semua mata memandang ke arah Salma yang sedang mengugut dengan suaranya yang lantang. Pekerja-pekerja itu agak takut dengan ugutan itu. Masing-masing menundukkan wajah, gerun dengan ugutan bunuh itu. walaupun itu hanya ugutan untuk menakut-nakutkan mereka, bagaimana jika Salma bertindak betul-betul. Orang dah sakit hati apa saja boleh dilakukannya. Seorang lelaki tiba-tiba datang menghampiri Salma yang mencekak pinggang mengugut pekerja-pekerja malang itu.
“Hai, Kak Salma. Kalau apa-apa terjadi kepada mereka, saya tak teragak-agak akan laporkan kepada polis. Semua orang di sini boleh jadi saksinya dan bukti yang kukuh ada dalam tangan saya.”
Tunjuk Hisyam yang menegur perbuatan Salma itu sambil menunjukkan pemain kaset mini yang digenggaminya itu. Salma yang semakin takut dengan perbuatannya itu bergegas beredar dari kantin itu. Pekerja-pekerja yang masih terkejut dengan ugutan bunuh Salma itu bertepuk tangan dengan kehebatan Hisyam menakutkan Salma dengan begitu mudah sekali. Hisyam menarik kerusi dan duduk bersama rakan-rakan sekerjanya itu.
“Syam, nasib baik kamu ada kalau tak…habislah kami.”
Kata salah seorang wanita yang diugut Salma sebentar tadi sambil menarik pemain kaset mini yang dipegang Hisyam itu.
“Eh, mana kasetnya?”
Soal wanita itu dengan hairan.
“Mana ada kaset, aku mainkan badak air tu saja. Bukan tu saja, bateri pun tak ada tu.”
Kata Hisyam selamba sambil membetulkan topang ketiak yang masih digunakannya itu. Hilai tawa mereka sekali lagi menggamatkan dewan makan yang sederhana besar itu.
Seawal pagi Manja ke ladang mengumpulkan pekerja-pekerja ladang sebelum mereka menjalankan tugas harian mereka.
“Saya nak kamu semua bawa slip gaji kamu tiga tahun yang lepas.”
Kata gadis itu selepas menjelaskan tujuan mereka dikumpulkan. Manja amat memerlukan bukti dan saksi untuk mendakwa Salma dan dia mahukan keadilan untuk pekerja-pekerjanya itu.
“Cik, kami semua tak ada slip gaji. Tapi kami boleh jadi saksi untuk cik.”
Terkejut besar Manja mendengarnya. Pelik, bagaimana semua ini boleh terjadi. Salma telah bertindak lebih bijak dengan tidak memberi slip gaji kepada pekerja-pekerja ladang kerana takut rahsianya terbongkar.
“Kenapa kamu tak mintak?”
“Cik Salma cakap slip gaji tak penting untuk kami. Lagipun kami tak pernah dengar pun pasal slip gaji ni. ”
Manja mengerutkan dahinya. Rupa-rupanya mereka semua telah ditipu. Memanglah bagi mereka semua tak penting kerana kalau diberi pun mereka pasti membuangnya kerana bagi mereka ia hanyalah sekeping kertas.
“Jadi tak seorang pun dari kamu mempunyai slijp gaji.”
Semua pekerja-pekerja yang dikumpulkan itu menggelengkan kepala mereka. Manja kecewa dan hampir berputus asa. Dia menerkup wajahnya dengan kedua belah tangannya menangis kerana tidak dapat membantu pekerja-pekerjanya lagi. Kecewa tak usah katalah.
Pekerja-pekerja yang tidak berdosa itu berasa bersalah kerana tidak dapat membantu Manja. Mereka saling berpandangan sesama sendiri mencari-cari idea untuk membantu majikannya itu. Tiba-tiba muncul Hisyam dari celahan orang ramai itu menghampiri Manja yang duduk bersama pekerja-pekerjanya di bawah sinaran matahari pada waktu pagi itu.
“Cik, saya ada slip gaji. Saya paksa Cik Salma sediakan untuk saya selama saya bekerja.”
Kata Hisyam dan menghulurnya kepada Manja. Manja agak terkejut mendengar suara itu.
“Eh, awak sepatutnya masih cuti, kan?”
“Saya bosanlah duduk kat rumah. Tapi slip gaji ni tak cukup tiga tahun sebab saya baru bekerja dua tahun setengah kat sini.”
Manja berpuas hati dengan apa yang ada. Dia bersyukur kerana akhirnya dia dapat membantu pekerja-pekerja malang ini menuntut hak mereka yang selama ini diseleweng oleh Salma yang gila wang itu. Sudah banyak tahun dia menipu syarikat hinggakan rumah batu boleh didirikan dan kereta mewah boleh dimilikinya.
Manja menyediakan semua bukti dan saksi serta laporan yang lengkap untuk menuduh Salma dan akhirnya menuntut keadilan pekerja-pekerja ladang yang tidak bersalah itu.
Di villa, penghuninya dikejutkan apabila kuda kesayangan Manja, Silver disembur dengan cat bewarna merah bertulis ‘AWAS MANJA’
“Manja, jangan siasat lagi kes Salma tu, nak.”
Pujuk Mak Som yang bimbangkan nyawa cucu kesayangannya itu.
“Nek, dia hanya boleh buat macam tu saja, lebih-lebih dia tak berani nek. Semuanya dah Manja selesaikan. Tunggu nak dakwa sahaja. Esok segala-galanya akan selesai.”
Manja memujuk neneknya pula supaya tidak risau akannya kerana Salma tetap akan didakwa dan dihukum atas perbuatannya itu. Setakat menyembur cat warna ke badan Silver bukanlah ugutan yang menakutkan bagi Manja. Kalau diletakkan pisau dilehernya mungkin juga.
Siasatan dalaman dibuat dan laporan mula dibentangkan. Salma semahu-mahunya menyangkal dakwaan ke atasnya itu. Dia menuduh Manja bersubahat dengan pekerja-pekerja ladang mengenakannya kerana mereka tidak sukakannya. Bukti dan saksi dikemukakan dan Salma tidak boleh berdalih lagi. Setelah seorang demi seorang saksi dibawa, dia akhirnya akur dan mengaku akan kesalahannya itu.
“Cik Salma. Adakah anda bersetuju jika kami tidak membayar pampasan perberhentian kerja kepada cik dan kami gunakannya untuk dibayar kepada pekerja-pekerja ladang yang dianiaya oleh cik?”
Salma menundukkan kepala, seperti tidak mengizinkannya.
“Ataupun cik mahu kami bawa kes cik ini ke mahkamah dan biar mahkamah yang menentukannya.”
Salma akhirnya bersetuju dengan tidak menerima pampasan sebaliknya mengguna-kan pampasannya itu sebagai ganti rugi kepada pekerja-pekerja ladang yang teraniaya selama ini. Lebih baik dari dia dimasukkan ke penjara kerana perbuatannya itu.
Dia takut jika dia dibawa ke muka pengadilan yang sebenarnya dia mungkin akan di penjara atas kesalahannya itu. Dia juga diberi amaran supaya tidak mendekati kawasan villa itu jika tidak syarikat tidak akan teragak-agak untuk mengadu kepada pihak berkuasa.
BAB 13
Kejayaan anak bongsu Dato Mazwan membongkar penyelewengan wang yang dilakukan oleh pekerja yang tidak disangka-sangka mereka itu akhirnya mendapat pujian dari keluarganya. Perbuatan Manja itu bukan sahaja dapat mengembalikan maruah syarikatnya malah dia juga berjaya membantu pekerja-pekerjanya yang teraniaya.
Kesibukan Manja menguruskan kes itu membuatkan dia terlupa akan rajuknya pada abangnya itu. Malam itu keluarga mewah ini mengadakan satu jamuan makan malam yang agak meriah. Walaupun hanya dibuat secara kecil-kecilan dan hanya menyambut ahli keluarga, saudara mara dan sahabat terdekat, bagi Manja ia cukup istimewa.
Kini Manja dapat rasakan dia seperti insan-insan sempurna yang lain. Tiada pilih kasih kerana ketiadaksempurnaannya itu.
“Tahniah, adik.”
Ucap Abdul melalui panggilan telefon setelah mengetahui tentang kejayaan adik angkat merangkap pesakit peribadinya. Dia yang mendapat maklumat dari Munir itu segera menelefon Manja kerana tidak dapat pulang untuk meraikannya bersama-sama Manja di Malaysia.
“Thanks, abang, bila abang nak pulang?”
“Habis exam hujung tahun nanti abang pulanglah.”
Beritahu Abdul yang melanjutkan pelajarannya di London bersama-sama Manja tetapi Manja dahulu yang menamatkan pengajiannya kerana kursus mereka yang berbeza.
Manja amat merindui lelaki itu. Lelaki yang banyak membantunya mengharungi suka duka di negeri orang. Abdul banyak mengetahui rahsianya berbanding keluarganya sendiri. Kasih sayang dan tumpuan yang diberikan oleh Abdul melebihi kasih sayang yang ditunjukkan oleh Munir dan Manja bahagia berada disisi Abdul berbanding abangnya sendiri yang kini semakin jauh darinya.
Setelah menamatkan perbualan telefon dengan Abdul, Manja keluar untuk menyertai keluarganya makan malam seperti yang dirancang dan menikmati hidangan makan malam yang telah disediakan malam itu.
Tiba-tiba langkahnya terus dimatikan tatkala matanya tertumpu pada sekujur wajah yang paling dibencinya. Senyumannya juga hilang bersama langkahnya yang telah kaku dan bisu.
Walau sebenci mana pun dia terhadap wajah itu, dia harus terima kerana insan yang memiliki wajah itu akan hidup bersama-samanya dibawah satu bumbung kelak. Mak Som perasan dengan perubahan pada cucunya itu, namun dia tidak hairan kerana itulah Manja. Apabila sudah benci pada seseorang dia akan benci selama-lamanya walaupun hatinya begitu mudah memaafkan orang yang bersalah pada dirinya.
Sepanjang masa di meja makan Manja tidak banyak bercakap mahupun mengukirkan senyuman. Banyak pujian diberikan oleh datuk dan ayahnya, namun itu semua tidak memberikan sebarang kesan kepadanya. Moodnya lari setelah melihat wajah menyampah Sofia.
“Kalau macam tu, bolehlah anak saya belajar dengan anak Dato ni?”
Kata Zahid setelah mendapat isyarat dari anak tunggalnya yang begitu anggun mengenakan gaun putih dengan hiasan sekuntum bunga yang besar pada bahagian dadanya.
“Betul tu, Pia nak sangat belajar berniaga. Bolehlah Dato.”
Pinta Sofia dengan nada manjanya. Dato Mazwan mengangguk tanda setuju. Manja menjeling melihat Sofia yang tergedik-gedik tak ubah macam lalang yang ditiup angin kencang itu.
“Nak belajar niaga, belajarlah dengan tunang awak tu. Buat apa belajar dengan saya yang mentah ni.”
Kata Manja dengan lantang. Meluat betul dia dengan lakonan Sofia itu.
“Manja! Kenapa kurang ajar sangat ni.”
Marah Dato Mazwan dengan kelantangannya melebihi kelantangan Manja sebentar tadi. Dia paling tidak suka anak-anaknya bersikap kurang ajar dan melampau dengan orang, lebih-lebih lagi dengan tetamu.
“Sorry to say, Manja memang tak berminat nak ambil pelatih. Maaf uncle.”
Manja kecewa dengan sekiap ayahnya yang melebih-lebihkan orang luar berbanding anaknya sendiri. Manja bangun lalu beredar dari menja makan. Makan malam yang sepatutnya meriah pada malam itu berubah menjadi satu tragedi yang tidak patut berlaku dalam keluarga kecil itu.
“Tak apalah Dato, biar Pia yang pujuk dia.”
Kata Sofia sambil membontoti Manja dari belakang. Mak Som yang tidak senang melihat perangai Sofia itu mengekorinya pula dari belakang dengan alasan untuk ke tandas supaya boleh keluar dari ruang makan itu.
“Kau nak apa ni?”
Soal Manja yang agak terkejut dengan kehadiran Sofia di dalam biliknya itu.
“Aku bukannya apa, aku cuma nak warning kau, kau mesti terima aku dalam keluarga ni. Itupun kalau kau nak rahsia kau selamat dengan akulah.”
Kata Sofia sambil tangannya meliar menyentuh kertas dinding bilik yang bercorak timbul bunga dan anak patung beruang.
“Hmm…cantik bilik kamu ni. Alangkah indahnya kalau aku yang tinggal di bilik ni, kan.”
Puji Sofia sambil berjalan mengelilingi bilik Manja yang luas dan berpemandangan yang mengadap sebuah tasik buatan yang cantik dan sejuk mata memandang itu. Bilik yang dicat dengan warna merah jambu itu lebih cantik dengan hiasan tirai kristal yang menggantikan kain langsir tebal disetiap tingkap kaca dan jendela kaca bilik bilik itu.
“Jangan haraplah kau nak tinggal di sini, aku bagi masuk pun dah kira baik.”
Kata Manja lalu merampas patung beruang coklat lembut yang dipegang Sofia itu.
“Ingat, buat baik dengan aku…semuanya selamat.”
Ugut Sofia dengan nada yang lembut lalu melangkah keluar dari bilik Manja. Mak Som yang mendengarnya secara curi-curi di sebalik beranda diluar bilik Manja. Rupanya Sofia mengambil kesempatan ke atas Manja kerana dia juga mengetahui rahsia gadis malang itu.
Apa yang menghairankan wanita itu adalah kenapa mereka berdua bermasam muka sejak pertemuan mereka yang pertama dan bagaimana pula Sofia boleh mengetahui rahsia cucu kesayangannya itu sedangkan setahunya Sofia tidak pernah ke London.
Sofia tidak pernah bersyukur. Dia pernah terselamat dari menerima hukuman dari mahkamah di London dahulu kerana langgar lari. Manja, gadis malang itu tidak melaporkan kepada polis, walaupun dia tahu Sofia yang melanggarnya.
Bagi Sofia, perbuatan Manja itu hanyalah untuk menunjuk-nunjuk kebaikannya dan apabila Manja semakin terkenal di kalangan pelajar-pelajar kolej dan di media di negara itu walaupun identitinya tidak didedahkan. Sofia pernah bersumpah dalam dirinya, selagi dia tidak berjaya mengenakan gadis itu sehingga dia berpuas hati, dia tidak akan berhenti.
Sofia mula bekerja di Syarikat Sri Jaya berhad seperti yang dirancang. Manja menemani abangnya membawa Sofia berkenalan dengan produk-produk yang dihasilkan di syarikat milik keluarga mereka.
“Kena pakai kasut but, cerewetnya.”
Rungut Sofia yang terpaksa mengikut prosedur untuk masuk ke ladang sayur-sayuran yang diusahakan secara komersial itu. Manja dan Munir saling berpandangan kemudian bersama-sama ketawa kecil dengan gelagat Sofia yang terpaksa menukarkan kasut cantiknya itu dengan kasut but yang besar dan lagi panjang.
Mereka mula berjalan menyusuri lorong-lorong kecil yang dibuat khas bagi memudahkan pekerja melaluinya.
“Eei…lumpur…lecak…kotornya…”
Rungut Sofia lagi sambil tangannya mengesat peluh yang mula membasahi dahi dan lehernya. Manja masih tergelak kecil dengan gelagat gadis bandar itu. Padan muka, itulah nak ekor orang sangat. Leter Manja di dalam hatinya.
“Keadaan di sini memang tak sesuai untuk kamu, balik sajalah.”
Kata Manja, memerli.
“Yelah, Sayang belajar berniaga dengan I sajelah. Duduk dalam office, tak payah keluar masuk ladang, tak penat…”
Pujuk Munir pula. Dia tidak sanggup melihat tunangnya berpenat seperti adiknya, bermandikan peluh yang sememangnya tidak sesuai untuknya. Manja yang dahulunya berkulit cerah itu semakin gelap kerana sering terkena panas mentari. Manja tersenyum puas, kata-kata abangnya bagaikan menyokongnya secara tidak langsung.
“No, mana boleh…I nak belajar dengan Manja jugak. Tak apa…I masih boleh bertahan.”
Cis, putus harapan. Manja melangkah lebih laju meninggalkan pasangan yang tak ingin dilihatnya itu. Aku akan dera dia sampai dia mengalah. Kata hati Manja nakal.
Dato Mazwan yang kasihan dengan bakal menantunya itu mengizinkan Sofia tinggal di Villa Sri Manja sementara dia belajar dengan Manja itu. Sofia menerima peluang itu dengan begitu gembira.
“Apa? Malam ni!”
Terkejut Manja mendengar berita itu dari neneknya. Bagaikan tsunami melanda, tak sempat nak lari. Manja menerimanya dengan hati yang redha. Dia akan bersedia untuk apa sahaja yang bakal menimpanya kelak.
Seperti yang dirancang, Sofia dihantar oleh ibu bapanya ke villa itu malam itu. Sepanjang malam itu Manja tidak keluar dari biliknya, makan malam pun dia tidak keluar dengan alasan tidak sihat, walhal dia tidak mahu bertembung dengan Sofia. Habislah kena mengadap muka hipokrit tu siang dan malam. Manja kena buat persiapan mental dan fizikal.
Tok! Tok! Tok!
Ketukan pada pintu biliknya membuatkan gadis itu terkejut besar. Manja mengambil masa untuk membuka pintu biliknya itu.
“Adik, Sofia nak tinggal kat sini beberapa hari, dia tak suka tinggal kat bilik tingkat atas. Ayah nak adik bagi bilik ni.”
Terang Dato Mazwan dengan nada yang lembut sambil menggosok belakang anaknya itu dengan lembut. Manja tidak berkata sepatah pun, dia menghampiri Mak Som. Memandang dengan wajah yang sayu menagih simpati dari wanita itu.
“Manja ikut saja kata ayah tu, yang lain biar nenek yang uruskan.”
Bisik Mak Som ke telinga Manja.
“Semua orang keluar dulu, biar Manja berkemas dulu.”
Kata Mak Som meminta izin. Manja masam mencuka. Tak rela nak melepaskan biliknya itu. Tapi dia tahu apa yang nak dibuatnya. Manja mengoyakkan kertas dinding dan mengarahkan pembantu membuka tirai kristalnya.
Selama beberapa minit dua beranak itu mengemas bilik Manja dengan bantuan dua orang pembantu rumah yang diimport khas dari Indonesia itu. Pembantu-pembantu itu menyusun pakaian Manja di dalam beg pakaian untuk di bawa ke bilik Manja yang asal di tingkat tiga villa itu. Sementara Mak Som pula mengunci semua almari pakaian dan almari kecil didalam bilik besar itu. Segala hiasan bilik itu juga dibawa kembali ke bilik Manja di tingkat tiga villa itu.
Alangkah terkejutnya Sofia tatkala membuka pintu bilik itu melihat bilik yang telah dikosongkan oleh Manja dan Mak Som itu. Dia begitu bengang dengan perbuatan Manja dan Mak Som kerana mempermainkannya. Bilik itu benar-benar kosong. Hanya yang tinggal sebuah almari besar yang berkunci rapat. Sebuah almari kecil disediakan untuk Sofia untuk meletakkan pakaiannya.
“Manja, kenapa tengok je anak tangga tu?”
Soal Mak Som yang kehairanan melihat cucunya hanya memandang sepi sahaja anak-anak tangga yang berliku menuju terus ke biliknya di tingkat tiga villa itu.
“Kenapalah rumah kita ni tak ada lif, ek.”
Mak som ketawa kecil, sempat lagi dia berseloroh dengan keadaannya yang malang itu.
“Cubalah, anak tangga ni kan lebih rendah dari anak tangga rumah nenek kat kampung tu.”
Pujuk Mak Som. Nak tak nak Manja perlu mencuba. Dia memijak anak tangga yang telah dilapik permaidani biru terus ke dalam biliknya satu persatu. Manja berjaya memanjatnya tetapi masih bertatih kerana belum serasi dengan keadaan itu, namun dia bersyukur kerana dia kini berada jauh dari gangguan Sofia.
Mak Som menutup pintu gerbang yang terletak di hujung tangga kecil yang menuju ke bilik Manja itu. Dia berharap agar tiada lagi duka di hati kecil cucunya itu dengan meletakkan cucunya itu jauh dari Sofia.
No comments:
Post a Comment