BAB 35
Berat hati Adam untuk ke Terengganu memandangkan keadaan isterinya yang kini berbadan dua itu. Namun kerana tanggungjawab pada kerja dan kerana ingin mencari rezeki demi keturunannya itu dia rela.
“Ya, lepas mesyuarat nanti abang terus pulang.”
Beritahu Adam kepada isterinya melalui panggilan telefon. Adam menggunakan helikopter peribadinya untuk berbincang mengenai perniagaannya dengan sebuah resort di Terengganu yang bakal menjadi salah sebuah tempat perhentian kapal mewahnya itu.
“Okeylah sayang. Bisinglah bunyi helikopter ni, nanti abang sampai abang call lagi.”
Adam menamatkan panggilannya.
“Tuan, kenapa Tuan tandatangan dokumen yang diberikan Mas tadi tanpa membacanya terlebih dahulu?”
Soal Mahmud, pembantu pengurus di chaletnya. Soalan Mahmud itu membuatkan Adam terfikir sejenak. Betul juga kata lelaki itu, entah kenapalah dia cepat-cepat menandatangani dokumen itu sedangkan dia bukan begitu sebelum ini. Mungkin fikirannya sekarang hanya pada isterinya itu. Rungsing dan tak menentu.
“Saya rasa tak ada apa-apalah, lagipun Mas kata tadi itu semua bil-bil tentang restorannya saja.”
Kata Adam untuk menyedapkan hati pekerjanya itu dan hatinya sendiri.
“Bil? tengah-tengah bulan ni.”
Terdiam Adam seketika mendengarnya. Tiba-tiba keadaan menjadi huru-hara, helikopter yang dinaiki mereka mula bergegar.
“Kenapa ni?”
Soal Adam kepada pemandunya.
“Tuan, minyak kita tiba-tiba low, hairan setahu saya…saya dah penuhkannya tadi.”
Terang pemandu helikopter itu. Adam dan Mahmud dipakaikan beg yang mengandungi payung terjun. Dalam beberapa minit sahaja, helikopter yang dinaiki Adam dan Mahmud itu terhempas ke dalam laut.
Berita tentang kemalangan itu terus disampaikan oleh unit kawalan udara yang terus melaporkannya kepada pihak berkuasa. Pihak yang berkuasa terus melakukan operasi mencari dan menyelamat.
Manja keluar dari biliknya selepas berbual dengan suaminya melalui telefon bimbitnya sebentar tadi. Ketika melalui bilik Mariam, dia terdengar perbualan wanita itu dengan anaknya. Kerana curiga Manja dengan beraninya mencuri dengar perbualan itu dan merakamnya dengan menggunakan telefon bimbitnya.
“Mak, kan mak dah janji mak tak kan membunuh lagi.”
Kata sofia dengan nada yang agak takut.
“Mak terpaksa, kamu dah dapatkan tandatangan Adam?”
Kata Mariam dengan yakin. Dia sedikit pun tak rasa bersalah dalam hal ini.
“Dah, sekarang kita hanya perlukan tandatangan Manja sahaja lagi. Semua harta Adam akan jadi milik kita.”
Tersentak Manja mendengarnya. Manja mula mengesyaki sesuatu. Dia tertanya-tanya siapakah yang dibunuh Mariam itu. Manja bergegas beredar dari situ kerana tidak mahu kemunculannya disedari dua beranak itu.
Manja turun mencari pembantu-pembantu rumahnya. Dia ke ruang tamu tetapi tidak kelihatan sesiapapun. Akhirnya Manja berjumpa dengan Ani yang sedang menjemur pakaian di halaman belakang rumah.
“Ani, saya nak Ani dengar ni.”
Manja cuba meletakkan rakaman yang dirakamnya sebentar tadi kepada Ani tetapi belum pun sempat dia berbuat demikian telefon bimbit itu berdering.
“Sekejap, saya nak jawab panggilan ni dulu.”
Ani mengangguk dan terus menyambung kerjanya.
“Ya, saya….apa? Tidak …tak mungkin, tak mungkin…”
Manja terus menamatkan panggilan itu. Gadis yang masih dalam keadaan terkejut itu terjelupuk duduk di atas tanah. Ani yang terkejut melihat gelagat puannya itu berhenti dari meneruskan kerjanya dan segera mendapatkan Manja.
“Puan, kenapa ni?”
Soal Ani kehairanan.
“Ani, abang Adam, Ani…Abang Adam…pusat kawalan udara telefon Manja beritahu helikopter yang dinaiki abang terhempas.”
Kata Manja teresak-esak. Ani terkejut mendengarnya dengan pantas Ani menjerit memanggil Amina dan Pak Khalid. Dengan sepantas itu juga pasangan tertua dalam kediaman itu muncul bersama-sama pembantu-pembantu yang lain.
“Kenapa nak? Kenapa ni?”
Soal Pak Khalid resah melihat Manja dan Ani menangis teresak-esak itu.
“Baba, abang Adam...dia kemalangan…”
Tersentak Pak Khalid mendengarnya. Manja yang masih teresak-esak itu tiba-tiba teringatkan sesuatu apabila terpandang telefon bimbitnya. Gadis itu bingkas bangun sambil mengesat air matanya.
“Abang tak ada apa-apa. Abang selamat, abang akan balik. Manja tak akan menangis. Manja tahu ini semua angkara siapa dan Manja akan pastikan dia akan dapat balasannya.”
Kata Manja seraya beredar dari situ. Pak Khalid dan yang lain-lain kehairanan melihat Manja bersikap demikian. Mereka semua terus ke balai polis untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kemalangan itu. Ketika Manja melangkah masuk ke biliknya, dia berselisih bahu dengan Mariam dan Mastura.
“Eh, Manja kenapa ni?”
Soal Mastura berpura-pura setelah melihat Manja yang agak kelam kabut itu.
“Kau jangan buat-buat bodoh. Aku tahu ini semua rancangan kamu anak-beranak dan aku akan pastikan kamu berdua akan mendapat balasan yang setimpal dengannya.”
Kata Manja seraya meninggalkan dua beranak itu.
“Mak, jangan-jangan perempuan cacat ni dah tahu rancangan kita, tak.”
Mariam menjungkit bahunya tanda dia sendiri tidak pasti dengan perkara itu.
“Mak, habislah kita kalau macam ni.”
Sofia mula menggelabah, takut benar dia dengan ugutan Manja sebentar tadi itu.
“Sabar…sabar…kalau kita tak boleh uruskan perempuan ni dengan cara yang lembut kita uruskan dia dengan cara kasar. Arahkan orang-orang kau bersedia. Kita culik Manja dan paksa dia turunkan tandatangan itu kemudian kita hapuskan dia.”
Mastura mula takut melihat perangai sebenar ibunya itu. Dia mula risau kalau-kalau perangai lama ibunya itu kembali lagi. Anak tunggal itu dengan baiknya akur sahaja dengan arahan ibunya itu. Walaupun takut tetapi oleh kerana sudah terlibat dia terpaksa teruskan sahaja demi mencapai impiannya untuk kembali kaya.
BAB 36
Manja keluar dari biliknya dan terus ke bilik Ani. Gadis itu meninggalkan telefon bimbitnya bersama sekeping nota. Manja bergegas keluar dan terus menuju ke ruang utama kediaman mewah itu.
Malangnya, dia dilarikan oleh sekumpulan lelaki dengan menggunakan sebuah kereta yang bewarna hitam yang tiba-tiba muncul dari arah belakangnya. Rahmat yang melihat kelibat kereta yang tidak dikenali itu segera mengejarnya tetapi dia gagal mendapatkan kereta itu.
Berita kemalangan Adam itu mula tersebar meluas. Dalam radio dan televisyen banyak menyiarkan berita kemalangan itu. Dato Ahmad bersama Munir yang menonton berita itu turut terkejut melihatnya.
“Atuk, Munir yakin Manja amat-amat memerlukan sokongan kita sekarang ni.”
Dato Ahmad mengangguk setuju dengan kata-kata cucunya itu. Munir faham perasan Manja tatkala ini, ianya sama sepertinya dahulu, sangat-sangat memerlukan sokongan keluarga.
“Ayah, inilah peluang kita untuk memohon maaf dari Manja.”
“Manja sudikah maafkan kita?”
Munir mengangguk yakin. Dia kenal benar dengan adiknya itu. Air dicincang tak akan putus. Manja akan maafkan keluarganya itu walau bagaimanapun kesalahan keluarganya terhadapnya dahulu. Manja bukan pedendam, dia seorang yang pemaaf.
Apabila teman-temannya pulang dari pusat kawalan udara, Rahmat mula menghebohkan kemunculan kereta misteri itu di halaman kediaman mewah itu. Dengan sepantas itu juga semua ahli keuarga rumah besar itu berkumpul. Mereka mula menyoal sesama sendiri adakah mereka mengenali kereta itu.
“Eh, mana puan. Ah?”
Soalan dari Ani itu membuatkan kediaman itu kembali kelam-kabut. Kebiasaannya Manja tidak pernah berjauhan dengan pekerja-pekerjanya itu. Sekurang-kurangnya seorang pasti bersama dengannya.
“Ani, mana puan. Bukankah dia biasanya bersama kamu masa-masa begini?”
Soal Amina tegas.
“Entahlah mami, masa sarapan pun puan tak turun. Saya risaulah mami.”
“Er…mami, Puan Mariam dan Cik Mastura juga tiada. Sejak semalam dia orang tak pulang pun ke rumah.”
Adu Ani pula. Keluarga besar itu mula resah dengan kejadian yang menimpa keluarga mereka ini. Mereka perlu lakukan sesuatu untuk mengembalikannya kepada asal. Tapi pada siapa untuk mereka mengadu lagi. Pada polis, polis pun tengah sibuk mencari tuan mereka sekarang ini. Manja hilang belum mencecah 24 jam. Mereka terus menunggu kalau-kalau Manja pulang sebentar lagi.
“Jangan-jangan kereta misteri tadi larikan puan, tak.”
Rahmat mengagak.
“Ish, mulut, jangan cabul boleh tak.”
Marah Ani pula.
Atas arahan Pak Khalid mereka mula berpecah mencari Manja. Puas mereka mencari di segenap pelusuk rumah malangnya Manja tidak ditemui. Dari siang membawa ke malam, Manja masih belum diketemui. Ani mula resah memikirkan puannya kerana hanya dia yang mengetahui kelemahan Manja itu iaitu takut dengan gelap.
Tatkala malam semakin larut, Mastura pulang bersama ibunya. Semua ahli keluarga mewah itu menunggu dua beranak itu dengan penuh tanda tanya.
“Ni, kenapa berkumpul semua ni, ada kenduri ke?”
Soal Mariam tegas.
“Kami nak tanya, mana puan kami?”
Soal Ani dengan berani. Yang lain hanya mengangguk setuju. Menyokong Ani dari belakang.
“Kenapa tanya kami, pergilah tanya polis ke bomba ke?”
Gurau Mastura dan dia ketawa bersama ibunya.
“Puan hilang selepas kamu berdua hilang dari rumah, kami yakin kehilangan puan ada kaitan dengan kamu berdua.”
Terang Ani dengan lantangnya. Dia yakin dengan nalurinya kerana sejak beberapa hari ini Mariam dan Mastura asyik menyakitkan Manja, bukan dengan kata-kata sahaja dengan perbuatan juga mereka berani melakukannya.
“Apa, kau ingat kami culik puan kamu tu, tak ada maknanya. Kami pun tak tahulah kat mana puan kamu tu.”
Ani tersentak dengan kata-kata Sofia itu, dia segera mencuit Amina. Nalurinya semakin kuat setelah gadis itu berkata demikian. Mariam yang perasan dengan pandangan Ani itu segera menarik tangan anaknya beredar dari situ. Dia bimbang kalau-kalau anaknya itu tersalah bicara lagi.
Semua ahli keluarga besar itu bersurai selepas gagal mendapatkan maklumat dari Mariam dan anaknya. Ani yakin ada sesuatu yang tidak kena dengan dua beranak itu tetapi tidak berani bersuara kerana takut dipersalahkan kerana tiada bukti yang boleh mengaitkan kehilangan Manja dengan dua beranak itu.
Ani tersentak apabila melihat pintu biliknya tidak ditutup rapat. Seingatnya dia telah menutup rapat pintu biliknya itu ketika dia keluar siang tadi. Gadis itu dengan beraninya menolak daun pintu biliknya.
Diintainya ke dalam biliknya itu dengan berhati-hati. Tidak bersepah malah tersusun seperti ditinggalnya tadi. Kehairanan mula menyelubungi fikirannya. Tiba-tiba matanya tertumpu pada sesuatu di atas meja soleknya. Ani mendekatinya dan terkejut melihat telefon bimbit Manja ada di atas meja soleknya itu dan di tinggalkan bersama-sama sekeping nota.
Ani segera mengambil nota itu lalu membacanya.
‘ Ani, dalam telefon ini mempunyai rakaman suara Mastura dengan ibunya, jika sesuatu terjadi kepada saya selepas kamu membaca surat ini serahkan rakaman ini kepada pihak polis.’
Alangkah terkejutnya Ani apabila membaca nota itu. Kini keyakinannya semakin kuat kerana kehilangan puannya boleh dikaitkan dengan dua beranak yang dicurigainya itu.
Ani membuka rakaman telefon itu lalu mendengarnya, dia juga dapat mengecam suara Mastura dan Mariam dengan jelas sekali. Gadis itu segera mengunci pintu biliknya. Malam itu Ani tidur bersama nota dan telefon bimbit milik puannya itu. Dia tidak mahu semua itu jatuh ke tangan orang lain sebelum dia menyerahkan kepada polis pada keesokan harinya.
No comments:
Post a Comment