Monday, March 23, 2009

musim cinta 6-7

BAB 6

Persedian untuk majlis kesyukuran sempena kepulangan Manja dari London sedang rancak dijalankan apabila malam semakin menjelang. Sejak dua minggu yang lalu, Dato Mazwan dan Dato Ahmad sering sibuk hingga tiada masa untuk mengadakan majlis itu. Hari itu apabila ada masa, mereka terus mengadakan majlis itu tanpa menunggu lagi.
Munir ditugaskan untuk menjemput para tetamu yang terdiri daripada para pekerja di pejabat, kilang mahupun ladang serta pelangan-pelanggan yang setia membeli produk dari Syarikat Sri Jaya Berhad.
Menjelang malam selepas waktu isyak ramai tetamu mula membanjiri halaman utama dan ruang legar Villa Sri Manja. Manja masih dibiliknya bersiap, setelah selesai membantu mengemas dan menghias villa bersama pembantu-pembantu rumahnya itu siang tadi.
“Manja, dah siap ke?”
Soal Mak Som yang datang menjenguk cucunya yang masih belum keluar dari biliknya, walhal para tetamu sudah pun memenuhi ruang yang disediakan.
“Dah siap, jom kita keluar.”
Kata Manja sambil memeluk lengan Mak Som.
“Eh, nanti kejap. Biar Manja tengok dulu.”
Kata Manja sambil memusingkan badan Mak Som ke arahnya. Dia memerhatikan Mak Som dari atas hingga ke bawah kemudian ke atas kembali.
“Wah, cantiknya nenek malam ni.”
Puji Manja dengan baju kebaya nyonya yang dipakai Mak Som malam itu.
“Mestilah, cucu nenek pun apa kurangnya. Dah…dah jangan banyak cakap nanti atuk bising pulak bila tak nampak kamu.”
Kata Mak Som sambil melangkah semakin laju menuju ke arah ruang legar, tempat para tetamu yang khas berada.
“Malam ni kamu bolehlah jumpa tunang abang kamu tu.”
“Oh, Si Sofia tu?”
“Yalah…cantik orangnya tau.”
Manja hanya tersenyum dengan kata-kata Mak Som itu. Walaupun nama itu cukup menggerunkannya, dia berharap agar ‘Sofia’ yang bakal dijumpainya ini tiada kaitannya dengan kenangan silam yang cukup mengerikannya itu.
Makanan yang dihidang secara buffet itu telah banyak yang luak, pekerja-pekerja yang telah diupah untuk menguruskan hidangan makanan ini tidak henti-henti menambah hidangan yang kurang dan ini membuatkan keluarga mewah ini berpuas hati dengan khidmat yang diberikan.
Manja diperkenalkan kepada para tetamu yang kebanyakannya terdiri daripada rakan niaga ayah dan datuknya. Sedang rancak mereka berbual mesra, tiba-tiba kemunculan ‘sepasang merpati’ mencuri pandangan tetamu yang hadir. Manja juga turut teruja melihat pasangan itu.
Alangkah terkejutnya Manja apabila terpandang gadis yang berdiri di sisi abangnya itu. Gadis yang menjadi mimpi ngerinya hingga kini itu muncul juga depan matanya. Memang diluar jangkaan.
“Manja…”
Panggilan Mak Som itu mengejutkan Manja yang masih dalam keadaan terkejut itu.
“Hah.”
Manja yang terkejut dengan panggilan itu segera memandang neneknya itu dengan satu pandangan yang masih terkejut.
“Tu, itulah tunang abang kamu, cantik tak?”
Manja tidak menjawab sebaliknya hanya mengangguk dengan pertanyaan neneknya itu. Manja cuba beredar dari situ dengan harapan tidak bertembung dengan Sofia tetapi belum pun sempat Manja berbuat demikian, ayahnya menghampirinya lalu menarik tangannya. Manja diperkenalkan kepada seorang demi seorang tetamu yang hadir malam itu.
Manja akhirnya diperkenalkan kepada Sofia, tunangnya Munir, Manja dan Sofia berpura-pura tidak mengenali gadis itu sebaliknya hanya bersalam hujung-hujung jari sahaja. Selepas itu Manja bergegas keluar dari rumah agar dapat menjauhkan diri dari Sofia. Buatnya gadis seksi itu bongkarkan rahsianya malam itu juga, habislah semuanya.
Mak Som perasan dengan perubahan perangai Manja yang tidak menyukai Sofia itu dan mengabaikan sahaja perbuatan cucunya itu, mungkin Manja ada sebab dia berbuat demikian, fikir Mak Som.
Manja ke halaman rumahnya di mana menempatkan para tetamu yang terdiri daripada para pekerja di Syarikat Sri Jaya Berhad, ladang dan kilang. Manja begitu mudah bergaul dengan pekerja-pekerja di ladang kerana mereka lebih mudah didekati dan mudah mesra.
“Er...encik ni encik Hisyam, kan.”
Tegur Manja apabila terpandang Hisyam yang sedang menyenduk air ke dalam cawannya. Lelaki itu terkejut dengan sapaan gadis yang mengenakan baju kurung moden dari jenis kain sutera itu melemparkan senyuman mesra sambil mengangguk mengiyakan pertanyaan Manja itu.
“Er...terima kasih eh, sebab bantu saya...kalau tak kerana encik dah tentu ‘garing’ saya kat tengah-tengah panas tu.”
Hisyam mengangguk lagi sambil tersenyum manis. Dia agak segan dengan gadis di hadapannya itu walaupun gadis itu jauh lebih muda darinya. Panggilan Manja itu juga membuatkan dia rasa segan untuk berbual dengan anak majikannya itu.
Sedang mereka berbual mesra, tiba-tiba muncul Sofia yang entah dari mana datangnya. Gadis itu menghampiri Manja membuatkan semua tetamu yang hadir berdiri terkejut kerana kedatangan gadis yang cukup seksi di tempat mereka.
“Oh, Cik Sofia pun datang.”
Soal Manja sambil menarik kerusi untuk Sofia.
“Aku ke sini bukan untuk berbual dengan kamu semua.”
Kata Sofia sambil menggerak-gerakkan badannya ke kiri dan ke kanan. Macam sotong.
“Habis tu, nak buat show ke?”
Soal Manja memerli.
“Aku ke sini nak warning kamu, mulai dari hari ini aku akan menghantui hidup kamu.”
“Oh, hantu seksi.”
Kata salah seorang pekerja separuh menjerit. Mereka mula ketawakan Sofia yang malam itu mengenakan gaun kembang yang terdedah di bahagian dada dan bahagian pinggannya.
“Bodoh, kamu semua bodoh.”
Marah Sofia menjerit.
“Dia yang datang sini, kata orang bodoh pulak.”
Kata Manja yang masih ketawa bersama-sama pekerja-pekerja yang hadir malam itu.
“Kurang ajar.”
PANG! Satu penampar yang kuat hinggap di pipi gebu Manja. Tak sempat nak elak.
“Oh, mentang-mentanglah kau dah langgar aku sekali, kau ingat aku takut dengan kau, ingat aku tak kan mengalah dengan kamu lagi.”
Sepantas kilat Manja membalas kembali perbuatan Sofia itu. Kali ini tamparannya lebih kuat dari tamparan Sofia itu. puas hatinya tapi perbuatannya itu telah dilihat oleh ayahnya dan Munir yang bergegas ke tempat kejadian.
“Manja kenapa kurang ajar sangat ni?”
Marah Dato Mazwan dengan lantangnya. Para pekerja di situ tidak mampu menolong Manja walaupun mereka tahu Manja tidak bersalah. Apa yang mampu mereka buat hanyalah melihat dan menyabarkan Manja dari terus melawan.
Manja beredar dari situ dan terus masuk ke biliknya. Dia tidak mahu terus bertikam lidah dengan ayahnya hanya kerana perempuan bodoh itu. Sofia pula tidak habis-habis mengadu kepada tunangnya tentang perkara yang tidak dilakukan tetapi dikatakan dilakukan oleh Manja kepadanya.



BAB 7

Cahaya pagi mula menembusi cermin kaca yang dijadikan sebahagian dinding bilik Manja di tingkat bawah itu. Semalaman dia membuka ke semua langsir yang menutupi jendela dan dinding kaca di biliknya membenarkan cahaya rembulan menerangi biliknya yang gelap gelita itu.
Saban malam Manja tidak dapat melelapkan matanya setelah kenangan silamnya kembali menghantuinya. Kenapa mesti Sofia yang menjadi tunang abangnya setelah apa yang dibuatnya kepada Manja. Kini baru dia faham, dunia ini memang kecil.
Manja menarik semula selimut yang hampir terjatuh dari katilnya. Dengan pantas dia menutupi mukanya agar cahaya matahari pagi tidak terkena pada mukanya. Malas pula rasanya nak bangun pagi itu mengadap muka ayah dan abangnya yang lebih mementing-kan Sofia lebih darinya, tapi tak boleh salahkan mereka juga kerana Sofia adalah tetamu mereka semalam dan mereka juga tidak tahu mengenai persengketaan Manja dan Sofia. Tapi kalau mereka tahu adakah mereka akan menyebelahi Manja, persoalan itulah yang menjadi igauan dalam hidup Manja hingga kini.
Selepas mandi dan mengenakan baju T yang dipadankan dengan seluar kaki lurus yang longgar dan keluar dari biliknya. Selipar kain sentiasa dipakainya ketika berada di dalam rumah. Dengan cara itu ayah, abang dan datuknya tidak akan perasan dengan perbezaan kaki kiri dan kaki kanannya.
“Morning, nenek.”
Ucap Manja seperti biasa sambil mencium pipi nenek kesayangannya itu. Mak Som hanya tersenyum melihat kelagat cucunya yang tetap selamba walaupun peristiwa semalam masih segar dalam ingatan setiap orang di dalam villa itu.
“Morning atuk, abah.”
Ucap Manja selamba tatkala dua beranak itu turun untuk bersarapan. Dato Mazwan tidak menunjukkan sebarang tindak balas, manakala Dato Ahmad seperti biasa mengukir sekuntum senyuman sambil mengucup dahi cucunya itu dengan mesra.
“Morning semua.”
Ucap Munir pula dengan cerianya tatkala turun dari biliknya. Manja yang melihat abangnya itu mula mengambil tempat untuk duduk di meja makan, dia bingkas bangun dan beredar dari situ. Tanda protes dengan perbuatan Munir semalam. Sikitpun tak membelanya, sedangkan dahulu Munir sentiasa menyebelahi adiknya. Munir memandang ayah dan datuknya agak hairan dengan sikap adiknya pagi itu.

Malamnya selepas makan malam, keluarga mewah itu turun ke ruang menonton untuk menonton televisyen bersama-sama keluarga yang merupakan salah satu aktiviti untuk mendekatkan diri sesama mereka setelah seharian penat bekerja. Mereka begitu khusyuk menonton drama komedi kegemaran mereka yang disiarkan setiap minggu di TV3 itu.
“Atuk, macam mana kalau Manja ‘pergi’ dulu.”
Soal manja dengan nadanya yang sedikit sendu. Mak Som yang duduk di sebelahnya itu faham benar dengan kata-kata Manja itu mengusap lembut rambut cucu-nya itu.
“Hish, apa yang kamu merepek ni. Cucu atuk ni akan panjang umurnya.”
Kata Dato Ahmad sambil mencium dahi cucu kesayangannya itu. Manja menunduk-kan mukanya sambil mengesat matanya yang hampir mengalirkan air mata.
Dia memandang Dato Mazwan dan Munir yang sedang asyik menonton dan tidak menghiraukan langsung kata-katanya sebentar tadi. Tak dengar atau buat-buat tak dengar. Baginya mungkin kematiannya tidak memberikan sebarang kesan kepada ayah dan abangnya itu. Manja melepaskan satu keluhan panjang.
“Apa jawatan yang Manja nak?”
Soal Dato Mazwan, matanya masih tidak berganjak dari televisyen yang masih terpasang itu. Manja memandang ayahnya, namun lelaki itu sikitpun tidak memandang anaknya.
“Pengurus Sumber Manusia.”
Jawab Manja selamba.
“Tapi jawatan tu dah ada pengurusnya. Baru sebulan dia masuk bekerja.”
“Manja nak asingkan pengurusan sumber manusia bahagian kilang dengan ladang, dengan cara itu segala pengurusan lebih mudah dan cepat. Manja nak uruskan bahagian ladang sahaja.”
Jawab Manja tegas.
“Kalau macam tu, esok Manja berbincang sendiri dengan pengurus tu, okey.”
Manja mengangguk bersetuju.
“Adik, macam mana dengan tunang abang?”
Soal Munir mencelah, menggunakan kesempatan yang ada untuk berbaik dengan adiknya.
“I don’t like her.”
Kata Manja berbahasa inggeris dengan tegas.
“Kenapa Manja cakap macam tu?”
Soal Dato Ahmad, hairan dengan kata-kata benci Manja itu. Setahunya cucunya itu bukan seorang yang pembenci.
“Mana taknya, Sofi tu kan lebih cantik dari adik, pasal tulah dia tak suka dengannya.”
Kata Munir berseloroh diikuti dengan hilai tawa ahli keluarganya yang lain. Lawak sangatlah tu, marah Manja dalam hatinya. Manja yang tidak suka dengan lawak itu bingkas bangun lalu terus masuk ke biliknya. Bosan betul dengan perangai abangnya itu, asyik nak memuji tunangnya saja. Kalaulah dia tahu perkara sebenar, agak-agaknya nak ke dia lagi dengan perempuan macam tu.
Ahli keluarga mewah itu memandang sesama sendiri, hairan dengan sikap Manja yang semakin lama semakin hilang keinginannya untuk berlawak jenaka sesama keluarga itu dan dia juga agak sensitif sejak pulang dari London.
Manja mengunci pintu biliknya supaya tidak diganggu. Dia terus menuju ke arah pintu gelungsur yang menjadi penghalang antara ruang dalam biliknya dengan serambi luar biliknya. Pintu gelungsur itu ditolak perlahan, angin malam terus menerpa kuat tatkala pintu kaca itu dibuka.
“Hah….”
Manja mengeluh panjang. Anak tangga yang menuju turun dari serambi luar itu dipandang sepi. Manja turun ke bawah menggunakan tiga anak tangga itu kemudian naik semula. Langkah itu diulangnya beberapa kali sehingga dia betul-betul letih untuk melakukannya lagi.
Akhirnya dia mengalah dan terduduk di atas anak tangga itu. Puas rasanya seperti telah hilang satu beban yang paling berat atas badannya. Angin yang kuat malam itu mengembalikan memori silamnya yang sering kali cuba dilupakannya.

Selepas makan malam, sepeti biasa Faris akan menghantarnya pulang ke asrama, cuma yang bezanya pada malam itu Faris hanya meninggalkannya di seberang jalan menuju masuk ke pintu asrama kerana mempunyai urusan lain.
Manja melintas jalan selepas melihat kiri dan kanan jalan juga seperti biasa. Tiba sahaja Manja di tengah jalan muncul sebuah kereta yang dipandu dengan lajunya dan terus melanggarnya.
Manja yang tidak sempat mengelak hanya dapat menjerit sekuat-kuat hatinya. Seorang orang awam yang melihat kejadian langgar lari itu terus menelefon polis dan ambulans serta menemaninya ke hospital.
Gadis itu tidak sedarkan diri selama hampir dua minggu kerana kecederaannya yang agak parah. Selama itu Abdul, doktor peribadinya dan juga merangkap sebagai abang angkatnya menemaninya sepanjang dia berada di hospital itu.
Gadis itu tidak dapat menerima hakikat bahawa dia mengalami kecacatan kekal iaitu hilang sebelah kaki kanannya. Saban hari dia meratapi kecacatannya itu dan Abdul begitu sabar mengubat segala kesakitan dan dukanya.
Manja mengambil keputusan untuk memutuskan hubungannya dengan Faris dan dia juga tidak mahu menghukum orang yang telah menyebabkan dia jadi begitu. Begitu mulia hatinya bertindak sedemikian. Namun itu semua tidak dianggap mulia sebaliknya hanya dianggap ingin mengambil perhatian oleh gadis yang melanggarnya itu.

No comments: