BAB 37
Manja tersedar dari pengsan itu mula membuka matanya. Dilihat di sekitarnya, sangat menakutkan dengan suasananya yang suram dan sunyi itu serta keadaan bilik yang tertutup. Manja mula takut, gadis itu mengengsot ke suatu sudut bilik itu lalu duduk memeluk kakinya.
“Tempat apa ni?”
Soalnya sendirian. Gadis yang takut dengan suasana gelap itu mula menitiskan air mata. Manja menutup matanya rapat-rapat dan berdoa agar hari siang cepat menjelma. Tanpa disedarinya, dia mula terlena di suatu sudut bilik yang gelap itu.
Menjelang siang, matahari mula menerangi suasana bilik pegap itu. Cahaya terang yang menembusi ruang dari celah-celah dinding kayu itu mengejutkan Manja dari lenanya. Tiba-tiba telinganya menangkap perbualan beberapa orang lelaki di luar bilik kurungannya itu.
“Apa faedahnya Cik Mas tu kurung perempuan tu, ah?”
“Entahlah, yang aku tahu lepas perempuan tu turunkan tandatangan, kita kena hapuskan perempuan tu.”
“Tapi aku tak sampai hatilah. Kita diarahkan untuk menculik je bukan membunuh.”
“Itu aku tak tahu, kalau kita tak bunuh dia lepas dapat tandatangan tu, kita pulak yang kena bunuh.”
Manja mula takut mendengarnya. Dia tak akan izinkan nyawanya diambil begitu sahaja. Dia tidak hairan dengan semua harta-harta itu tetapi apa yang penting sekarang ini adalah nyawa anak dalam kandungannya itu.
Kini Manja faham kenapa dia dikurung. Gadis itu mula mencari jalan untuk keluar dari kurungan itu. Akhirnya Manja terjumpa dengan sebuah pintu rahsia di lantai bilik kayu itu. Untuk membukanya dia memerlukan sesuatu untuk mengopaknya.
Dikediaman mewah Adam pula, Ani mengambil keputusan untuk terus ke balai polis tanpa memberitahu kepada sesiapapun terlebih dahulu kerana takut Mariam dan Mastura mengesyakinya.
“Kami akan siasat kes ini dengan segera, cik jangan bimbang tentang perkara ini.”
“Encik, encik kena cari puan saya tu dengan segera, dia takut dengan gelap. Semalam pun saya tak tahulah macam mana keadaan dia.”
Beritahu Ani risau.
“Tapi cik, kami tak boleh terus tangkap Puan Mariam dan Cik Mastura. Kalau mereka terus di tangkap, peluang untuk mendapatkan Puan Manja kembali tipis.”
Ani tertunduk sambil mengangguk tanda faham. Kini dia serahkan segala-galanya kepada pihak polis. Gadis pulau itu yakin pihak polis mempunyai cara mereka tersendiri untuk menyelamatkan Manja dari kurungan Mariam dan Mastura.
BAB 38
Abdul kini sudah sebulan bergelar suami kepada Suraya, seorang gadis pantai timur dan kini mereka menetap di Kampung Pantai, kampung halaman Suraya memandangkan Abdul bertugas di situ. Pasangan ini menghabiskan masa cuti mereka di rumah sahaja memandangkan Abdul yang sering sibuk dengan tugasnya itu.
“Abang, kemalangan yang membabitkan jutawan muda tu berlaku tidak jauh dari pantai ni, kan.”
Abdul mengangguk mengiyakan kata-kata isterinya itu. Sejak berita kemalangan helikopter persendirian itu tersiar di dada-dada akhbar dan televisyen, Suraya sering mengikuti perkembangan dari masa ke semasa. Dia juga turut berdoa agar orang terakhir di dalam helikopter yang masih belum dijumpai itu hidup.
“Kasihan dia, Aya rasalah kan bang, kemalangan tu mesti ada perancangnya. Aya berdoa agar orang yang merancang semua ni mendapat balasan yang setimpalnya.”
Abdul yang melihat kesungguhan isterinya itu mengusap lembut bahu isterinya itu. Dia tahu isterinya itu agak sensitif dengan isu-isu penganiayaan sebegitu.
“Tapi kita tak tahu Manja tinggal di mana.”
Kata Dato Ahmad risau dan berbaur kecewa. Munir termenung panjang, dia sendiri runsing memikirkannya. Kebiasaannya apabila Manja menelefon datuknya dia akan menggunakan nombor persendirian dan perkara itu membuatkan sesiapa sahaja sukar untuk menjejakinya.
“Ayah dah dapat alamat Manja melalui pihak media, esok kita boleh ke sana.”
Kemunculan Dato Mazwan membawa khabar gembira itu menceriakan Munir yang amat-amat merindui adik tunggalnya itu. Munir bergegas bangun tetapi masih dalam keadaan lemah menuju ke biliknya untuk bersiap menuju ke pulau yang menjadi kediaman adiknya itu. Dato Ahmad dan Dato Mazwan tersenyum melihat telatah Munir seakan-akan anak kecil itu.
Keceriaan pasangan pengantin baru itu menghabiskan masa cuti mereka di pantai berhampiran kediaman mereka dikejutkan dengan penemuan seorang lelaki terlentang di tepi pantai yang dingin itu.
“Eh, abang…oranglah tu.”
Suraya terkejut melihat sekujur tubuh manusia terlentang di persisir pantai. Abdul bergegas mendapatkan lelaki yang terlentang dalam kesejukan itu. Suraya berdiri di belakang suaminya hanya membisu melihat suaminya itu memusingkan badan seorang lelaki yang entah tidak ketahui hidup atau matinya.
“Aya, lelaki ni hidup lagilah.”
Alangkah terkejutnya pasangan itu apabila melihat lelaki yang mereka baru selamatkan itu.
“Eh, inilah jutawan muda yang Aya katakan tu.”
Kata Suraya ang dahulu melihat kelibat lelaki yang terlentang di hujung pantai itu.
“Inilah Adam, suami Manja.”
Balas Abdul pula seraya mendukung lelaki itu lalu membawanya pulang. Lelaki itu perlu diselamatkan demi kebahagian adik angkatnya dan dia perlu membongkar segala misteri kemalangan yang membabitkan lelaki itu.
Di dalam hutan yang tebal di pulau yang menjadi kediaman Adam sejak kecil lagi itu, Manja terus berusaha mencari jalan keluar dari dalam sebuah bilik kayu yang sudah dua hari menjadi tempat kurungannya itu.
Tiba-tiba gadis yang bakal bergelar ibu itu dikejutkan dengan kuakan pintu yang kuat. Manja berundur lalu menyandar di dinding kayu yang usang itu. Kemunculan Mastura dan Mariam mengejutkan gadis cacat itu.
“Apa kamu berdua nak, hah?”
Soal Manja berani walaupun hilai tawa dua beranak itu agak menakutkannya.
“Kenapa aku di kurung? Kamu berdua ni tak takut undang-undang ke, hah.”
“Undang-undang? Hahaha.…..”
Mereka berdua tertawa lagi. Hilai tawanya membuatkan rumah usang itu bergegar dibuatnya.
“Rileks, mari aku terangkan…”
Mastura menarik tangan Manja kasar menuju ke suatu sudut yang agak terang di pondok buruk itu.
“Aku nak kau turunkan tandatangan kau kat sini. Tak susahkan.”
Manja merampas dokumen itu lalu membaca tajuknya. Matanya kemudiannya memandang Mastura tajam.
“Kau nak aku pindah kuasa kepada mak kau. Tak ada maknanya, suami aku masih hidup, aku akan buat apa-apa.”
Mariam yang mendengarnya ketawa terbahak-bahak. Mastura memandang ibunya dengan satu pandangan yang baginya kata-kata Manja itu cukup kelakar.
“Hei, dengar sini. Suami kau tu dah mati, kami yang bunuh dia. Tau. Sekarang aku nak kau tandatangan dokumen tu sebelum aku naik angin.”
Manja terkejut mendengar pengakuan itu. Dia tahu jika dia turunkan juga tandatangan seperti kemahuan Mariam itu, maka maut bakal menjemputnya. Gadis itu merentap dokumen ditangan Mastura itu lalu membalingnya jauh-jauh. Mariam naik marah dengan perbuatan Manja itu lalu menampar gadis itu dengan sekuat-kuat hatinya. Terduduk Manja akibat tamparan yang kuat itu.
“Tengok, kau dah buat mak aku marah. Jangan….jangan sesekali buat mak aku marah. Buruk padahnya tau.”
Kata Mastura lembut tetapi cukup menyakitkan.
“Tak apa mak, kita tinggalkan dokumen tu kat sini. Biar dia sendirian, lama mana dia boleh duduk sini sorang-sorang. Nanti dia akan tandatangan jugak dokumen tu.”
Pujuk Mastura lembut. Mariam berfikir sejenak kemudian mengangguk setuju dengan cadangan anak perempuannya itu. Dalam masa beberapa saat sahaja Manja kini ditinggalkan bersendirian di dalam bilik yang suram itu.
Sejurus selepas Mariam dan anaknya meninggalkan Manja bersendirian, gadis itu terus mencari jalan keluar dari bilik usang itu. Dengan berbekalkan cahaya matahari yang menembusi celah-celah pagar kayu itu Manja terus meraba-raba lantai setelah dia merasakan sebentar tadi ada sebahagian lantai yang berbonjol.
Akhirnya tangannya berhenti dari meraba apabila gadis itu berjumpa dengan apa yang dicarinya. Dia cuba mencari puncanya dengan harapan papan lantai yang berbonjol itu dapat dibuka. Manja mencapai sudu besi yang ditinggalkan bersamanya selepas makan pagi tadi lalu diumpilnya papan itu dengan menggunakan sudu besi itu.
Papan itu akhirnya terumpil lalu Manja dengan bersungguh-sungguh meloloskan dirinya dengan berhati-hati. Gadis itu tidak melupakan untuk membawa sekali dokumen yang telahpun ditandatangani suaminya itu. Dia tahu dokumen itu amat berharga bagi Mariam dan Mastura.
“Nak, kamu mesti kuat. Kita mesti tinggalkan tempat ni demi nyawa kita.”
Pesan Manja sambil mengusap perutnya sebelum dia melangkah keluar dari rumah usang itu. Cahaya matahari memancar terik, alangkah gembiranya rasa hatinya kerana dapat menikmati lagi cahaya alam semulajadi itu.
Dengan sepenuh kudrat yang ada Manja terus melangkah mengikut kakinya tanpa arah tujuan, apa yang pasti dia perlu pergi jauh dari pondok usang itu dengan harapan Mastura dan ibunya tidak dapat menjejaknya lagi.
Dua hari selepas mendapat alamat tempat tinggal Manja dan suaminya, Munir bersama ayah serta datuk dan neneknya berangkat ke Pulau Triggo yang merupakan salah sebuah pusat pelancongan di Malaysia itu.
Perjalanan yang memakan masa hampir satu hari itu amat memenatkan keluarga kecil itu, namun itu semua tidak menjadi halangan bagi mereka bagi bertemu dengan insan yang amat-amat mereka rindui itu.
Loceng ditekan beberapa kali tetapi tiada balasan dari dalam. Munir hairan dengan perkara itu, kenapa rumah sebesar itu tiada orang, ke mana mereka semua pergi.
“Kamu cari siapa?”
Muncul seorang wanita yang berpakaian agak seksi, tidak sesuai sekali dengan usianya.
“Er…inikah rumahnya Manja?”
“Ya, tapi dia tak ada. Dah mati agaknya.”
Kata wanita itu dengan kasar dan kurang ajarnya. Tersentak semua ahli keluarga Manja itu mendengarnya. Sampai begitu sekali wanita itu menghina Manja.
“Kamu ni siapa, kenapa kamu kata begitu pada cucu aku?”
Marah Mak Som sambil melangkah ke depan berhadapan dengan wanita yang baru sebentar tadi menghina Manja.
“Aku mak saudara Adam, kerana sial cucu kamu tulah, Adam ditimpa kemalangan.”
Tuduhnya lagi, kali ini nadanya bertukar menjadi sedih.
“Cucu aku sial ataupun kau yang rancang semua ni.”
Tuduh Mak Som secara tidak sengaja. Sakit betul hatinya dengan tuduhan yang dilemparkan Mariam itu kepada Manja.
“Apa kau tahu pasal sial, hah.”
Mariam menangis lagi. Berpura-pura, namun air mata tuanya tetap mengalir laju. Mastura muncul, tiba-tiba di sisi ibunya setelah mendengar riuh-rendah suara ibunya berbual dengan suara-suara yang tidak dikenalinya.
“Mak, kenapa bising-bising ni?”
“Ni hah, mereka cari Manja.”
Jawab Mariam sambil menangis, berubah wajah Mastura tatkala mendengar nama itu. Munir perasan dengan perubahan wajah perempuan seksi itu. Mana tak perasan, mana-mana lelaki pun akan memandang gadis seseksi itu jika gadis itu berdiri di hadapannya.
“Dah, dah….berambus kamu semua dari sini. Manja dah tak ada….dia dah mati.”
Kata Mariam dan Mastura sibuk menarik tangan ibunya masuk kerana bimbang ibunya kana tersilap cakap di hadapan keluarga Manja itu.
No comments:
Post a Comment