Tuesday, July 27, 2010

Sesuci Kasihmu 1

BAB 1

Rumah teres dua tingkat di salah sebuah taman perumahan di bandar besar itu dipandang sepi. Betul ke rumah ni ada bilik untuk disewa? Kamil meninjau keadaan sekeliling rumah itu, nampaknya tiada berpenghuni pada masa sekarang, jadi dia terpaksa mengambil nombor telefon yang tertera pada sekeping papan kadbod yang tergantung pada pintu pagar rumah itu.
“Hello, er...Encik Eizlan ada?”
“Saya bercakap, siapa ni?”
“Saya nak menyewa bilik di rumah encik. Ada kosong lagi tak?”
“Oh, ada. Boleh datang sebelah petang. Saya kerja ni.”
“Pukul berapa tu encik?”
“5.30 petang.”
“Okey, jumpa petang nanti.”
Setelah mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak akhirnya mereka bersetuju untuk berjumpa pada waktu yang telah ditetapkan di rumah Eizlan. Nampak gayanya Kamil terpaksalah duduk di surau atau masjid dahulu buat sementara waktu ni sementara waktu petang menjelang.
Lelaki yang datang dari pantai timur itu telah ditukarkan kerjanya ke Kuala Lumpur ini. Mengikut jadualnya dia akan mula bekerja pada hari esok, jadi dia terpaksa datang awal ke tempat itu untuk mencari tempat tinggal.
Lelaki berambut lurus potongan pendek itu terus memacu kereta produa kancilnya ke surau atau masjid yang terdekat untuk berteduh sementara petang menjelma. Lagipun tak lama, lebih kurang 4 jam lagi dia akan bertemu dengan tuan rumah itu. Dia berharap agar tuan rumah itu menyewa bilik kepadanya. Hanya bilik itu yang diharapnya untuk brteduh sepanjang berada di perantauan itu.

Suasana pada waktu makan tengah hari di Hotel Kenangan begitu sibuk. Sejak kehadiran Johar sebagai tukang masak di restoran itu ramai pelanggan yang datang untuk mencuba masakannya. Tidak ketinggalan juga pengurus hotel itu yang gemar dengan masakan timur yang dimasak Johar.
Tepat jam dua petang tatkala pelanggan mula berkurangan dari restoran Hotel Kenangan itu. Eizlan, pengurus hotel yang bekerja hampir dua tahun dengan hotel itu turun ke restoran itu untuk menjamu seleranya dengan masakan Johar yang amat digemarinya itu.
“Kau bertuah Jo, pengurus kita tu dulu tak pernah makan kat sini, dia lebih suka keluar makan kat luar. Tapi sekarang…”
Salah seorang pekerja di hotel itu memuji dan Johar hanya tersenyum mendengar pujian yang diberikan kepadanya itu. Mana taknya baru saja bekerja dah dapat pujian yang tinggi itu.
“Bos, siap.”
Johar menghidangkan makanan yang digemari Eizlan itu sebelum lelaki itu sempat memesan apa-apa pesanan pun.
“Bos, saya dengar bos nak sewakan bilik kat rumah bos tu, betul ke?”
Pertanyaan Johar itu membuatkan Eizlan tersenyum. Lelaki yang baru hendak menyuapkan hidangan yang masih panas itu ke mulutnya berhenti seketika lalu memandang Johar.
“Kenapa, kamu berminat ke?”
Johar mengangguk bersungguh-sungguh. Dia sudah bosan tinggal di asrama pekerja itu. Setiap hari dia akan diusik dan diejek oleh pekerja-pekerja dari bahagian-bahagian lain yang tinggal bersamanya di asrama itu, terutamanya dari bahagian penyambut tetamu. Suka sangat mengejeknya, si lembutlah, pondan siamlah itulah...inilah, sakit hatinya. Sabar, sabar juga tapi sampai bila.
“Saya faham, petang ni kamu ikut saya pulang, boleh? Awak boleh tengok-tengok rumah tu, kalau berminat awak boleh sewa.”
Cadang Eizlan. Johar terus mengangguk setuju. Dia amat-amat bersyukur kerana Eizlan sudi memberikan sebuah bilik untuk disewa kepadanya tanpa mempertikaikan keadaan fizikalnya itu.

Pada petangnya seperti yang dijanjikan, Eizlan menjemput Johar dari asrama pekerja. Alangkah terkejutnya Eizlan apabila melihat Johar membawa sekali dua buah beg pakaian yang besar bersamanya.
“Hai, nak pindah terus ke?”
Soal Eizlan kehairanan melihat Johar mengheret dua beg pakaian beroda yang boleh tahan besarnya.
“Kenapa bos, tak boleh ke?”
“Bukan macam tu, saya ingat kamu nak tengok-tengok dulu bilik tu?”
“Tak payah, asalkan bos setuju saya tak kisah kalau bilik tu bilik setor sekali pun.”
Eizlan ketawa mendengar kata-kata Johar yang lemah lembut itu. Kerana kelembutannya itulah dia sering diejek oleh rakan-rakan sekerja yang lain dan kerana kelembutannya itulah Eizlan bersetuju untuk menyewakan salah satu biliknya kepada Johar. Dia yakin lelaki seperti Johar ini seorang yang kemas dan pembersih.
Dalam masa setengah jam sahaja mereka berdua telah pun sampai ke rumah Eizlan. Johar dengan penuh bersemangat mengeluarkan beg-beg pakaiannya yang diletakkan di tempat duduk belakang kembara merah milik Eizlan itu.
“Jo, mari kita masuk.”
Pelawa Eizlan. Johar tesenyum lalu menarik dua buah beg pakaian beroda itu masuk. Eizlan tersenyum melihat Johar dengan lembut menarik begnya sambil mengesat peluhnya dengan sehelai sapu tangan berwarna kelabu. Lelaki itu segera menghulurkan bantuan dengan menarik salah satu beg pakaian Johar yang berwarna merah jambu itu.
“Jo pilihlah nak bilik yang mana.”
Eizlan memberi pilihan kepada Johar sambil menunding jari ke arah hadapannya dan di atas kepala mereka.
“Wah, ada pilihan ke bos. Sukanya saya.”
“Hah, dah masuk sini jangan nak berbos-bos dengan saya, panggil abang cukup.”
Eizlan menyuruh Johar memanggilnya dengan panggilan abang kerana panggilan itu lebih mesra. Johar mengangguk lalu meletakkan beg pakaiannya ke dalam bilik disebelah kiri, tingkat bawah yang dipilihnya kemudian kembali semula ke ruang tamu untuk berbual dengan Eizlan.
“Huh, penatnya angkat beg.”
Rungut Johar sambil mengesat peluhnya dengan sapu tangan yang dibawanya ke mana sahaja dia berada. Eizlan pula terseyum melihat gelagat Johar itu. Kerana gelagat Johar yang sering mencuit hatinya itulah Eizlan bersetuju untuk memberi sewa sebuah bilik kepada Johar. Lagipun ada juga teman dia berbual nanti. Sedang rancak mereka berbual tentang diri mereka, tiba-tiba datang seorang lelaki di muka pintu rumah teres dua tingkat milik Eizlan itu.
“Assalamualaikum.”
Seorang lelaki muncul seraya memberi salam.
“Waalaikummussalam.”
Jawab Eizlan dan Johar serentak lalu memandang lelaki yang muncul di hadapan pintu rumah teres dua tingkat itu.
“Masuklah.”
Pelawa Eizlan tatkala melihat seorang lelaki berkumis nipis berdiri di muka pintu rumahnya itu. Lelaki itu menghulurkan tangan kepada Eizlan dan Johar dan mereka berdua menyambutnya dengan senyum mesra. Eizlan terus mempelawa lelaki itu duduk.
“Saya Kamil…”
“Oh, yang telefon abang siang tadi tu?”
Kamil mengangguk. Dia tidak perlu memperkenalkan dirinya lagi.
“Mel, bilik tinggal satu aje lagi, kat tingkat atas tu. Marilah tengok.”
“Bang, tak payah tengok, kira jadilah.”
“Sorang lagi…”
Kamil ternganga dengan kata-kata Eizlan itu, Johar yang faham ketawa bersamanya membuatkan Kamil semakin keliru. Kamil yang tidak faham turut ketawa bersama setelah melihat Johar yang ketawa sambil menutup mulut dengan sapu tangan kelabu yang bersulam biru itu melucukan hatinya.
Eizlan mula bercerita tentang sewa bulanan yang mereka perlu dibayar dan segala bil-bil yang berkaitan dengan rumah itu dibahagikan mereka sama rata. Kamil dan Johar setuju dengan syarat-syarat yang dikemukakan Eizlan itu tanpa sebarang bantahan.
“Senangnya...”
Keluh Eizlan yang menyangka akan timbul rasa tidak puas hati antara penyewa-penyewa biliknya itu.
“Ah, satu lagi. Walaupun kamu hanya sewa bilik-bilik ni. Abang tak kisah kalau kamu berdua nak guna dapur dan ruang tamu ni.”
Johar dan Kamil mengangguk mendengarnya. Mereka berdua bersyukur kerana memiliki Eizlan sebagai tuan rumah. Lelaki itu begitu senang berkompromi dalam banyak perkara.